Teks Pidato Dymm Sultan Perak.

Assalamualaikum wbt,

Puji dan puja kehadrat Allah SWT yang senantiasa memberikan kasih sayangnya kepada kita semua, Salam satu Malaysia saya hulurkan ,Salam Perak Aman Jaya

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana ,saudara penjaga masa yang setia dengan randiknya, seterusnya rakan seperjuangan yang saya segani serta hadirin dan hadirat sekalian.

Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk membuang masa hadirin, bukan pula untuk berbicara kosong akan tetapi menyampaikan pidato saya yang bertajuk Kesetiaan kepada Raja dan negara

Mengangkat buah di tepi pangkalan,

Bawa berniaga di bulan puasa,

Semangat Hang Tuah menjadi ikutan,

Setia kepada raja dan negara. 

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air yang saya cintai,

          Sebagai pembuka tirai pidato saya, adalah baik jika kita meninjau makna kesetiaan yang menjadi kata kunci perbincangan ini. Kamus Dewan  mentakrifkan setia sebagai tidak berlaku curang, jujur, amanah serta teguh hati dalam hubungan, (berpegang) teguh pada janji dan lain-lain; taat dan patuh kepada pemerintah. 

Kesetiaan kepada Raja dan Negara ditekankan dalam Rukunnegaramembawa maksud bahawa setiap rakyat Malaysia hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang menjadi simbol kedaulatan negara.

Di peringkat negeri pula, setiap rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja/sultan yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin, tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Hadirin dan hadirat,

Menjadi kewajipan bagi setiap rakyat di negara ini memberikan ketaatsetiaannya kepada mana-mana raja yang diamanahkan untuk memegang teraju pemerintahan negara. Sikap kesetiaan seperti ini adalah suatu nilai yang baik dan boleh menjadi kebanggaan kepada negara serta dapat dijadikan ikatan bagi memupuk kecintaan rakyat kepada negara.

Kalimah,"Beraja ikhlas di hati, Bersultan adil di mata" adalah merupakan ungkapan daulat yang menjadi pegangan raja selaku payung negara. Dalam konteks perhubungan rakyat dan Raja; rakyat harus mencurahkan taat setianya kepada Raja manakala Raja adalah payungnegara yang harus menyediakan perlindungan kepada negara dan seluruh rakyat jelata.

Hubungan timbal balas ini meletakkan asas kesetiaan tidak berbelah bahagi dalam kalangan rakyat.

Kesetiaan kepada raja dan cinta kepada negara yang tidak berbelah bahagi dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya adalah penting bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam seperti gejala keruntuhan akhlak, rusuhan, pencerobohan dan lain-lain lagi.

Ini kerana, hanya mereka yang tidak setia kepada raja atau pemimpin dan negara sahajalah yang sanggup dan tergamak melakukan khianat dan onar terhadap agama, bangsa dan negara.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mempunyai kesetiaan kepada raja dan negara dengan tidak berpaling tadah atau menjual rahsia kerajaan kepada negara luar.

Selain itu, rakyat Malaysia juga tidak boleh memburuk-burukkan nama negara apabila berada di luar negara mahupun menggunakan kemudahan teknologi maklumat untuk menyebarkan fitnah tentang pemimpin-pemimpin negara.

Kedaulatan negara perlu dipertahankan supaya generasi akan datang dapat mengecap kebebasan yang kita miliki sekarang.

Warga dewan yang saya hormati,

Justeru, marilah kita memikul tanggungjawab bersama mempertahan, memelihara dan menjaga maruah agama dan tanah air dengan menanam rasa kasih dan setia agar kita tidak mudah terjebak dengan perkara-perkara atau kegiatan-kegiatan yang mengancam keselamatan dan keamanan negara.

Langkah ini selaras dengan kata hikmah Yahya Muaz, seorang ulama sufi dan ahli tasawuf yang mengungkapkan: kalau tidak boleh bagi manfaat, jangan beri mudarat.

Sedarlah, para hadirin sekalian bahawa kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita . Sesungguhnya kemakmuran sesebuah negara berkait rapat dengan perasaan cinta, kesetiaan dan pengorbanan rakyat terhadap negara dan pemimpin khasnya kepada payung negara..

Sekian, wabilahi taufik walhidayah wasalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh..

tamat

4