PIDATO : 1 BAHASA, 1 BANGSA,1 NEGARA

1 BAHASA, 1 BANGSA,1 NEGARA

Kita buka kitab sejarah, tatkala isu kemerdekaan kita idam, isu perbezaan bahasa,ras dan budaya menimbulkan polimik utama. Namun, perbezaan taraf kedudukan dan kasta setiap bangsa dijunjung kelangit. Lantas Tunku Abdul Rahman mengatukan batas. Ayuh keluar dari kepompong bangsa, demi perpaduan kita bentuk 1 Bahasa, 1 Bangsa , 1 Negara. Sekalung penghargaan buat dif-dif kehormat seterusnya hadirin dan hadirat yang sudi bersama , Assalamualaikum w.b.t dan salam 1 Malaysia. Sebelum itu izinkan saya merungkai pendefinisian secara literal berkenaan dengan maudu pidato pada hari ini. Menurut A. Samad Ismail iaitu Tokoh Bahasa dan Sastera Melayu, bahasa melayu ialah produk kehidupan orang melayu dan sebagai medium perpaduan negara. Seterusnya, Abdul Rahman Embong ( 2006 ) dalam Negara-Bangsa beliau menyatakan bahawa ketika proses perbahasan telah mendefinisikan bangsa sebagai satu komuniti politik yang terbentukdalam sejarah yang ditautkan melalui perkongsian wilayah, budaya dan bahasa serta perasaan sebangsa. Negara pula merujuk kepada sesuatu masyarakat bebas yang menduduki kawasan atau wilayah dalam had sempadan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan. 1 Bahasa, 1 Bangsa , 1 Negara dapat diintepretasikan sebagai bahasa yang mampan yang mampu menjadi medium perpaduan bagi membentuk satu bangsa yang maju kearah pembangunan negara yang seimbang dari semua aspek.

Berbicara tentang BAHASA,BANGSA dan NEGARA, kita berkehendakkan mengimbau dan memahami tentang sejarah bahasa melayu sebagai bahasa pengantara dalam komunikasi, seterusnya mendalami kapasiti atau kelebihan negara-bangsa dalam membina 1 bahasa, 1 bangsa 1 negara . Ketiga, meneliti ancaman terhadap perpaduan negara Malaysia dan terakhir adalah cabaran yang perlu tempuhi bagi mengekalkan perpaduan bangsa Malaysia.

Sidang dewan yang mulia,

Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buti dalam kitabnya Munazamah Al-Tahrir telah menerangkan perihal peri pentingnya perpaduan diangkat sebagai pegangan utama bagi memastikan kelangsungan sesebuah negara. Lantas buah fikir dan signifikan negara cemerlang adalah melalui 1 bahasa, 1 bangsa dan 1 negara. Persoalan agung yang meniti dalam kotak pemikiran kita, Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia.? Jawapannya jelas: Bahasa Kebangsaaan kerana Bahasa jiwa bangsa. Mari saya bawa hadirin sekalian menelusuri sejarah bahasa melayu sebagai bahasa pengantara dalam komunikasi. Bahasa melayu adalah bahasa lingua-franca sejak kurun-7. Dari perbualan masyarakat desa sehinggalah santun bicara orang-orang istana. Begitu juga dengan aktiviti perdanganan yang telah berlaku diantara pedagang Arab dengan orang Melaka hingga ke peristiwa perkahwinan Puteri Hang Lipo dengan Sultan Mansur Shah.Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dalam komunikasi. Bahasa adalah instrumen utama yang dikongsi bersama oleh rakyat dalam perhubungan rasmi dalam kehidupan masyarakat. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berperanan dalam memelihara dan memulihara Bahasa Melayu.Sejak tahun 1970-an lagi Perancangan Bahasa telah dilaksanakan oleh DBP dan ia melibatkan aktiviti pengekodan dan pemupukan Bahasa Melayu secara intesif.Cuba anda bayangkan, tatkala kita sedang berada dibawah satu lembayung kerajaan, tetapi kepelbagaian bangsa bertutur bahasa ibunda masing-masing. Sekiranya setiap bangsa masih berdegil untuk menegakkan bahasa ibunda mereka dalam menjalankan kehidupan seharian maka mesej yang ingin disampaikan tidak dapat dilakukan secara holistik. Apabila kita rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa ini menggunakan satu bahasa sahaja sebagai bahasa komunikasi maka, setiap perkara atau aktiviti yang ingin dijalankan tidak mendatangkan sebarang kesulitan. Secara tidak langsung, apabila setiap bangsa faham akan makna dan mesej sesuatu agenda, lantas terbentuklah satu bangsa yang saya kira memahami satu bahasa. Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri – dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pascakolonialisme. Perlu ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan – bukannya bahasa-bahasa asing. Benar, kita perlu yakin dan percaya, dengan penggunaan satu bahasa mampu membentuk satu bangsa dan satu negara yang makmur dalam aspek santun, budi bicara, dan cara berfikir.

Tidak berundur dan tidak takut menegakkan kebenaran sejarah, hak dan kepentingan serta kemajuan negara. Memperjuangkan kedaulatan negara perlu dijalankan melalui 1 bahasa yakni bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaaan negara Malaysia dalam mengindukkan bangsa.

Hadirin hadirat yang saya muliakan

Bagi melestarikan 1 bahasa, 1 bangsa, 1 negara kita seharusnya menggali keupayaan dan kapasiti Negara-Bangsa. Oleh kerana Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warna-warni bangsa yang berbilang kaum maka pembinaan Negara Bangsa amat penting dalam mengikat perpaduan sesama bangsa. Melalui Negara Bangsa ia mempunyai kapasiti yang mampu membantu dalam era globalisasi dalam pengaliran maklumat malah melalui sistem bahasa, nilai budaya dan kepercayaan. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edsi ke 3 (1994: 924), negara-bangsa didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara-bangsa pula adalah merupakan satu proses mewujudkan semangat kenegaraan atau perasaan kekitaan dikalangan semua penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980). Ia bererti mewujudkan sentimen satu bangsa dan satu negara serta melahirkan keperibadian bangsa (Faizal Othman, 1993). Oleh yang demikian, Negara Bangsa mempunyai pemangkin dalam membentuk perpaduan antara kaum melalui bahasa linguafranca iaitu penggunaan bahasa melayu sebagai medium oleh pelbagai bangsa seperti kaum cina, india dan sebagainya bagi mengecapi integrasi nasional yang diidam-idamkan. Secara tidak langsung , satu bahasa dapat diwujudkan dengan kewujudan negara-bangsa melalui proses dalam membentuk satu identiti nasional yang melibatkan pelbagai kaum dari segi ekonomi, sosial, wilayah ,pendidikan dan politik. Keberjayaan integrasi perlu dilaksanakan dengan menguasai bahasa terlebih dahulu. Berkesannya bahasa itu, maka keputusan dalam integrasi itu mampu membuahkan satu bangsa, malah satu negara yang beridentiti majmuk. Justeru, dengan konsep negara bangsa kita perlu berusaha ke arah membentuk sebuah masyarakat yang liberal dan bertolak ansur tetapi pada masa yang samabebas mengamalkan adat, kebudayaan dan pegangan agama masing-masing. sedar atau pun tidak, walaupun kita menjalankan konsep negara bangsa masih ada ancaman yang membelenggu negara kita,secara tidak langsung menggugat perpaduan negara.

Siding hadirin sekalian

Ayuh sama-sama kita rungkai ancaman terhadap perpaduan yang berlaku dalam negara Malaysia. Kita imbau kembali, saat negara kita dicucuk hidung selama 446 tahun lamanya hadirin, episod demi episod melagukan sendu. Tetapi, pada tanggal 1957 kita Merdeka. Kebebasan ini yang kita damba. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengahari. Peristiwa yang menggugat perpaduan bangsa kita apabila rumah ibadat suci , dinoda sesuka hati. Kepala khinzir dan kepala lembu diarak kesana dan kesini. Jangan biarkan keadaan ini berlaku dan berlalu dengan sepi. Mana semangat perpaduan yang kita janjikan bagi melahirkan satu bangsa, satu negara?Perpaduan kaum tercalar dek perbuatan ini. Kita juga berhadapan dengan ancaman berkenaan dengan sekolah vernacular yang menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sistem pembelajaran. Keadaan ini telah menimbulkan tanda tanya berkenaan dengan status dan peranan yang dibawa oleh sekolah-sekolah vernakular tersebut.Telinga kita juga semakin sakit tatakala mendengar berita ada anasir-anasir yang cuba untuk menyentuh perkara berkenaan dengan mengabaikan bahasa rasmi Malaysia. Dan mempromosi secara meluas bahasa-bahasa asing, termasuk mandarin dan tamil,walaupun sudah terang lagi bersuluh ia bertentangan dengan perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Sidang dewan yang bervisi,

Cabaran yang kita alami pada hari ini adalah berkenaan dengan perpaduan antara kaum. Kesepakatan yang selama ini wujud, semakin longgar. Maka hujah terakhir, saya suka untuk menyentuh berkenaan dengan cabaran yang perlu dilalui oleh rakyat Malaysia dalam mengekalkan perpaduan negara. Untuk membuka kembali mata buta rakyat Malaysia bahawa kehidupan kita dalam negara dan sebagai komuniti antarabangsa adalah satu kehidupan integrasi. Maka kita perlu kekalkan keharmonian," kata Prof Madya Rajib Ghani iaitu Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media & Informasi, Universiti Teknologi MARA. Walaupun begitu,rakyat Malaysia perlu meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah kepada negara melalui penggunaan satu bahasa. Justeru, kita rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu mempunyai kesedaran yang jitu agar perpaduan terjaga. Medium terbaik ingin membantu perpaduan dari awal adalah dari bangku sekolah lagi, melentur buluh biar dari rebungnya. Kerajaan perlu menubuhkan sekolah yang mendaulatkan bahasa kebangsaan bagi memupuk integrasi sebenar antara pelbagai kaum. Secara tidak langsung kita dapat mendidik anak bangsa sebagai penerus generasi dalam membina jiwa patriotik serta dapat menghapuskan sebarang sikap prejudis sesama kaum.Jangan biarkan bahasa kebangsaan kita sepi tidak dipandang tatkala memandangkan bahasa asing dijulang. Satukan bangsa yang berbilang bangsa, buangkan ego setiap bangsa untuk menerima kenyataan kita berada di bawah satu negara.

Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Sekiranya bangsanya berpecah maka bergolaklah negara itu. Sebuah negara yang gagal membina integrasi bangsa adalah negara yang goyah dan diancam kejatuhan serta perpecahan. Tapi kadang-kadang kita perlu sedar bahawa setiap pepecahan berlaku akibat terdapat masalah dalam pembentukan bangsa. Ayuh! Bangun dari lena, bersatu demi negara.satukan bahasa,satukan bangsa demi perpaduan. Kepelbagaian bukan kekurangan tapi satu keistimewaan.

Leave a Reply