Teks Pidato Guru Berintegriti

Teks Pidato

Disediakan oleh : Mohd Aidil Bin Sahipaludin

Tajuk : Guru Berintegriti Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Aprisiasi buat guru-guru berintegriti ; Saya bawakan idea bermisi dalam maudhu bicara berbunyi Guru Berintegriti Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Terima kasih saudara pengerusi, panel juri penjunjung kesaksamaan, dif-dif kehormat, kelompak pendidik bestari, hadirin pendengar yang dikasihi, dekat di hati. Assalamualaikum warahmatuallahi wabarakatuh dan salam 1Malaysia, berbunga kemesraan.

Daku tujukan pidato ini buat keluarga tercinta di daerah terpencil sana, tanpa jemu dan kecewa sentiasa bersama hingga mendidik aku dewasa sebagai bakal guru bahasa.

Hadirin dan hadirat,

Ayuh kita telusuri, hayati dan mula untuk merungkai kata yang tersurat dari bait maudhu bicara saya. Guru berintegriti dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka didefinisikan sebagai guru yang punyai kejujuran, ketulusan dan penjana membawa maksud alat atau sesuatu dan transformasi pendidikan negara pula membawa maksud perubahan bentuk pendidikan negara khususnya.

Secara generalisasinya,  Menurut  Perdana Menteri 1 Malaysia, YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak,  masyarakat berintegriti membentuk bangsa bermaruah menuntut kita menganalisis atas satu sintesis tentang susur galur sejarah pendidikan negara dan dibajai dan disemai dengan roh integriti bermisi.  Usaha dalam memartabatkan integriti dan tidak dilupa tuai hasil yang berbuah daripada pengaplikasi integriti tersebut dalam memperkasa ilmu dan memartabatkan bangsa. Justeru, bagi mengupas dan mengulas persoalan ini, 3 perspektif utama saya ajukan.

Pertama,  pengaplikasian intgeriti dalam mewarnai citra pendidikan negara, kedua, usaha yang dicanai dalam membudayakan integriti, seterusnya, hasil kejayaan pembentukan maruah bangsa. Yang akhirnya, membina dan mempertingkatkan integriti manusia pastinya terserlah kebenaran dan membuka minda peria dan juwita dalam memahami masyarakat yang berintegriti membentuk bangsa bermaruah. 

Sidang saksi bermisi, saudara dan saudari.

Pertama- Pengaplikasian integriti dalam mewarnai citra pendidikan negara

Mungkin kini sudah  begitu lama untuk kita bangkitkan, untuk kita ungkitkan betapa untuk kita bangun meratapi muram durja, meratapi keagungan bumi Melaka gugur rebah dimamah penjajah durjana akibat integriti tidak menjadi suaka. Rentetan penjajahan ini terus menerus sehinggakan 400 tahun tanah tercinta ini dirobek dan diperkosa sesuka hati oleh tangan yang punya kuasa dunia.

Justeru kita perteguhkan integriti untuk menuntut bela dengan kesepaduan golongan bangsawan dan rakyat biasa, cendiakawan muda dan tua, golongan pendidik dan ilmuan turut sama memacu usaha ke arah kemerdekaan negara. Maka dengan rencah integriti, rempahnya toleransi, kaum muda dan tua bersatu hati bersama berdiplomasi menuntut kemerdekaan ibu pertiwi kemuncak ceritra, tersingkap di balik tabir sejarah kemerdekaan negara. 5 dasawarsa dahulu bukti jelas masyarakat berintegriti membentuk bangsa bermaruah dan berintelektual tinggi. Siapa penerusnya? Kita, generasi pendidik Zaba inilah pemacu dan penjana transformasi pendidikan negara untuk mencapai matlamatnya yang bervisi, asas perubahan landskap pendidikan bertaraf antarabangsa.

Saudara dan saudari, sidang penonton yang penuh santun,  ke-2 ; Usaha yang dicanai dalam membudayakan integriti.

Dalam mengharungi  ledakan dan hambatan mehnah dan tribulasi, usaha perlu difikirkan kerana dengan usaha yang mampan Lopez Disequira menjumpai tanjung harapan.

Justeru, gagasan modal insan diperkenalkan. Ia membentuk personaliti  unggul dari gerakan glokal, asas pembentukan modal insan ini kita pupuk dari rebung, dari anak kecil mengenal alif bata ta hinggalah mahasiswa dan mahasiswi di universiti. Namun, terkesima seketika saya, apa usaha memurnikannya? Adakah sekali lagi guru dipertanggungjawabkannya?

Ya, kewibawaan guru berintegriti sekali lagi diguna bagi menjayakannya, kempen-kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni dari peringkat sekolah diwujudkan, semuanya demi matlamat yang tersemat menyahut seruan cabaran  ke-4 Wawasan 2020 yang semakin dialpakan, satu visi ke arah masyarakat yang mempunyai nilai dan moral yang teguh, lantas membentuk dan membina pendidikan berkualiti dengan penekanan bukan hanya ujian semata, tetapi juga nilai dalam hati anak-anak muda.

Saudara-saudari, ke-3 ; Transformasi pendidikan ke arah pembentukan maruah bangsa

5 dasawarsa telah kita lalui, kini negara dalam kerangka pendidikannya jelas bermatlamat seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Melahirkan individu yang seimbang dan harmonis dari segenap aspek, baik rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial. Guru menjadi agen untuk melakukan perubahan yang kita canangkan sejak sekian lama dalam falsafah ini hinggalah lahirlah pelbagai dasar baharu seperti pelaksanaan KSSR, KSSM, pertambahan sekolah-sekolah kluster dan sekolah berprestasi tinggi. Semua ini jelas, membawa kita ke tahap yang lebih baik, sebuah pendidikan bertaraf antarabangsa.

Maka, guru yang mengajar juga seharusnya berprinsip dan berintensif dalam pengamalan budaya kerja cemerlang, berfikiran ke hadapan dan semangat serta motivasi cekal yang tinggi menjulang, agar harapan membawa pendidikan negara kita ke arah peningkatan dan pembaharuan mapan dapat dicapai.

Pada penghujung bicara, jelas tertera, tatkala kita jadikan integriti  sebagai budaya dan pegangan, maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak bermaruah. Yang dahulunya pendidikan hanya mengenal erti baca dan mengira, kita sudah mampu mencipta teori dan revolusi nyata.

Ingat,   jangan biar ayam direban disambar helang, jangan biarkan padi di tangan menjadi lalang, mari bangkit pendidik bervisi, kita cintakan ilmu, kita cintakan integriti kerana peradaban bangsa bertamadun dikenali oleh sejarah sebagai bangsa yang terdidik dengan ilmu dan integriti. Dalam meredah segala rencam ini,kita sedar dan yakin bahawa guru yang berintegritilah yang menjadi agen pembaharuan, pelaksana dasar kemajuan cemerlang, dan pembentuk khalifah tamadun gemilang. Guru sebagai pemacu transformasi pendidikan negara terbilang.

Sekian, wabillah hitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.