PIDATO : 1 MALAYSIA

1 MALAYSIA

Satu Malaysia; Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan adalah satu impian, satu hati, dan satu haluan untuk mewujudkan sebuah Negara maju yang aman.

HASRAT GAGASAN SATU MALAYSIA:
1. Memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan menerapkan lapan nilai bagi mencapai matlamat tersebut: Ketabahan,
Penerimaan,
Pendidikan,
Integriti,
Meritokrasi,
Rendah hati,
Kesetiaan, dan 
Budaya

2. Mewjudkan bangsa Malaysia tanpa mengira warna kulit dan agama bersama-sama menggembleng tenaga mencapa Wawasan 2020.

3. Melahirkan sebuah Negara yang kukuh melalui perpaduan.

STRATEGI UTAMA UNTUK MEREALISASIKAN SATU MALAYSIA:
1. Menerapkan prinsip keadilan sosial untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama. Memastikan nasib semua rakyat dapat dibela dan tidak ada mana-mana pihak yang dipinggirkan.
2. Memberi keutamaan terhadap pendidikan. Setiap individu berhak mendapat pendidikan tanpa mengira latar belakang peribadi dan geografi. Mewujudkan integrasi nasional melalui pendidikan.

3. Turut memberikan keutamaan kepada pembangunan teknologi maklumat.

4. Menjalin kerjasama serantau yang melibatkan pertukaran tenaga dan hubungan institusi pengajian tinggi.

5. Memperkenalkan Biasiswa Nasional yang berdasarkan merit sepenuhnya sebagai satu usaha untuk melahirkan modal insan terbaik tanpa mengira kaum. 

6. Menerapkan budaya menepati masa, meningkatkan kecepan, keberanian inovasi, dan meneroka peluang ada.

7. Memupuk sikap kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air tercinta, ketabahan dalam mengharungi cabaran, dan integriti dalam segala urusan.

8. Memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance indicators) dalam urusan kerajaan dalam usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berwibawa, dihormati, dan disegani bersesuaian dengan identiti sebuah Negara bangsa yang maju dan berjaya.

PERANAN REMAJA/ PELAJAR DALAM MEREALISASIKAN SATU MALAYSIA:
1. Belajar bersungguh-sungguh, mengenalpasti minat dan potensi diri masing-masing serta merebut peluang yang ada.
2. Bersatu-padu dan menjauhi sebarang bentuk kata-kata dan perbuatan yang boleh menyebabkan suasana yang tidak aman di sekolah dan dalam masyarakat.
3. Mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas agar masa dan tenaga tidak tersia-sia.

KEPIMPINAN

Program Latihan Khidmat Negara telah diperkenalkan dan dilaksanakan bebepada tahun yang lalu. Pelaksanaan program ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Kerajaan telah berusaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa program ini mempunyai banyak kebaikan, khususnya kepada golongan remaja dan umumnya kepada negara. Namun begitu, sehingga kini banyak pihak belum mendapat penjelasan yang sebenar akan kebaikan-kebaikan yang terhasil daripada pelaksanaan program tersebut. Sesungguh, jika dihalusi secara mendalam Program Latihan Khidmat Negara menjanjikan pelbagai manfaat kepada rakyat Malaysia.

Program Latihan Khidmat Negara bakal melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air. Selama ini warga negara ini, khususnya golongan remaja tidak memberi perhatian terhadap perkara ini. Pada anggapan mereka negara ini ditadbir oleh kerajaan tanpa melibatkan rakyat jelata. Selain itu golongan muda hari sudah pudar semangat cinta akan air kerana kemewahan hidup, keamanan, dan kemudahan yang cukup, telah melalaikan mereka. Oleh itu semangat cinta akan tanah air perlu diterapkan dengan kaedah yang lebih berkesan supaya jiwa golongan remaja kembali diisi dengan semangat patriotisme yang tinggi, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, program ini merupakan satu kaedah yang sesuai untuk melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air.

Selain itu Program Latihan Khidmat Negara juga akan menerapkan semangat kepimpinan dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Semangat kepimpinan sangat penting kerana pemimpin yang baik bakal mempengaruhi kestabilan sesebuah negara. Kepemimpinan yang baik juga dapat menjamin hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju, di samping mengekalkan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Golongan muda perlu didedahkan dengan konsep kepimpinan yang dapat menjamin kelangsungan kemerdekaan sesebuah negara. Golongan muda ialah generasi yang bakal mewarisi pentadbiran negara suatu hari nanti. Justeru, mereka perlu memiliki semangat kepimpinan bagi memenuhi keperluan kepimpinan negara pada masa hadapan.

Satu lagi kebaikan program ini ialah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan remaja pelbagai kaum. Seperti yang diketahui umum, perpaduan merupakan satu aset penting ke arah kemajuan negara. Perpaduan bakal menentukan iklim politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya berada pada tahap yang selesa. Tanpa perpaduan, negara ini akan kucar-kacir dan bakal mencetuskan kekacauan. Pihak luar sudah pasti mengambil peluang daripada ketidakstabilan negara kerana bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Isu perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti negara ini. Remaja pelbagai kaum perlu disedarkan peranan masing-masing dalam memelihara semangat perpaduan agar negara terus aman. Oleh itu, program yang membolehkan remaja pelbagai kaum bergaul sesama sendiri dilaksanakan agar semangat perpaduan terus mekar dan menjadi sebahagian daripada amalan hidup mereka.

Program Latihan Khidmat Negara akan membentuk disiplin dalam kalangan peserta iaitu golongan remaja. Program ini dikendalikan dalam bentuk separa ketenteraan serta menerapkan sebahagian cara hidup seorang anggota pasukan keselamatan. Disiplin yang agak ketat bakal membentuk masyarakat yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepada mereka, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah bentuknya. Masyarakat yang memiliki disiplin yang baik, bakal mengurangkan masalah kerajaan dalam menangani gejala sosial, seperti penagihan dadah, gangsterisme, buli, peras ugut, dan sebagainya. Golongan remaja perlu diterapkan dengan disiplin yang baik kerana mereka sering terdedah kepada unsur-unsur atau pengaruh-pengaruh yang tidak sihat, Jadi, program berkenaan dapat membentuk remaja dengan disiplin yang utuh.

Program Latihan Khidmat Negara juga akan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Gejala sosial berlaku apabila golongan remaja menghabiskan waktu dengan cara melepak bersama-sama rakan di tempat-tempat awam. Remaja lepasan sekolah biasanya mempunyai masa terluang yang banyak sementara menanti peluang melanjutkan pelajaran atau memenuhi pasaran kerja. Oleh yang demikian, mereka memerlukan aktiviti-aktiviti yang membolehkan masa diisi dengan berfaedah sebelum mereka terjerumus ke kancah gejala sosial yang lebih parah, atau sebelum kudis menjadi tokak. Dengan adanya program ini, golongan remaja yang terpilih akan ditempatkan di kem latihan sepenuh masa selama tiga bulan. Oleh itu pergerakan mereka akan terhad di sekitar kawasan yang dikhususkan kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan keluar dan menghabiskan masa di luar tanpa tujuan. Hasilnya, gejala sosial dapat dibendung dengan jayanya jika golongan remaja menyertai program berkenaan.

Tambahan pula program ini mendedahkan golongan remaja kepada kerja-kerja yang bercorak kebajikan. Golongan remaja masa kini biasanya hidup dalam keadaan mewah dan hanya mementingkan gaya hidup yang bebas. Mereka jarang diajak untuk menabur bakti dengan melakukan kerja-kerja kebajikan. Dalam program ini model khidmat masyarakat yang melibatkan kerja-kerja kebajikan diperkenalkan supaya peserta dalam memberikan sumbangan ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Mereka dihantar untuk bekerja membersihkan kawasan perumahan, rumah-rumah kebajikan, rumah anak yatim, dan sebagainya. Dengan cara ini golongan remaja akan menjadikan kerja-kerja kebajikan sebagai sesuatu yang boleh dilakukan sepanjang masa dan bukan pada masa-masa tertentu sahaja.

Kesimpulannya, Program Latihan Khidmat negara mendatangkan pelbagai manfaat kepada golongan remaja. Oleh itu semua pihak tidak perlu mempertikaikan kewajaran pelaksanaan program berkenaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak mahu golongan remaja masa kini terus terjebak dalam gejala-gejala yang tidak sihat. Remaja hari ialah pemimpin pada masa akan datang. Dengan pelaksanaan program ini, kita berharap golongan remaja hari ini akan menjadi tonggak penting dalam memenuhi keperluan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. (790 perkataan)

BAHASA

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.

Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk Memartabatkan Bahasa Melayu. Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.

Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

[Karangan sumbangan : Hasmah Yusuf, Semester 3, PBMP, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM]

Negara kita kaya dengan kebudayaan pelbagai kaum. Namun demikian generasi muda semakin melupakan kebudayaan yang kita warisi sejak zaman berzaman. Bincangkan langkah-langkah yang wajar diambil untuk mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum di negara kita.

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada rakyatnya yang berbilang kaum. Kaum-kaum utama yang terdapat di negara ini ialah Melayu, Cina dan India disamping kaum kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak seperti kaum Dusun, Murut, Bajau, Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya. Setiap kaum yang terdapat di Malaysia ini mempunyai budaya masing-masing yang telah diamalkan sejak zaman dahulu sehingga sekarang. Budaya yang diamalkan dan diwarisi sama ada dari aspek kesenian, bahasa, adat resam,muzik, agama, kepercayaan mahupun undang-undang mempunyai keunikannya yang tersendiri bagi setiap kaum. Oleh yang demikian, usaha-usaha perlu dilakukan oleh semua pihak agar tradisi kebudayaan dalam semua kaum tidak lenyap dari kehidupan masyarakat sekarang ekoran daripada arus pemodenan yang semakin berleluasa.
Terdapat pelbagai cara atau usaha yang boleh dilakukan oleh semua pihak untuk terus mengekalkan sesuatu budaya yang diamalkan antaranya ialah dari pihak diri seseorang itu sendiri. Seseorang individu itu meminkan peranan yang amat penting dalam mengekalkan sesuatu kebudayaaan kerana tanpa tindakan daripada individu, pelbagai usaha yang dijalankan tidak akan berhasil. Seseorang individu dalam setiap kaum itu haruslah mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneruskan budaya yang terdapat dalam bangsa mereka itu sendiri supaya kebudayaan itu dapat terus dikekalkan, sebagai contohnya anak-anak muda dalam kaum Melayu seharusnya membuka mata mereka untuk belajar tentang tarian Melayu seperti Tarian Zapin, Tarian Ulik Mayang, Tarian Joget, Dikir Barat, dan sebaginya. Selain
dari segi kesenian, adat resam juga tidak dilupakan kerana dalam masyarakat Melayu terdapat adat sebelum perkahwinan yang masih diamalkan seperti adat merisik, meminang dan barkahwin. Walau bagaimanpun, terdapat sesetangah masyarakat melayu yang telah mengabaikannya ekoran arus pemodenan. Oleh itu, setiap individu haruslah memainkan peranan untuk terus mengekalkan setiap budaya dalam kaum mereka.
Selain dari diri individu itu sendiri, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting untuk meneruskan aktiviti kebudayaan dalam semua kaum di Malaysia. Pihak sekolah boleh mewujudkan persatuan atau kelab yang berkaitan dengan kebudayaan yang terdapat dalam sesuatu kaum. Sekolah memainkan peranan yang agak penting kerana menjadi rumah kedua kepada golongan kanak-kanak dan remaja selepas rumah mereka dan banyak masa yang akan dihabiskan oleh golongan ini di sekolah. Oleh itu, dengan adanya persatuan atau kelab yang berkaitan dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian bagi setiap bangsa, pasti akan dapat menggalakkan pelajar terutamanya sewaktu mereka masih muda ini untuk terus melibatkan diri dan mewarisi sesuatu aktiviti kebudayaan. Pihak sekolah bolehlah mewujudkan kelab seperti Kelab Tarian Melayu, Tarian Cina, Tarian India, Kelab Mencanting Batik dan sebagainya. Kesemuanya haruslah mengenai budaya setiap kaum di malaysia. Disamping itu, keadaan ini juga dapat menggalakkan pelajar untuk mempelajari budaya kaum-kaum yang berlainan dan kaum sendiri. Oleh itu, pihak sekolah haruslah memainkan peranan yang sewajarnya supaya dapat menanam sikap cintakan budaya Malaysia dalam diri para pelajar sejak mereka masih muda lagi.

Pelbagai usaha juga boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengekalkan tradisi kaum-kaum di Malaysia. Kerajaan khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia bertanggungjawab untuk mengadakan aktiviti kebudayaan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam setahun untuk memdedahkan kepada rakyat tentang keunikan budaya yang terdapat di Malaysia. Pesta Kebudayaan dan Kesenian boleh diadakan di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa untuk menunjukkan pelbagai aktiviti kebudayaan yang terdapat di Malaysia yang meliputi tarian, muzik, makanan, pakaian dan sebaginya. Selain itu, kerajaan juga boleh mengadakan rumah terbuka secara besar-basaran bagi setiap parayaan yang di sambut di Malaysia seperti Perayaan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, Hari Gawai, dan sebagainya. Aktiviti seperti ini akan dapat mengeratkan rakyat malaysia tanpa mengira kaum apabila semua kaum disatukan di bawah satu bumbung. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan kerajaan amat penting dalam usaha untuk mengekalkan budaya rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek sama ada di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa.
Usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan mengadakan kempen-kempen untuk menggalakkan masyarakat untuk terus memartabatkan budaya masing-masing sama ada dalam negara mahupun sehingga ke luar negara. Kempen-kempen yang diadakan oleh pihak swasta mahupun pihak kerajaan akan dapat menyedarkan masyarakat betapa pentingnya usaha untuk mengekalkan budaya yang masih diamalkan oleh setiap kaum di Malaysia. Kempen-kempen yang akan dilakukan haruslah dibuat secara berterusan supaya tidak jadi seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Contoh kempen yang boleh dilakukan ialah Bersama Kita Mengekalkan
Budaya Kita atau Budaya Melambangkan Bangsa. Selain itu, pihak-pihak sasterawan juga boleh menyumbang tenaga dengan mengadakan majlis pembacaan puisi-puisi yang berkaitan kebudayaan Melayu, Cina dan India mahupun menulis puisi-puisi yang indah mengenai kepentingan dan keunikan kebudayaan Malaysia. Semua pihak boleh mendapat kerjasama daripada media cetak atau elektronik untuk menjayakan lagi kempen-kempen yang akan dijalankan.
Kesimpulannya, budaya yang masih diamalkan oleh semua kaum yang terdapat di Malaysia perlulah dihargai dan diwarisi kerana ia merupakan sebuah tradisi yang unik yang tidak terdapat dalam kaum-kaum yang lain. Kesemua budaya yang terdapat dalam masyarakat Malaysia sama ada dari segi kesenian, muzik, adat resam, kepercayaan, bahasa dan sebagainya haruslah dikekalkan untuk generasi yang akan datang supaya generasi baru juga turut mengetahui budaya yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Oleh hal yang demikian, peranan semua pihak amatlah diperlukan supaya segala usaha yang akan dilakukan akan membuahkan hasil yang lumayan dan menguntungkan semua pihak.

Tajuk : Masalah disiplin dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Nyatakan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan masalah tersebut.
Masalah disiplin pelajar merujuk perbuatan atau salah laku yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Salah laku yang sering dilakukan oleh pelajar termasuklah ponteng, melawan guru, vandalisme, kekemasan diri, buli dan sebagainya. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut.

Masalah disiplin dalam kalangan pelajar dewasa ini tidak boleh dipandang ringan, malah perlu diberi perhatian yang serius. Institusi keluarga merupakan faktor penting dalam pembentukan disiplin di sekolah kerana di sinilah asas disiplin diperoleh sebelum pelajar menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Ahli keluarga merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Kasih sayang yang mereka peroleh akan menimbulkan kesedaran dan tanggungjawab sebagai anak dan pelajar.
Seterusnya, pihak pentadbir sekolah juga boleh menangani masalah disiplin pelajar dengan cara memperketat pelaksanaan peraturan sekolah, mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang terlibat supaya menjadi teladan kepada pelajar yang lain. Guru-guru juga perlu diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan peraturan sekolah selain tanggungjawab yang dipikul oleh guru disiplin. Persatuan ibu bapa dan Guru (PIBG) juga mesti memainkan peranan untuk menangani masalah disiplin para pelajar.

Selain itu, media massa turut memainkan peranan untuk mengatasi masalah disiplin pelajar. Media massa, khususnya televisyen tidak seharusnya terlalu mementingkan keuntungan, sebaliknya harus berperanan membentuk. Mendidik, dan menanamkan kesedaran kepada penonton. Program-program yang bercirikan keganasan dan seks patut dihentikan terus penayangannya kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan negatif kepada pelajar-pelajar.

Mata pelajaran Pendidikan Islam. Pendidikan Moral dan Sivik dalam sistem pendidikan adalah sangat penting dalam usaha untuk mengajar dan mendidik pelajar. Pendidikan agama yang kuat akan dapat mengelakkan pelajar daripada melakukan perkara-perkar yang negatif. Nilai-nilai moral akan diperoleh pelajar melalui mata pelajaran Pendidikan Moral dan Sivik. Pendidikan ini membantu pelajar membentuk peribadi mulia dan boleh membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga dan masyarakat.

Kesimpulannya, salah laku dan kemerosotan disiplin pelajar akan berterusan sekiranya pihak yang terlibat enggan berganding bahu untuk mengorak langkah bersama-sama menangani masalah ini. Jika dibiarkan berterusan , keadaan yang sedia ada boleh mengugat perkembangan pelajar dan sistem pendidikan di negara ini. Keperihatinan masyarakat bermaksud memberi kerjasama sepernuhnya kepada pihak berkuasa, khususnya pihak polis dalam menyampaikan maklumat serta membantu melaksanakan peraturan sedia ada.

Soalan: Perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu diperkukuh dan dipertahankan. Terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan perpaduan kaum di negara ini terus utuh. Bincangkan penyataan ini.

Isi-isi Penting
Individu = memiliki kesedaran
= berusaha untuk merapatkan hubungan dengan kaum-kaum lain
= bergaul dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum
dan agama

Keluarga = mendidik anak-anak tentang kepentingan perpaduan antara
kaum
= berusaha untuk membentuk keluarga yang berfikiran sihat dan 
rasional
= ibu bapa perlu memberikan galakan kepada anak-anak agar
bergaul dengan masyarakat berbilang bangsa

Masyarakat = mengadakan kegiatan yang dapat menyatupadukan masyarakat
berbilang kaum seperti gotong-royong dan hari keluarga
= bersikap toleransi dan saling memahami antara satu sama lain
= tidak bersikap prejudis terhadap kaum-kaum lain
= menghormati hak dan keperluan kaum-kaum lain seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan dan kontrak sosial

Kerajaan = menganjurkan kempen yang berkaitan dengan pembentukan
masyarakat yang sejahtera dan saling bertolongan
= menunaikan hak semua kaum tanpa adanya sikap pilih kasih
= menganjurkan program yang dapat disertai oleh semua kaum
= menyekat anasir-anasir dalaman dan luaran yang bertujuan untuk
memporak-perandakan masyarakat

Cara-cara memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.

Meninjau kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.

Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.

Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin, dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin, dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi.

Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar.

Posted on April 4, 2011 | Leave a comment

RASUAH lebih bersifat abstrak dan kerana itu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menentang rasuah di bawah Jabatan Perdana Menteri lebih sukar untuk diberi penilaian berbanding lima cabang NKRA yang lain.
Untuk itu, NKRA ini menumpukan perhatian dalam mengubah persepsi umum terhadap agensi penguat kuasa, pemerolehan kerajaan dan hukuman individu berprofil tinggi.

Persepsi rendah didapati membelenggu empat agensi penyelaras dan penguat kuasa iaitu polis, kastam, imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dianggap paling banyak terlibat dengan rasuah.
Empat agensi itu juga mempunyai jumlah kes rasuah tertinggi di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan skor tanggapan integriti paling rendah di kalangan orang ramai dan komuniti perniagaan.

Persepsi sama turut dilemparkan terhadap amalan pemerolehan kerajaan sementara individu berprofil tinggi dianggap terlepas hukuman yang banyak kepada ikan bilis dan bukannya jerung.

Bagi mengatasi persepsi itu, NKRA ini mengambil inisiatif mengukuhkan langkah pencegahan rasuah serta penguatkuasaan lebih berkesan terhadap penjawat awam melalui penambahbaikan penyampaian sistem perundangan kes rasuah.

Ia akan dibantu melalui penubuhan unit pematuhan di semua badan penyelaras dan agensi penguat kuasa termasuk juga SPRM. Untuk pemerolehan kerajaan, ketirisan dana awam akan dikurangkan melalui penekanan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawapan lebih tinggi dalam pemberian dan pelaksaan kontrak, panduan menguruskan surat sokongan dan pendedahan maklumat kontrak kepada umum.
Untuk meningkatkan kembali keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa, peluang menyalah guna kuasa di kalangan kakitangan agensi terbabit dikurangkan sementara pendakwaan kes rasuah dipercepatkan supaya selesai dalam tempoh satu tahun.

Inisiatif lain di bawah NKRA ini termasuk hukuman lebih berat untuk pemberi dan penerima rasuah, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pangkalan data awam memaparkan maklumat pesalah yang disabitkan jenayah rasuah dan Pakatan Integriti (IP) supaya pemerolehan kerajaan bebas aktiviti rasuah.

Usaha juga akan dijalankan untuk mengukuhkan keberkesanan institusi penting seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Pejabat Ketua Juruaudit dan SPRM melalui peningkatan kebebasan (autonomi).
Antara kejayaan paling menyerlah NKRA ini adalah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang digazetkan pada 10 Jun 2010 berkuat kuasa sejak 15 Disember 2010 untuk melindungi identiti pemberi maklumat, imuniti daripada liabiliti sivil atau jenayah serta perlindungan daripada sebarang tindak balas.

Nama 284 pesalah jenayah rasuah turut didedahkan dalam pangkalan data SPRM berbanding sasaran awal 84 pesalah selepas dilancarkan pada 4 Mac 2010, mendedahkan nama, gambar, nombor MyKad dan butiran kes individu yang disabitkan kesalahan bagi mewujudkan stigma terhadap amalan rasuah.

Lebih 3,500 tender dan kontrak kerajaan juga disenarai melalui portal MyProcurement untuk mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan. Kegagalan mencapai sasaran Indeks Persepsi Rasuah pada 2010 dikaitkan dengan tempoh tinjauan dibuat pada 2009 iaitu sebelum beberapa inisiatif NKRA ini dilaksanakan.

Bagaimanapun, Barometer Rasuah Global menunjukkan persepsi rakyat menganggap tindakan kerajaan berkesan dalam menentang rasuah yang jatuh dari 53 peratus pada 2007 kepada 28 peratus pada 2009, kembali melonjak kepada 48 peratus pada tahun lalu.
Selain itu, perbicaraan kes rasuah kini dipercepatkan melalui 14 sesi khas mahkamah dan empat Mahkamah Tinggi khas untuk Rasuah di samping menambah baik Kanun Acara Jenayah (CPC).

Kamera litar tertutup (CCTV) juga digunakan di tempat pemeriksaan panas kastam serta imigresen, sementara kakitangan yang memegang jawatan panas dipindahkan secara berkala seperti setiap tiga tahun untuk kakitangan kastam.

Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) untuk NKRA memperakui usaha kerajaan menentang gejala rasuah serta meningkatkan kebertanggungjawapan dan ketelusan dengan pujian atas penubuhan SPRM, inisiatif mendedahkan pemerolehan, melindungi pemberi maklumat serta penggunaan IP.

Beberapa langkah tambahan turut dicadangkan seperti mengharamkan surat sokongan, ketua pemeriksa di semua agensi kerajaan melapor terus kepada SPRM dan ketua agensi, serta pendaftaran semua agen (orang tengah) untuk pembida kontrak.

Presiden Transparency Malaysia, Datuk Paul Low turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang dikemuka kerajaan bagi menentang rasuah dan percaya usaha ini membantu mengubah persepsi rakyat.
Laporan Barometer Rasuah Global untuk Malaysia tahun lalu menunjukkan perubahan drastik pandangan umum terhadap usaha kerajaan menentang rasuah berbanding tahun sebelumnya.
Berbanding 28 peratus pada 2009, 48 peratus rakyat Malaysia beranggapan usaha berkesan dalam menentang rasuah pada 2010 iaitu melangkaui sasaran awal 37 peratus, jelasnya.

Laporan barometer 2010 itu turut menunjukkan penurunan mendadak golongan yang menganggap usaha kerajaan tidak berkesan bagi menentang rasuah dari 67 peratus pada 2009 kepada hanya 20 peratus tahun lalu.

Untuk 2011, beberapa Sasaran Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) baru telah ditetapkan sementara beberapa sasaran lama dimansuhkan berikutan maklumat yang diperoleh kurang memberi kesan kepada NKRA ini.

Antara NKPI baru itu adalah merekodkan IP Kementerian Kewangan dengan ikrar integriti sektor swasta serta tinjauan persepsi tempatan yang mencerminkan Barometer Rasuah Global.

Pendidikan telah menjadi kritikan masyarakat dan sektor ini memang merupakan satu isu sensitif. 

Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor pendidikan.

Bidang pendidikan dianggap bidang sensitif negara kerana bidang ini mampu mengubah senario politik dan sosial negara kita. Bilangan generasi muda yang terlibat dalam bidang ini turut menjadikan pendidikan satu isu yang harus ditangani dengan bijak tetapi pantas. Kejayaan negara mengubah bidang pendidikan ini dalam menangani cabaran globalisasi pasti akan mendatangkan kejayaan kepada rakyat dan negara kita secara keseluruhannya. Cuma ketika ini bidang yang dianggap murni suatu masa dahulu sedang menghadapi saat gentingnya.

Masalah yang paling kritikal sedang dihadapi oleh bidang pendidikan ialah pelajarnya yang dikatakan tidak berdisiplin. Saban hari kita didedahkan melalui media massa masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Kes guru dipukul, gejala jenayah pelajar, sikap ponteng pelajar, dan budaya buli semuanya menjurus betapa seriusnya masalah ini. Keadaan ini turut menyebabkan bidang pendidikan menjadi mangsa sasaran kritikan masyarakat yang mahu perkara ini diatasi seberapa segera.

Bidang pendidikan turut mengalami masalah kekurangan guru terutama guru lelaki dan di kawasan pedalaman. Kurangnya guru lelaki sering dikaitkan dengan rendahnya tangga gaji yang diberikan kepada guru. Lelaki yang sering dianggap ketua keluarga akan mencari kerjaya lain yang menjanjikan gaji lebih lumayan. Manakala, guru lelaki yang kecil jumlahnya pula dihantar ke kawasan pedalaman tetapi masih belum cukup untuk menampung keperluan kawasan pedalaman. Situasi ini dibebankan lagi dengan budaya keguruan yang dianggap lebih bercorak kewanitaan akibat kurangnya guru lelaki.

Tambahan pula, ada sekolah yang masih kekurangan kemudahan seperti komputer dan bangunan yang sesuai. Keadaan ini menjejaskan peluang pelajar untuk memperoleh pendidikan yang baik. Mereka belajar dalam keadaan tidak selesa dan ini sudah pasti akan menjejaskan pencapaian mereka dalam peperiksaan. Kalau sekolah tidak lengkap kemudahannya, bagaimana guru hendak menjalankan tugasnya? Inilah isu yang menghantui bidang pendidikan ini.

Malah, isu sekolah dianggap bukan faktor integrasi masyarakat turut menjadi persoalan utama kini. Konsep Sekolah Wawasan yang cuba diketengahkan mendapat bantahan pelbagai pihak lantaran bimbang hilangnya budaya kaum tertentu. Malah, sekolah biasa pula sering menyaksikan pelajar-pelajarnya berinteraksi mengikut kaum dan bukannya bercampur. Semua ini menghasilkan satu generasi pelajar yang tidak memahami budaya masyarakat lain. Sekolah seharusnya mendidik mereka bukannya memisahkan mereka mengikut kaum.

Selain itu, isu pelajar berlumba-lumba untuk mengaut jumlah A yang banyak dalam peperiksaan turut menjadi satu kemelut baru dalam pendidikan. Ramai yang menganggap sekolah menjadi tempat untuk menghafal bukannya memberi pendidikan yang holistik kepada pelajarnya. Kesannya, pelajar yang ada kini tidak mampu berfikir secara kritis atau menyelesaikan masalah yang di luar batasan soalan peperiksaan yang ditanya kepada mereka. Pelajar ketiadaan kepandaian emosional yang penting daam era globalisasi ini.

Kesimpulannya, pendidikan harus diberi lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan tahap pendidikan negara. Guru-guru harus diberi lebih banyak ruang untuk kreatif dalam pengajaran mereka. Guru harus diberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui kursus dan program pendidikan jarak jauh. Guru harus diberi insentif kewangan yang lebih setimpal dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Guru sumber inspirasi generasi muda.

KEMASYARAKATAN

Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti Facebook, My Space, Frienster, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.

     Penggunaan laman sosial seperti Facebook yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti.

            Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.

            Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti.

          Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti Facebook dan My Space diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti Black Metal, Punk, Gothic, dan Skin Head akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat.

Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Pendahuluan:
Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat.
Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang
Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang antara ahlinya.
Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucap.
Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta kepada insan lain yang memerlukan.
 Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku – rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang memahami akan membentuk jati diri yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga itu.
Namun begitu, pepatah ada mengatakan bahawa bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi. Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab membentuk kebahagiaan keluarga itu di tangan salah seorang ahli keluarga sahaja seperti ibu, bapa atau anak-anak. Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati di antara mereka. Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.

1. Sebagai suri teladan kepada anak-anak
– Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi role-model kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak.
– Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bapa borek, anak rintik.
– Contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan dalam kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.

2. Melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan
– Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka.
– Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.

3. Memberikan perhatian dan kasih sayang
– Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.
– Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Hukuma-hakama Arab pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka.
– Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula , turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

4. Memberikan didikan agama dan moral
– Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah.
– Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

5. Mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan anak-anak
– Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya. Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan mereka itu akan menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan meruntuhkan kebahagiaan yang dikecapi.

Penutup
– Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Jika pincang keluarga maka pincanglah masyarakatnya. Semoga impian negara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan demi kebaikan barsama.

Leave a Reply