TEKS PIDATO 1 Gaya Hidup Sihat

TAJUK PIDATO

GAYA HIDUP SIHAT MENJAMIN KESEJAHTERAAN KELUARGA

BISMILLAHHIRRAHMANNIRRAHIM,

Sejambak kasih, seharum kasturi buat peneraju majlis ,kombinasi kehakiman yang

berlandaskan neraca keadilan, penjaga masa yang peka tiap detiknya, warga pendidik yang

disanjungi, rakan-rakan seperjuangan seterusnya warga dewan sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahhiwabarokatuh. Pembuka bicara.

Gaya Hidup Sihat Menjamin Kesejahteraan Keluarga. Demikianlah tajuk pidato yang bakal

dikupas buat santapan semua. Sebelum layar menuju ke muara, sebelum kata membelah

bicara izinkan saya mendifinisikan frasa yang membina tajuk agar hadirin terbuka mindanya.

Hadirin sekalian,

Amalan gaya hidup sihat boleh didefinisikan sebagai amalan kehidupan yang

membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarga dan masyarakat. Manakala, amalan

gaya hidup sihat memang banyak kepentinganya kepada manusia. Justeru itu,dengan

mengamalkan gaya hidup sihat, keluarga akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga.

Hadirin yang dimuliakan,saya tampilkan hujah saya yang pertama,

Setiap orang hendaklah melakukan senaman atau riadah yang mengeluarkan

peluh iaitu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Contoh sukan yang boleh diamalkan

adalah seperti bermain badminton, bola sepak,menunggang basikal, berjogging atau

berenang. Jika badan seseorang individu itu sihat dan cergas,sudah pastilah daya

permikiranya juga cerdas. Otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas. Individu

yang sihat dapat menjamin kesejahteraan keluarga.

Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu ahli keluarga itu

akan dapat mengekalkan kecergasan diri dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui

aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang produktif dan proaktif

selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti Negara.

Para hadirin sekalian, seterusnya hujah saya yang kedua,

Pengambilan makanan yang seimbang mengikut hierarki pyramid makanan

menjamin seseorang individu dan keluarga itu mendapat khasiat dan nutrient serta vitamin

yang diperlukan. Contohnya,seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat

seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau

mengandungi kolestrol yang tinggi. Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan oleh setiap

individu secara berkala. Ini dapat memastikan aggota dalaman tubuh seperti jantung, hati dan

buah pinggang berfungsi dengan baik. Bak kata pepatah mencegah adalah lebih baik

daripada merawat.

Hadirin yang saya hormati, menyusul pula hujah saya yang ketiga,

Gaya hidup sihat juga membawa pengertian bahawa seseorang itu harus bijak

memilih rakan dalam pengaulan seharian. Dalam era globalisasi masa kini, terlalu banyak

unsur-unsur negatif yang boleh mendatangkan bahaya kepada kita ,seandainya kita terleka.

Pengaulan dengan rakan yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti

merokok,menghidu gam, penyalahgunaan dadah yang boleh mendatangkan bahaya kepada

kita. Justeru , kita yang dikurniakan akal yang waras seharusnya bijak memilih antara yang

baik dan yang buruk agar tidak terjerumus ke lembah kehancuran. Katakanlah tak nak

kepada merokok, katakan tidak kepada menghidu gam dan katakan najis kepada dadah, pasti

dapat menjamin kesejahteraan kekeluarga.

Hadirin sekalian,hujah saya yang terakhir iaitu yang keempat,

Seterusnya,gaya hidup sihat juga dapat menjamin kestabilan kesihatan mental dan

mengurangkan tekanan. Sebagai contohnya,tempoh istirehat dan tidur yang cukup dapat

mengurangkan tekanan dan menenangkan minda. Dengan itu gaya pemikiran seseorang akan

menjadi lebih positif dan mampu menyelesaikan masalah.

Hadirin sekalian,setelah empat hujah yang saya utarakan ,kini dapatlah disimpulkan bahawa

Kesejahteraan keluarga adalah bergantung kepada gaya hidup yang diamalkan oleh

ahli keluarga. Telah dinyatakan tadi bahawa kita perlu melakukan aktiviti senaman dan

riadah dalam hujah pertama.Seterusnya disyorkan agar kita mengamalkan pemakanan

seimbang. Kita juga perlu bijak memilih rakan dalam pengaulan. Akhir sekali istirahat dan

tidur yang mencukupi mengurangkan tekanan. Dalam erti kata lain, amalan kehidupan

seharian kita adalah penentu kesejahteraan keluarga. Oleh itu,hasrat untuk melahirkan

keluarga yang sejahtera akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, berat

sama dipikul,ringan sama dijinjing.

Sekian , Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahhiwabarokatuh.