TEKS PIDATO : Kemahiran Membina dan Menyampaikan Pidato.

TEKS PIDATO

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, yang berusaha pensyarah subjek BMK, serta guru-guru pelatih merangkap sahabat seperjuangan yang saya kasihi sekalian.

Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk kemahiran membina dan menyampaikan pidato.

Sebelum saya pergi dengan lebih lanjut mengenai tajuk syarahan saya pada hari ini, elok lah sekiranya saya menerangkan serba sedikit mengenai apa itu pidato terlebih dahulu. Bukankah orang tua dahulu pernah berkata, tak kenal maka tak cinta, dah kenal bolehlah tanam cita-cita.

Hadirin sekalian,

Pidato boleh digolongkan ke dalam kategori komunikasi khalayak. Khalayak di sini bermaksud penerima. Penerima di sini pula dikategorikan kepada dua jenis iaitu pendengar bagi komunikasi lisan dan pembaca bagi komunikasi bertulis. Dalam konteks komunikasi awam atau massa, penerima dikenali sebagai khalayak kerana terdiri daripada jumlah individu yang ramai.

Apa pula yang dimaksudkan dengan pidato? Pidato ialah sesuatu pengucapan awam yang disampaikan secara individu kepada khalayak bagi meyakinkan khalayak berkenaan mengenai sesuatu tajuk. Ia merupakan suatu bentuk komunikasi sehala dalam satu masa yang ditentukan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Sebelum saya mengupas dengan lebih lanjut format pembentukan teks pidato, elok lah sekiranya saya berkongsi dengan saudara dan saudari mengenai tujuan utama pidato. Tujuan pidato yang paling utama adalah untuk memberi penerangan dan penjelasan terhadap sesuatu aspek yang penting. Selain itu, ianya juga berfungsi untuk memberitahu perkara-perkara yang baru seperti isu-isu semasa yang berlaku di kalangan masyarakat hari ini. Tujuan pidato yang seterusnya adalah untuk meyakinkan khalayak mengenai sesuatu isu itu dengan cara memberikan justifikasi serta fakta-fakta sokongan. Akhir sekali, pidato boleh dijadikan medium pemujukan supaya khalayak bertindak dan berubah fikiran jika mereka tidak bersetuju terhadap sesuatu perkara itu.

Saudara-saudari yang budiman sekalian,

Izinkan saya mengupas cara-cara membina sebuah teks pidato yang berkesan. Pidato terdiri daripada beberapa bahagian seperti salutasi, pembuka kata, permulaan isi, isi utama, kesimpulan kepada isi dan akhir sekali penutup pidato.

Bahagian pertama dalam membina teks pidato ialah salutasi. Bahagian ini adalah yang paling awal dalam pidato. Salutaasi dimulakan dengan salam dan seterusnya menyampaikan kata-kata alunan kepada pengerusi majlis, jemputan kehormat, para hakim, penganjur majlis dan para hadirin mengikut kesesuaian majlis dan dan juga mengikut susunan protokol.

Bahagian kedua pula ialah pembuka kata. Pembuka kata yang baik dapat menarik perhatian para hadirin dan juga para hakim. Pemidato boleh memilih sebuah pantun ataupun sebuah seloka yang sesuai dengan tajuk. Pemidato juga boleh mengemukakan statistic yang menggemparkan ataupun teknik heuristic. Walau apa pun yang dipilih, pemidato harus memastikan yang pembuka kata yang digunakan segar dan menarik.

Seterusnya ialah bahagian permulaan isi iaitu dengan memberikan takrif atau penjelasan kepada isi pidato. Pada bahagian ini, pemidato memperkenalkan tajuk yang dipilih serta memberi huraian berkenaan tajuk tersebut. Takrifan ini penting sebagai asas dan juga sempadan kepada hujah-hujah yang akan disampaikan.

Bahagian yang keempat ialah isi utama dan diikuti dengan huraian dan contoh-contoh. Isi utama yang dipilih harus bernas dan jelas. Setiap isi harus diikuti dengan huraian dan bukti-bukti yang nyata seperti statistic, kes-kes mahkamah dan sebagainya. Dalam menyampaikan isi, seseorang pemidato harus member perhatian daripada segi pemilihan kata-kata bagi menyampaikan idea-idea dengan lebih berkesan. Di samping itu, pemidato perlu juga menentukan susunan idea supaya wujud kesepaduan, koheren dan pertautan.

Bahagian seterusnya ialah kesimpulan kepada isi. Tanpa kesimpulan, anda tidak dapat mengulangi idea-idea utama yang menjadi tunjang kepada keseluruhan pidato. Sebagai pemidato, anda juga perlu menegaskan pendirian anda dengan penuh keyakinan.

Akhir sekali, sebuah pidato diakhiri dengan penutup. Pidato perlu ditutup dengan tertib dengan memberi penghargaan kepada penganjur, mohon maaf dan mengucapkan terima kasih.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Tidak cukup hanya dengan mempunyai teks pidato yang hebat jika pemidato itu sendiri tidak dapat menguasai pentas yang bakal digunakan nanti. Apa yang saya maksudkan di sini ialah, kemahiran menyampaikan pidato. Seorang pemidato harus ingat bahawa dia sedang cuba meyakinkan khalayak. Justeru, pidato yang disampaikan dengan lancer tanpa tersekat-sekat sudah pasti dapat memikat khalayak.

Hadirin sekalian,

Seorang pemidato harus mempunyai suara yang lantang ketika menyampaikan hujah tetapi tidak bererti perlu menjerit. Pemidato yang baik perlu memanfaatkan nada dan intonasi berdasarkan perasaan yang ingin disampaikan. Selain itu, isyarat atau bahasa badan turut memainkan peranan dalam penyampaian yang berkesan. Memek muka, pergerakan tangan, cara berdiri , cara berpakaian dan sebagainya sedikit sebanyak dapat membantu pemidato dalam penyampaiannya.

Sekiranya anda memilih berpidato secara rujukan iaitu dengan melihat teks, anda sebenarnya kurang terikat dengan teks dan lebih tertumpu kepada idea-idea utama yang ingin disampaikan. Pemidato yang mahir dan berpengalaman hanya memerlukan rangka teks bagi menyampaikan pidato yang berkesan.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Secara keseluruhannya perkara yang paling penting sekali ketika hendak menyampaikan pidato ialah pemidato itu harus membuat persediaan yang teliti supaya khalayak tidak kecewa pada akhir penyampaian. Beberapa perkara harus dititikberatkan di dalam penyampaian sebuah pidato. Pertama ialah maklumat dan cara penyusunannya. Cara penyusunan yang baik dapat menarik minat khalayak untuk mengikuti pidato itu dari mula hingga ke penghujung. Seterusnya ialah cara penyampaian. Seperti yang telah saya ceritakan sebelum ini, cara penyampaian adalah garam gula di dalam sesebuah pidato itu. Mulakan penyampaian pidato dengan keyakinan dan akhirkan pula dengan cara menarik dan sesuai dengan majlis. Sebagai contoh, pemidato itu boleh memilih meninggalkan khalayak dengan satu soalan yang perlu dijawab sendiri oleh mereka, sebuah puisi ringkas atau kata-kata hikmat sebelum mengucapkan terima kasih.

Akhir kata, semoga dengan apa yang saya sampaikan pada pagi ini, sedikit sebanyak berguna untuk ahli dewan sekalian. Saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan syarahan sebentar. Sekian, sebelum saya mengundurkan diri, terimalah serangkap pantun dari saya.

Kalau ada sumur di lading

Boleh saya menumpang mandi

Kalau ada umur yang panjang

inshaAllah kelak kita jumpa lagi.

Assalamualaikum w.b.t

Leave a Reply