Teks Pidato Bahasa Malayu

TEKS PIDATO BAHASA MALAYU

NAMA PESERTA : NURUL AIN NAZIRAH BT. MOHAMAD AZLAN

NAMA SEKOLAH : SK.SATU SULTAN ALAM SHAH

TAJUK PIDATO : PERPADUAN ASAS KECEMERLANGAN NEGARA

Pergi bercuti di Kubur Datu,

Daerah Jeli datuk Azmini,

Kalau tidak kerana pidato,

Pasti tidak saya di sini.

Datang bahtera dari Sandakan,

Singgah sebentar di laluan Kerai,

Salam 1 Malaysia saya hulurkan,

Kepada warga dewan pembuka tirai.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana yang sentiasa menjunjung mahkota keadilannya, penjaga masa yang peka akan detik jamnya, para peserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warrahmatullahiwabarrakatuh dan selamat sejahtera

Jauh berlayar nahkoda laksa,

Singgah di Melaka menjual sutera,

Rukun damai hidup selesa

Perpaduan Asas kecemerlangan Negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu, perpaduan negara merupakan matlamat yang amat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang sosial,ekonomi mahupun politik.

Cogan kata Hidup Muafakat Membawa Berkat merupakan anatara cogan kata yang dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya perpaduan dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum di negara kita ini. Kata orang permuafakatan beerti perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan Bersatu Teguh Bercerai Roboh. Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan kelangsungan keharmonian yang ada pada hari ini. Saya amat yakin bahawa perpaduan penting dalam sesebuah negara. Mengapa?….

Sidang hadirin yang dihormati,

Perpaduan amat penting dalam pembangunan dan pentadbiran negara kerana ia merupakan asas untuk mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat.

Menerusi perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasana politik yang stabil.

Perpaduan yang kukuh dan kuat merupakan pemangkin kepada kecemerlangan negara. Dengan wujudnya perpaduan dan negara yang aman damai, kita mampu mengecapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Kejayaan yang dikecapi ini membolehkan kita menjadi bangsa yang bermaruah dan berdikari.

Hadirin yang dirahmati,

Sekiranya perpaduan rakyat rapuh dan lemah, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan masalah. Rakyat yang berpecah-belah dan tidak bersatu-padu akan menyebabkan huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Keadaan ini pasti akan menjejaskan ekonomi dan kestabilan negara.

Untuk pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan merupakan perkara yang sangat penting untuk memupuk perpaduan. Masyarakat yang tidak berilmu merupakan masyarakat yang tidak bertamadun. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan segunung penghargaankepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengembalikan mandat kepada Bahasa Malaya dalam pengajaran Sains dan Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara murid-murid di luar bandar dan di kawasan bandar.

Pada pendapat saya, jurang itu boleh memecahkan perpaduan. Jika jurang pendidikan itu dirapatkan, sudah tentulah perpaduan dapat dipupuk di alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu, usaha Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sebagai wahana yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Sebagai penutup tirai wahana ilmu kita pada hari ini, saya ingin menegaskan bahawa perkongsian pelat percakapan seperti Tambi, itu worang mau roti satu atau Haiya, ini balang mana ada halga mahupun Demo loni agah sungguh dan pelbagai dialek lagi merupakan rencah kemesraan masyarakat kita yang menyumbang ke arah perpaduan kita pada masa kini. Oleh itu, sayangilah negara kita, hormatilah jiran-jiran majmuk kita kerana Perpaduan Asas Kecemerlangan Negara.

Panas terik pakai topi,

Jauhi kilat mahupun taufan,

Jari sepuluh disusun rapi,

Mohon ampun atas kekhilafan.

Sekian, terima kasih.