Pidato : Tugasan 2 Menyampaikan Satu Bertajuk Penerapan

Tugasan 2 : Menyampaikan satu pidato bertajuk Penerapan Nilai Murni

dalam Bilik Darjah Membentuk Insan Berintegriti.

Selamat pagi saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, guru-guru, rakan-rakan dan seterusnya hadirin sekalian.

Berdirinya saya di atas persada indah dalam dewan ini pada pagi yang mulia ini, tidak lain, kerana ingin menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, " Penerapan Nilai Murni dalam Bilik Darjah Membentuk Insan Berintegriti. Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:
"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia" (Wan Mohd. Zahid, 1988).

Nilai murni merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh pelajar dan masyarakat. Dalam pendidikan, penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya diberi penekanan ialah melalui Lapuran Kabinet (Laporan Mahathir 1979). Semasa Datuk Sri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan, beliau membuat pernyataan mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

Beberapa kajian lepas yang telah dibuat mendapati masih kurangnya penerapan nilai murni dilakukan oleh guru-guru di dalam bilik darjah ( Wan Hasmah Wan Mamat,2002, Ab. Malim Tamuri dalam Ab. Halim Tamuri dan Jaafari Awang, 2005, Waddock, 2005, Habsah Ismail et.al, 2007) Kurangnya penekanan nilai -nilai murni dalam kalangan guru akan menimbulkan kurangnya kefahaman dan penghayatan nilai murni dalam kalangan pelajar. Tanpa proses menerapkan nilai murni ke dalam mata pelajaran yang diajar, cita-cita untuk melahirkan generasi cemerlang dalam semua aspek tidak akan berhasil kerana melalui penerapan nilai murni dalam pendidikan mampu mendidik insan yang rasional, amanah, bertimbang rasa, bertanggungjawab dan memiliki sifat-sifat mulia yang dipersetujui agama dan masyarakat. Oleh itu, tanggungjawab bagi mendidik dan memupuk nilai-nilai murni tidak boleh diambil ringan.

Hadirin sekalian,

Dalam konteks profesionalisma keguruan, seseorang guru harus mempunyai sikap amanah. Cara untuk menerapkan nilai murni dalam diri pelajar ialah dalam pengajaran guru di dalam bilik darjah, guru perlu melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan sama ada oleh pihak kementerian, jabatan, sekolah dan masyarakat selagi ia berkaitan dengan profesion seorang guru. Misalnya, jika Guru Besar mengamanahkan guru tersebut untuk berusaha meningkatkan prestasi muridnya dalam pelajaran, guru tersebut hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, guru perlu menerapkan nilai amanah dalam diri murid. Guru perlu menegaskan kepada murid supaya sentiasa menyiapkan tugas yang diamanahkan dengan jujur iaitu tidak meniru tugasan atau kerja rumah daripada rakan-rakan mereka. Dengan cara ini, guru dapat mengetahui dan mengesan sejauh mana murid faham dengan pelajaran yang disampaikan melalui hasil tugasan yang disiapkan oleh murid sama ada berkualiti atau tidak.

Setiap profesion yang diceburi memerlukan seseorang itu beretika dalam proses melaksanakan tugasnya. Tanpa etika dalam kerja atau tugas yang dilakukan, ia boleh menjejaskan matlamat dan kepentingan sesuatu organisasi. Bayangkan seseorang yang tidak mengamalkan nilai etika di sekolah, apakah pandangan atau tanggapan murid, rakan sejawat, pihak pentadbir dan masyarakat sekeliling. Sudah ia tentu akan mewujudkan pelbagai tanggapan buruk terhadap guru tersebut yang secara tidak langsung akan menjejaskan atau mencemarkan nama baik sesuatu organisasi khasnya nama baik sekolah, jabatan. Semasa pengajaran di dalam kelas pula, guru juga perlu mengamalkan nilai etika ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya di dalam kelas, guru tidak seharusnya memalukan atau mengaibkan murid di atas kesalahan yang dilakukan dengan menghukum atau mendenda murid tersebut. Hukuman atau denda yang diberikan oleh guru terhadap muridnya perlulah berlandaskan etika keguruan yang sewajarnya. Etika penting dalam membentuk murid yang berintegriti kerana mereka akan menjadi teladan murid lain.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Sebagai guru, sikap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain baik di antara rakan sejawat, dengan murid-murid dan masyarakat sekeliling harus ada pada seseorang guru. Apabila kita sentiasa mengamalkan sikap hormat-menghormati, ia dapat melahirkan sikap saling mempercayai di kalangan ahli sesuatu kumpulan, pertubuhan atau pun sesuatu organisasi. Guru juga perlu menunjukkan sikap hormat-menghormati terhadap murid-muridnya. Ini penting bagi mewujudkan perhubungan yang akrab dan mesra di antara guru dengan murid-muridnya. Dengan wujudnya perhubungan yang mesra akan dapat melahirkan komunikasi yang baik di dalam bilik darjah yang secara tidak langsung dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dan lebih bermakna. Wujudnya kemesraan di antara guru dengan murid dalam proses pengajaran dapat menghilangkan ketakutan murid terhadap gurunya. Murid-murid juga akan mengamalkan sikap hormat-menghormati dalam tidak kira mana mereka berada.

Selain itu, nilai murni juga dapat diterapkan melalui mata pelajaran. Dalam pendidikan , penerapan nilai murni berlaku secara langsung dan tidak langsung. Bagi strategi yang mempunyai kaitan langsung dengan isi pelajaran, pendekatan kognitif dalam bentuk perbincangan dapat dilakukan. Fakta-fakta sejarah dan cerita-cerita dalam mata pelajaran sastera umpamanya akan dapat dibincang melalui isu-isu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu. Penerapan nilai secara yang tidak langsung ini penting kerana nilai tidak boleh diajar secara formal seperti mata pelajaran lain. Ini merupakan satu penghayatan dan pengusahaan secara beramal bukan sekadar peringatan atau penghafalan. Ketika mengajarkan bahan yang mengandungi maklumat pula, kemahiran murid untuk menyampaikan maklumat itu perlu dititikberatkan. Pendeknya hampir kesemua aktiviti di dalam bilik darjah dapat dimanipulasi untuk menerapkan nilai murni sama ada dengan cara meminta murid menjadikan perkara baik sebagai teladan atau meminta mereka menjadikan perkara buruk sebagai sempadan. Yang penting guru mesti menyedari akan kewujudan nilai itu, menyerlahkannya kepada kelas dan memberikan peneguhan kepada murid untuk mengamalkan nilai itu. Pendek kata, penerapan nilai murni mudah dan memang sentiasa dapat dilaksanakan.

Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni perlu dipupuk selaras dengan nilai sejagat. Tegasnya, usaha guru menerapkan nilai murni di sekolah merupakan amalan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jadi, sudah sewajarnya aspek ini dilaksanakan dengan segala kesungguhan. Selain itu, penekanan terhadap nilai murni selaras dengan hasrat Wawasan 2020 untuk membentuk generasi baharu dengan acuan kita sendiri, iaitu generasi yang sarat dengan nilai murni. Hal ini menjadi asas pertimbangan penyemak kurikulum yang menghasilkan kurikulum semakan pada tahun 2003. Kini, di bawah gagasan Satu Malaysia, penekanan terhadap nilai murni di bilik darjah menjadi bertambah penting.

Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa penerapan nilai murni dalam bilik darjah memang dapat membentuk insan yang berintegriti. Guru memainkan peranan yang penting dan mempunyai pengaruh yang besar dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Melaluinya, pelajar dididik supaya berakhlak, bermoral dan mengamalkan budaya hidup yang murni. Oleh itu, bagi pembentukan murid menjadi insan yang berintegriti, tanggungjawab guru sebagai model penerapan nilai murni di dalam bilik darjah haruslah dipikul.

Sekian sahaja pidato saya kali ini. terima kasih.

RUJUKAN

( BUKU )

Abd Rahim Abd Rashid (2001). Nilai-nilai murni dalam pendidikan: Menghadapi perubahan dan cabaran alaf baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.

Abd. Halim Hj. Hassan (1994). Komunikasi Dalam Pengurusan Pendidikan. Kuala Lumpur : Delmu ( Malaysia) Sdn.Bhd.

Azizul Rahman Abdul Rahman, et. al. (2009). Focus Ace SPM Karangan. Kuala

Lumpur: Pelangi Publishing Group Bhd.

Siti Hajar Abdul Aziz (2008). Bahasa Melayu I. Shah Alam, Selangor : Oxford Fajar.

( LAMAN WEB)

Mohamad Khairi Othman dan Asmawati Suhid. Peranan Sekolah dan guru dalam Pembangunan Nilai Pelajar Menerusi Penerapan Nilai Murni Retrieved from http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/23385/Artikel_PHD.

Undefined. ( April 6, 2009). Pembudayaan nilai murni. In Blogspot. Petrieved 120 Ogos 2013, from http://pendidikanmoral.um.edu.my/index.php?page=29

Nashmad Mohd.(2011, April 2). Kepentingan Nilai dalam Pendidikan. Retrieved Ogos 17, 2013, from http://dwnbahasa.dbp.my/?p=388

Leave a Reply