Contoh Teks Pidato : Terima Kasih Tuan Pengerusi Majlis,

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ade Putra Tn Hj Hamdan bin Hashim, barisan hakim yang adil bijaksana, serta para hadirin yang saya hormati.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada petang yang mulia ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato yang cukup bermakna dan penuh pengisian. Insya-Allah.

Tajuk pidato yang ingin saya sampaikan pada pagi ini ialah 1Malaysia:Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut tentang tajuk ini, rasanya elok benarlah saya merungkai mutiara makna atau definisi tentang apa yang diertikan dengan konsep 1 Malaysia yang sebenarnya.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Menurut penjelasan YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, konsep 1Malaysia adalah merujuk kepada cara kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia atau One People.

Tindakan-tindakan yang kita ambil perlulah berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam Negara kita. Meskipun begitu, dasar afirmatif yakni dasar untuk menolong kaum Bumiputera tidaklah diketepikan namun sebaliknya dilaksanakan dengan cara adil dan saksama. Pertimbangan yang diberi kepada golongan Bumiputera yang layak wajar mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita akan keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.

Konsep 1Malaysia menuntut pemimpin dan setiap warganegara untuk memainkan peranan masing-masing di samping melibatkan nilai tambah dan pembaharuan. 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum, memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. 1Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. 1Malaysia memerlukan kepimpinan yang bijak menafsir, memahami tugasan yang diberi serta berintegriti tinggi. Sifat jujur, bercakap benar, telus, ikhlas, amanah dan berkebolehan amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1Malaysia turut menjadi pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat.

Hadirin yang dimuliakan,

Konsep 1 Malaysia berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia kerana di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep ini juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia.

1Malaysia tidak hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia seperti yang dibawa oleh Malaysian Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia adalah dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1Malaysia lebih kepada mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza.

Sebenarnya konsep 1 Malaysia tetap berkait dengan dasar-dasar kerajaan yang terdahulu.

1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan iaitu usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta Negara, sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, usaha ini berterusan sehingga ke era Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Meskipun setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk keharmonian rakyat dan juga negara.

Saudara dan saudari,

1Malaysia akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Konsep yang bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Melalui konsep 1 Malaysia ini, tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Untuk menjayakan konsep ini, semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging). Nilai-nilai murni yang diterapkan dalam konsep 1Malaysia juga perlu diamalkan. Nilai-nilai murni ini dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara.

Nilai-nilai tersebut adalah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan serta integriti.

Hadirin yang budiman sekalian,

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja pula memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka.

Pendidikan dan pengetahuan pula menjadi prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Nilai kepercayaan dan keyakinan pula diperoleh melalui nilai-nilai integrity yang perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga ke akar umbi.

Di samping menekankan peri-pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Hadirin yang saya hormati,

Tampaknya masa begitu cemburu dan berlalu pantas meninggalkan kita. Sebelum mengundurkan diri, saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri serta hadirin hadirat agar yakin dengan konsep yang dibawakan YAB Perdana Menteri. Sudah terang lagi bersuluh bahawa konsep 1Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan adalah satu pakej lengkap yang mampu menjamin keharmonian dan pembangunan Malaysia yang mapan sekiranya kita semua, yakni rakyat Malaysia memberikan kerjasama juga komitmen padu.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply