Pidato Pendek GBM : Mentari Pagi Memancarkan Cahaya,

Mentari pagi memancarkan cahaya,

Tua dan muda mula terjaga,

Selamat pagi salam sejahtera,

Pembuka kata mula bicara.

Terima kasih kepada juragan pembawa acara yang berseri, kombinasi kehakiman yang berintegriti, dif-dif kehormat yang bestari dan seterusnya hadirin yang dihormati.

Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya ke mari, bukan kerana ingin mencari calon isteri tetepi untuk membawa anda semua menyelami mauduk pidato saya yang bertajuk, Masyarakat Malaysia dan Budaya Kesantunan.

Yang kurik itu kendi,

Yang merah itu saga,

Yang molek itu budi,

Yang indah itu bahasa

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan, izinkan saya mendefinisikan bait-bait kata dalam pidato saya. Secara literalnya, Masyarakat Malaysia bermaksud komuniti manusia yang berbilang kaum di Malaysia yang hidup bersama-sama. Budaya Kesantunan pula merujuk kepada pengunaan ayat mahupun tulisan yang halus dalam kehidupan seharian. Oleh itu, pagi yang cerah ini, saya akan menerangkan sebab-sebab mengapa masyarakat Malaysia sekarang tidak mengamalkan budi bahasa.

Dalam konteks pidato saya ini, saya akan menggunakan tiga indikator utama di bawah lembayung kata melentur buluh biarlah dari rebungnya , kejayaan bermula dengan satu langkah kecil dan juga kemajuan teknologi maklumat.

Hadirin yang dihormati,

Dengan berlandaskan indikator saya yang pertama melentur buluh biarlah dari rebungnya , kita tahu bahawa untuk mengajar seseorang individu tentang budaya kesantunan haruslah bermula dari kecil. Ibu bapa seperti melepaskan batok ditangga dalam mentarbiah sikap anak-anak mengenai budi bahasa. Mereka tidak sedar bahawa akhlak seseorang perlu di bentuk semenjak kecil lagi. Sikap terlalu memburu dunia kebendaan itu membawa ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memberikan kasih sayang dan tunjuk ajar yang betul kepada anak. Mereka seperti tidak ada rasa bertanggungjawab dalam diri mereka dan memberi kepercayaan yang padu kepada guru-guru di sekolah. Mereka juga tidak sedar bahawa budi bahasa merupakan aset yang penting dalam kehidupan. Akibatnya, kepincangan akhlak dan semakin menghilangnya budi bahasa berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia. Namun terlalu mengharapkan ibu bapa dalam membentuk sasiah seseorang tanpa tindakan individu atau diri sendiri juga adalah salah. Masyarakat menganggap budaya kesantunan tidak penting, kolot dan memalukan. Selain itu, anak-anak orang berada terlalu bangga dengan status mereka. Budaya barat terutama sekali budaya orang Amerika yang rendah budi bahasa diapplikasikan berbanding dengan budaya Malaysia. Tidak juga dinafikan kurang didikan agama atau kurang perpaduan negara juga merupakan sebab mengapa masarakat tidak mengamalkan budi bahasa.

Hadirin yang dihormati,

Layar hujah yang pertama kusimpulkan erat, gagasan idea kedua ku labuhkan kini dengan indikator saya yang kedua iaitu kejayaan bermula dengan satu langkah kecil. Sekolah merupakan rumah kedua bagi para pelajar. Sekolah yang tidak bersatupadu akan menyebabkan kempen yang sepatutnya memberi impak positif bertukar kepada negatif. Bak kata pepatah melayu, bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Selain itu, guru-guru kurang menekankan aspek berbudi bahasa dan lebih mengutamakan aspek peperiksaan. Seperti yang saya sendiri alami, kami hanya diajar untuk meningkatan prestasi sekolah dan bukannya untuk menghayati nilai-nilai murni yang kami perolehi dari pembelajaran tersebut. Di samping itu, pihak sekolah terlalu bergantung kepada pihak kerajaan dalam melaksanakan aktiviti yang meningkatkan budaya kesantunan. Dengan berpandukan pihak yang satu lagi, kerajaan, tidak mementingkan budi bahasa(terutamanya kakitangan awam). Keadaan ini secara tidak langsung memberi natijah negatif dalam apa jua projek atau kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan.

Sidang dewan yang berdedikasi,

Berteraskan indikator saya yang terakhir, kemajuan teknologi maklumat, masyarakat Malaysia seperti menjadi mesin pencetak dengan meniru segala yang dilihat pada monitor komputer mereka. Kewujudan pelbagai media massa di negara ini dalam tempoh terdekat turut menjejaskan kualiti budi bahasa remaja kita. Pelbagai program yang tersiar terutama penyiaran budaya luar seperti punk, gothik dan sebagainya telah mempengaruhi minda remaja kita untuk meninggalkan budi bahasa yang menjadi pegangan masyarakat kita suatu masa dahulu itu. Jelaslah, masyarakat Malaysia tidak lagi berbudi bahasa kerana terpedaya dengan kandungan media massa yang diimport itu.

Sebelum kata mengundur bicara, sebelum langkah berundur pergi, saya berharap agar semua pihak harus memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan kemelut sosial ini. Budi bahasa merupakan asas kehidupan yang bermaruah lagi bertamadun buat manusia. Bak kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat yang menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan budaya berbudi bahasa ini dalam merealisasikan hasrat negara. Akhir kata, biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang.