Pidato Budi Bahasa Amalan Mulia

2

BUDI BAHASA AMALAN MULIA

NUR MIZA AFIQAH BT MOHAMMAD MOHSEIN(SK NONG CHIK)

Puyu-puyu konon namanya,

di dalam kolam konon tempatnya,

cantik manis barang lakunya,

serta dengan budi bahasanya.

Pantun ini dipetik daripada buku Sekalung Budi Seuntai Bahasa terbitan DBP 1998.

Barangkali, sebahagian besar daripada kita telah lupa kepada pantun tentang budi dan bahasa itu tadi.

ASSALAMUALIKUM…SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU 1 MALAYSIA BERBUNGAKAN KEMESRAAN…

Seungkap ucapan terima kasih buat Tuan Pengerusi Majlis, Sekalung Budi Seuntai Kasih buat barisan juri yang bijak bestari sebagai penegak keadilan, penjaga masa yang setia dengan jam randeknya, guru-guru berintegrati, rakan-rakan intelek muda serta warga dewan pencetus minda kelas pertama.

Budi Bahasa Amalan Mulia begitulah bunyi tajuk pidato saya. Justeru, sebelum lidah petah berkata, sebelum lafaz terus berbicara, izinkan saya mendefinisikan kata-kata keramat ini.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi keempat, budi ditakrifkan sebagai kebajikan, bahasa sebagai sistem lambang yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Amalan mulia membawa maksud satu tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati. Amalan mulia sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Budi bahasa dan amalan mulia boleh disimpulkan sebagai budi pekerti, tingkah laku,perangai atau perlakuan yang diamalkan seseorang semasa berinteraksi dengan oranglain berdasarkan neraca atau nilai baik yang disepakati

Bagi masyarakat Melayu amnya, perkataan budi itu membawa pelbagai maksud antaranya jasa dan sumbangan yang diberikan kepada individu yang lain. Lazimnya,orang yang menaburkan budi tidak mengharapkan balasan. Budi atau sumbangan itu baik dari segi tenaga atau material, mestilah diberi dengan ikhlas jika ingin diberkati ALLah SWT. Orang yang menerima budi pula tidak dituntut untuk membalas budi yang diterima,memadai budi diterima dengan penuh ikhlas dan kesyukuran.

Apabila kita dikejutkan supaya menjadi bangsa yang maju; dari bertani kita mahu menjadi masyarakat industri, maka, sedikit sebanyak nilai-nilai asal usul ketimuran telah terhakis dalam diri kita.

Apabila kampung menjadi kota atau orang kampung yang mencari hidup di kota, hambatan untuk hidup seolah-olah memaksa kita melupakan nilai-nilai kampung.

Kadangkala, kita sengaja mencari alasan kerana pada sangkaan kita, orang kota mesti ada lagaknya sendiri.

Barangkali juga, kita terlupa bahawa negara Jepun misalnya yang jauh lebih maju daripada kita. Tetapi, tidak ada istilah Jepun kampung atau Jepun kota. Jepunnya mereka kerana akrab dengan tatasusila dan budi bahasa mereka.

Sidang warga dewan yang budiman.

Jadi, tidaklah rugi kalau kita berbudi bahasa seperti orang kampung. Tidak ada siapa yang menganggap kita kolot. Malah, orang yang beranggapan begitulah yang kolot, sebab mereka melihat pada lingkungan yang sempit.

warga dewan yang bervisi,

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah sepenting dan sebesar Wawasan 2020. Cuba kita lihat kembali antara cabaran Wawasan 2020 ialah menjadi negara maju dalam acuan budaya kita.

Tetapi, untuk tidak kelihatan terlalu besar dan menakutkan, lihat saja budi bahasa dalam konteks kehidupan seharian semua dalam masyarakat kita hari ini. Contohnya, menunduk lalu apabila berjalan di hadapan ibu bapa kita.

Sidang penonton penuh santun,

Akhirnya, budi akan kita terima dalam pelbagai bentuk dan cara. Misalnya, apabila ada yang hadir hidup kita, dan mengusir duka dan lara juga adalah budi dan tentunya dengan bahasa yang menyenangkan kita.

Ingat, budi dan bahasa tidak akan terbalas dan bukan untuk dibalas. Budi dan bahasa yang baik akan terus kekal menjadi kenang-kenangan selama-lamanya.

SEKIAN, ASSALAMUALIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.