Pidato Berbudi Bahasa Budaya Kita Peringkat Zon.docx

PERTANDINGAN PIDATO PIALA DI RAJA SEKOLAH RENDAH 2013

PERINGKAT ZON PUDU

TEKS PIDATO PESERTA KE-4

TAJUK: BERBUDI BAHASA BUDAYA KITA

Bismillahirrahmanirrahim.

Budi bahasa indah nan santun,

Mekar megah di pentas dunia,

Jari sepuluh kemas ku susun,

Mohon bicara menyusun kata.

Assalamualaikum wrt. salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Salam aspirasi saudara/i pengatur majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru penuh berkarisma seterusnya rakan-rakan yang sentiasa celik akal minda dan penerus wadah tonggak negara.

Sebelum hujah-hujah saya utarakan, izinkan saya mengupas intipati maksud pidato saya yang bertajuk BERBUDI BAHASA BUDAYA KITA.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, budi ditakrifkan sebagai akal, kebijaksanaaan atau sifat baik.

Perkataan budi itu membawa pelbagai maksud antaranya jasa dan sumbangan yang diberikan kepada individu yang lain. Lazimnya, orang yang menaburkan budi tidak mengharapkan balasan. Budi atau sumbangan itu baik dari segi tenaga atau material, mestilah diberi dengan ikhlas jika ingin diberkati Allah SWT. Orang yang menerima budi pula tidak dituntut untuk membalas budi yang diterima, memadai budi diterima dengan penuh ikhlas dan kesyukuran. Manakala budaya pula ialah cara hidup manusia.

Sidang Dewan yang dihormati,

Kututup rapat pintu definisi, kubuka pula maksud isi.

Jinak sungguh burung merpati,

Terbang rendah hala ke desa,

Molek pekerti cerminan hati,

Indah bahasa budaya bangsa.

Bicara saya yang pertama berteraskan kata kunci; budi bahasa bermula dari rumah. Keluarga memainkan peranan penting dalam memupuk dan mendidik setiap ahli keluarganya mengenai perkara asas berbudi bahasa dan nilai-nilai murni. Seperti kata pepatah melayu, jika mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik. Jangan seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Berbudi bahasa adalah budaya kita yang menjadikan seseorang itu berhemah tinggi, lebih bertanggungjawab, berfikiran luas dan terbuka.

Menyusul pula gagasan kedua di bawah kata kunci; budi bahasa amalan kita. Selain memberi senyuman dan ucapan salam, amalan hormat-menghormati antara satu sama lain juga amatlah dianjurkan. Amalan ini dapat menjalinkan kemesraan dan seterusnya merapatkan hubungan masyarakat majmuk di negara ini. Apatah lagi jika penghormatan itu diberikan kepada orang tua tidak kira di mana-mana sahaja kita berada. Bukankah pepatah ada menyebut bahawa yang muda kita kasihi manakala yang tua harus kita hormati? Sekiranya amalan ini dapat dipraktikkan, ianya dapat menjaga keharmonian hidup bermasyarakat. Ia mewujudkan perpaduan berbilang kaum di negara kita. Ini dapat membantu mening meluncur turun; menggelongsor.katkan ekonomi negara kita kerana bila negara aman ramai pelabur asing akan datang melabur di negara kita.

Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,

Menyusuri pula idea ketiga di bawah kata kunci; budi bahasa penentu bangsa gemilang. Bangsa yang baik budi pekertinya akan dipandang mulia tetapi bangsa yang buruk pekertinya akan sentiasa berada dalam kerendahan biarpun dilimpahi dengan kemewahan. Ini kerana kemuliaan sesuatu bangsa itu kekal selagi mewarisi akhlak dan budi pekerti yang mulia. Lihatlah masyarakat Jepun yang terkenal dengan budi bahasa yang tinggi telah menjadi bangsa yang maju di dunia, sehinggakan kerajaan kita telah mengerakkan Dasar Pandang ke Timur. Amalan budi bahasa yang cemerlang boleh meningkatkan kecemerlangan sesuatu bangsa.

Sidang pendengar yang budiman,

Menelusi hujah saya yang keempat; anak-anak pewaris generasi berbudi bahasa. Anak-anak juga mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapanya seperti menghormati dan mentaati perintah ibu bapa. Maruah ibu bapa perlu dijaga; Janganlah menconteng arang ke muka ibu bapa.

Yang tua kita hormati

Yang muda kita kasihi

Budi bahasa kita sanjungi

Keluarga bahagia kekal harmoni.

Warga dewan yang dihormati,

Secara tuntas, amalan berbudi bahasa bukan bersifat sementara atau hangat-hangat tahi ayam. Sebaliknya budi bahasa adalah warisan bagi pelajar dan wajib ada pada semua individu. Amalan ini harus menjadi paksi kehidupan kita yang mesti diteruskan kerana ia merupakan nilai murni yang telah kita warisi sejak turun-temurun dan menjadi budaya kita. Bak kata pepatah hidup dikandung adat mati dikandung tanah.

Akhir kata,

Tingkap papan kayu bersegi,

Sampan sakat di pulau angsa;

Indah tampan kerana budi,

Tinggi bangsa kerana bahasa.

Sekian Wabillahi Taufiq wal Hidayah, Assalamualaikum w.b.tuh