Teks Pidato Adriana : Terima Kasih Kepada Pengacara Majlis.

Terima kasih kepada pengacara majlis.

Datang bahtera dari Medan,

Singgah sebentar di laluan Kerai,

Salam satu Malaysia saya hulurkan,

Kepada warga sekolah pembuka tirai.

Selamat petang dan salam sejahtera saya ucapkan kepada,

yang dihormati barisan para juri yang arif lagi bijaksana,

penjaga masa yang setia dengan masanya

seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi sekalian.

Hadirin dan hadirat sekalian, pada petang yang indah ini, izinkan saya untuk menyampaikan halwa telinga bertajuk Bahasa Jiwa Bangsa, buat anda sekalian.

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan kita,

Marilah amalkan ramai-ramai,

Bahasalah menyatukan kita semua,

Yakinlah bahasa jiwa bangsa,

Indahnya bait lagu tersebut, hadirin dan hadirat sekalian, namun adakah kita tahu menghayatinya? Adakah kita faham intipatinya?

Sidang hadirin sekalian, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bahasa bermaksud apa yang diucapkan, kata ataupun percakapan. Menurut Kamus Pelajar Dewan Bahasa dan Pustaka, Jiwa pula bermaksud roh yang ada dalam tubuh manusia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat lagi, bangsa membawa maksud kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan.

Jadi, Bahasa Jiwa Bangsa bolehlah disimpulkan sebagai kata-kata atau percakapan merupakan tunjang atau roh kepada sebuah kelompok masyarakat dalam satu-satu negara.

Sidang hadirat sekalian, berapa ramaikah di antara kita yang berbangga mempunyai satu Bahasa Kebangsaan, yang kita panggil Bahasa Melayu atau disebut juga sebagai Bahasa Malaysia?

Kita bertutur dalam Bahasa Malaysia seharian, tetapi apakah kita benar-benar menghormati Bahasa Malaysia? Yakinkah anda bahawa Bahasa Malaysia adalah jiwa anda?

Izinkan saya untuk membuka minda anda semua dengan beberapa tips untuk menjunjung Bahasa Malaysia sebagai Bahasa jiwa kita.

Yang pertama, hormatilah Bahasa Malaysia dalam pertuturan kita. Bahasa Malaysia merupakan satu rumpun bahasa yang penuh dengan nilai-nilai kelembutan dan kesopanan. Usahlah cemarkan Bahasa yang kita cintai ini dengan perkataan-perkataan kesat. Usah gunakan Bahasa yang kita junjung ini untuk mengumpat, mengutuk atau memfitnah. Gunakanlah Bahasa Malaysia untuk menunjukkan betapa tingginya martabat Bahasa kita ini di mata dunia. Biar seantero dunia mendengar kita berbahasa Malaysia, dan berkata, tingginya nilai kesopanan dalam Bahasa Mereka.

Hadirin dan hadirat sekalian, tips yang kedua, tinggikan martabat Bahasa Malaysia kita dengan mempelajarinya dengan bersungguh dan dapatkan gred tertinggi untuk Bahasa Malaysia di dalam peperiksaan. Kedengaran agak sinis bukan? Tetapi, sidang hadirin sekalian, penggunaan Bahasa Malaysia yang betul adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warga Malaysia. Di manakah kita perlu menunjukkan betapa tingginya penghayatan kita terhadap Bahasa ini jika bukan dalam peperiksaan?

Sidang hadirin sekalian, yang ketiga, gunakanlah Bahasa Malaysia ini dalam pertuturan kita seharian. Negara kita, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai bilangan kaum. Kita semua mempunyai bahasa ibunda kita masing-masing. Namun demikian, Bahasa Malaysia juga telah menjadi darah daging kita dan haruslah kita gunakan dalam pergaulan kita sesama orang Malaysia. Bahasa Malaysia menyatukan pelbagai kaum yang mempunyai pelbagai bahasa di dalam satu acuan yang sama. Acuan bangsa Malaysia. Anda Cina, tahu bahasa Cina; anda Bugis dan tahu bahasa Bugis; anda Bajau dan tahu Bahasa Bajau; saya Dusun dan tahu berbahasa Dusun; tapi kita semua bersatu di bawah satu jata negara, di bawah kibaran jalur gemilang, dengan bangga menuturkan berbahasa Malaysia dan berkata; kami Orang Malaysia.

Semerbak mengharum limau kasturi,

Menjadi haruman pilihan hati,

Walau Bahasa Inggeris Bahasa Teknologi,

Namun Bahasa Malaysia tetap di hati.

Bahasa Malaysia Bahasa Jiwaku. Apakah ia juga Bahasa jiwamu? Tepuk dada, tanya selera.

Sekian, terima kasih.