Pidato Utk Sksati : Bismillahirrahmanirrahim,

Bismillahirrahmanirrahim,

Terima kasih saudara peneraju acara, para hakim yang cendekia, penjaga masa yang setia serta sidang hadirin yang berwibawa. Assalamulaikum, salam sejahtera, salam 1 Malaysia.

Hadirin dan hadirat,tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi/

Andai patah sayap rajawali bertongkat jua saya kemari,

Bukan kerana ingin mencari calon suami,tetapi untuk membawa kita sama-sama memahami, menyelami dan mendalami mauduk bicara yang berbunyi Perpaduan Pemangkin Kecemerlangan Negara

Sidang dewan warga berwawasan,

Sudah menjadi adat, sebelum berlari kita berjalan, sebelum menelan kita mengunyah agar yang gelap diperterang, yang kabur diperjelas. Merujuk kamus dewan bahasa dan pustaka edisi ke-empat

Perpaduan bermaksud 1. Pengabungan 2. Persesuaian atau 3. Perihal berpadu dengan erti kata lain bergabung menjadi Satu

Pemangkin merupakan proses

Manakala Kecemerlangan Negara adalah kegemilangan sesebuah negara

Generasi bervisi penerus tradisi;

Ayuh kita mulakan rentak dengan membicarakan gagasan perdana : Matlamat 1 Malaysia. 1 Malaysia seperti yang tertera dalam buku kecil 1 Malaysia, bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya. Untuk itu, sikap penerimaan antara kaum yang seterusnya membawa perpaduan yang utuh perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat. Oleh sebab itulah kerajaan telah melaksanakan pelbagai kaedah dalam memastikan persefahaman antara kaum terus kekal. Kesatuan dalam kepelbagaian diuar-uarkan, titik persamaan antara kaum diperkasakan. Hasilnya kita lihat perpaduan semakin utuh. Perbezaan yang kelihatan diambil sebagai kekuatan, bukannya sebagai titik kelemahan. Maka dengan itu, amalan keagamaan dipandang dari sudut keunikannya, kasih sayang dan saling memaafkan yang menjadi intipati semua agama diperhebatkan penerangannya kepada masyarakat Malaysia. Natijahnya, penganut Hindu lebih memahami konsep pemaafan ajaran Kristian, masyarakat Melayu memahami tuntutan kasih sayang dan nilai kekeluargaan dalam masyarakat Cina. Alhamdulillah permata yang tersembunyi dalam kalangan penganut agama masing-masing kini terserlah kebersamaannya dalam setiap agama dan budaya.

Para hadirin warga berwawasan.

Niat yang suci perlu diikuti dengan kaedah yang ampuh demi mencapai cita-citanya. Demi merealisasikan hasrat mewujudkan perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat, pelbagai usaha perlu dijalankan oleh semua pihak. Selain kesungguhan pihak kerajaan, masyarakat tidak seharusnya memandang enteng konsep perpaduan ini. Masyarakat sepatutnya membuka minda masing-masing dengan menilai dan menerima keunikan masing-masing. Sikap skeptikal dan sinis perlu dikikis daripada diri masing-masing. Bagi merealisasikan matlamat ini, kerajaan telah memperkenalkan 8 nilai 1 Malaysia bagi mencapai matlamat tersebut. Nilai ini merangkumi Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan dan Integriti. Kesemua nilai ini dapat memperkukuh lagi hubungan antara kaum agar dapat menjalinkan perpaduan yang utuh selaras dengan prinsip Rukun Negara. Hal ini seterusnya dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu negara.

Hadirin sekalian.

Pujangga ada berkata: Seorang kita kuat , bersama kita hebat. Kata-kata ini selaras dengan buah bicara saya yang ketiga : Kesan pelaksanaan 8 nilai tadi. Melalui pelaksanaan berteraskan 8 nilai murni yang saya sebutkan tadi, semangat kekitaan dan kebersamaan dapat digapai bersama lantas melahirkan ikatan perpaduan yang teguh. Seterusnya, apabila rakyat berganding bahu sudah tentu negara akan membangun termasuklah dalam aspek sosial dan ekonomi. Maka, kesefahaman sejagat akan digapai dan keharmonian kehidupan akan dirai tanpa sebarang permasalahan yang akan membantu melahirkan negara yang stabil sama ada daripada segi zahir mahupun batin. Hal ini seterusnya akan membawa kepada perkembangan pembangunan ekonomi melalui keunikan dan sifat rakyat yang mesra pelabur. Pelaburan yang berjalan sama ada daripada dalam mahupun luar negara akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Buktinya, kita dapat melihat Malaysia telah diiktiraf oleh WTO sebagai negara ke-5 di Asia yang paling mesra pelabur.

Sidang hadirin warga intelektual sekalian,

Saya teruskan dengan buah minda saya yang terakhir: perpaduan sebagai penjana pencapaian wawasan 2020. Dewasa ini , kita dapat melihat ketandusan kasih sayang yang semakin membarah yang seterusnya membawa kepada persengketaan yang sukar dikawal sama ada di negara Malaysia sendiri mahupun pada peringkat global. Justeru, bertepatan dengan 3 prinsip teras 1 Malaysia iaitu Penerimaan ,Kenegaraan , dan keadilan sosial yang seterusnya akan melahirkan ikatan kasih sayang dan mengukuhkan lagi nilai ini. Secara tidak langsung, perpaduan rakyat mampu menerobosi hasrat wawasan 2020 melalui penjayaan cabaran ke-7 1 malaysia iaitu melahirkan masyarakat yang penyayang.

Sidang hadirin warga budiman.

Konklusinya, saya mengajak sidang hadirin sekalian untuk sama-sama menghayati gagasan konsep perpaduan modus operandi yang telah kita dalami sebentar tadi menerusi 4 perspektif: Matlamat 1 Malaysia, Kaedah mencapai matlamat, Kesan pelaksanaan 8 nilai, dan 1 Malaysia sebagai penjana pencapaian wawasan 2020. Oleh itu, ayuhlah semuanya kita melangkah bersama, senada dan seirama berpandukan cita-cita untuk menjayakan misi dan aspirasi dalam menjadikan perpaduan sebagai pemangkin kecemerlangan Negara .

Akhir kata, marilah kita sama sama memahami istilah ini

yang ringan sama di jinjing,yang berat sama di pikul, hati gajah sama di lapah, hati kuman sama di cecahgunung sama di daki lurah sama kita turuni.

Sekian , puteri bemisi mohon permisi buat warga bervisi daripada arena diskusi.