Pidato Bahasa Melayu Sk Skrip

SKRIP PIDATO

Mantan Perdana Menteri Malaysia , Tun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata,Bangsa yang mulia dan terhormat bukan sahaja bangsa yang kaya dengan intelek tetapi kaya dengan sikap berbudi bahasa.Kata-kata ini membuat saya terpanggil untuk merungkaikan melalui sebuah pidato yang berpaksikan tajuk Budi Bahasa Amalan Mulia.

Terima kasih sejambak mawar seharum kasturi buat pimpinan majlis, barisan kehakiman intelektual berkarisma, penjaga masa yang setia dengan masanya, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi.

Assalamualikum salam sejahtera dan salam satu Malaysia ,

Sidang saksi yang saya hormati,

Izinkan saya puteri Toh Sajak merungkaikan maksud pidato saya pada hari ini.

Budi bahasa merujuk kepada tutur kata ,kelakuan , sopan santun dan tatatertib . Dengan kata lain setiap gerak laku , tutur kata , tata cara hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain, mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa.

Sidang saksi yang saya muliakan

Sesunnguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya ,peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ingatlah falsafah hdup yang bertunjangkan nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia

Meninjau dari skop yang lebih luas , amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun dan memiliki tahap tatasusila yang tinggi. Bagi merealisasikannya subjek pendidikan moral dan pendididkan Islam memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai-nilai murni kepada murid-murid seawal mereka di bangku persekolahan.Bak kata perpatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Banyak implikasi akan timbul jika masalah budi bahasa tidak dihiraukan . Gejala tidak menghormati orang tua akan membawa kepada kesan buruk seperti wujud perasaan dendam,kasar,tidak segan silu melakukan perkara-perkara buruk,tutur bahasa yang kasar dan tidak sopan.Ini semua berlaku akibat terpengaruh dengan pelbagai budaya yang tidak sihat,terikut-ikut dengan budaya barat sehingga lupa kepada nilai-nilai murni dan adat resam timur yang akhirnya mempengaruhi imej,watak dan penampilan diri seseorang. Mengamalkan budaya bahasa yang baik dan nilai-nilai murni mencerminkan seseorang itu memiliki budi pekerti tinggi.

Amalan berbudaya bahasa menzahirkan rasa hormat antara satu sama lain,contohnya orang muda menghormati orang tua,anak menghormati ibu bapa,murid menghormati guru.Dengan jelasnya kita dituntut menghormati orang tua dan menyayangi orang muda.Firman Allah s.w.t: dalam surah Al-Hajh ayat 24 bermaksud,

Dan mereka diberi petunjuk (didunia) dengan mengucapkan kata-kata yang baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah yang maha terpuji.

Dewasa ini amalan budi bahasa dikalangan masyarakat kita semakin luntur nilai-nilai budaya bahasanya.Ini disebabkan oleh tuntutan mengejar kebendaan,pangkat hingga menafikan nilai-nilai murni.Dengan terhakisnya nilai-nilai murni menyebabkan masyarakat luntur akhlaknya.Kita mestilah berusaha untuk menaikkan kembali budaya Melayu dipersada dunia dengan budi pekerti yang mulia. Budi bahasa perlu diterapkan dalam apa jua keadaan agar budaya dan agama kita dinilai sebagai yang terbaik.

Sidang penonton penuh santun,

Bahasa melambangkan bangsa.Justeru ia perlu diterapkan dalam apa jua keadaan dan masa agar bangsa dan agama kita dapat dinilai sebagai yang terbaik.Kita hendaklah membudayakan budi bahasa samada ditempat kerja,jalan raya,rumah dan masjid.Kita juga perlu sentiasa mempamerkan imej diri yang positif dalam segala tindakan samada cara berfikir,melahirkan perasaan,pertuturan dan perlakuan.Hanya dengan cara itulah kita dapat membentuk satu budaya kerja yang mantap dan berkesan.

Jika suasana ini dapat diwujudkan,maka kemesraan akan wujud,saling hormat-menghormati antara satu sama lain,tanpa memperkecilkan dan meremehkan pandangan orang lain.

Tegak rumah kerana sendi,

Rosak sendi rumah binasa,

Tegak bangsa kerana budi,

Rosak budi runtuhlah bangsa.

Sidang saksi yang dihormati,

Kesimpulannya,untuk memastikan amalan berbudi bahasa ini subur dalam setiap masyarakat pada setiap masa, maka semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing.Setiap ibu bapa adalah model dan sewajarnya menunjulkan sikap yang terbaik ketika berkomunikasi dengan anak-anak.Ibu bapa perlu menyemai sikap berbudi bahasa yang cemerlang samada percakapan atau perbuatan.

Media massa diharapkan dapat memainkan peranan penting ke arah melahirkan generasi berbudi bahasa melalui penyebaran maklumat kepada pengguna.Pemantauan hendaklah dilakukan dengan lebih berkesan dari semasa ke semasa untuk memastikan budaya berbudi bahasa dapat dihayati oleh masyarakat.

Marilah sama-sama kita menerapkan amalan budi bahasa dalam komunikasi,ucapan,pertuturan,panggilan,pergaulan dan perlakuan samada dalam keluarga,masyarakat,mahu pun di tempat kerja.

Apa tanda Melayu jati

Adat dan syariat dipegang mati

Apa tanda Melayu beradat

Budi bahasa dipegang erat

.

Sekian terima kasih.

Pidato: "Melestarikan Alam Sekitar Tanggungjawab Kita Bersama"

andai patah sayap rajawali,

bertongkat jua saya ke mari,

bukan untuk bermadah saya kesini,

tetapi untuk kita sama-sama menghayati,mendalami dan menyelami mauduk bicara yang berbunyi melestarikan alam sekitar tanggungjawab kita bersama. Sekalung aprisiasi saya hulurkan buat saudara pengerusi,kombinasi intelektual kehakiman bervisi,guru-guru yang saya hormati,seterusnya hadirin hadirat yang di kasihi dekat di hati. Assalammualaikum dan salam 1 malaysia buat anda yang sudi melapangkan masa,apa khabar penutur bahasa Malaysia tercinta.

Warga dewan yang dikasihi sekalian,

Sebelum mulut membuka kata, sebelum lidah mengatur bicara,saya mewartakan dengan lebih jelas pendefinisian melestarikan alam sekitar tanggungjawab kita bersama sebagai mengekalkan ketulenan alam amanah kita semua. senario ini mempunyai aspek yang begitu meluas tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya terdapat 1 aspek yang perlu dipertekankan dibawah kata kunci tanggungjawab bersama.Sebenarnya alam sekitar bagaikan isi dengan kuku hubungannya dengan manusia, kerana manusia dan alam sekitar memerlukan antara satu sama lain justeru alam sekitar perlu diberi dilestarikan agar seluruh organisma di bumi ini dapat hidup dangan selesa dan harmoni

Hadirin hadirat sekalian,

Indikator saya yang pertama bagi melestarikanalam sekitar ialah mengadakan kempen kesedaran alam sekitar,tujuannya bukanlah untuk membebankan,melecehkan mahupun menyusahkan hadirin hadirat,sebaliknya meminimumkan masalah pencemaran alam yang berlaku secara abnormal,sepertimana proses penebangan dan pembakaran hutan untuk tujuan pembangunan,yang kononnya untuk menjimatkan masa,tenaga serta mengelakkan bebanan kos. Deklarasi demi deklarasi telah dijalankan,memang mejoritinya semua individu sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar namun segalanya hanya rayuan manis dibibir senyuman sinis yang dilemparkan.kita sebenarnya tidak sedar bahawa bumi ini bukan milik kita sebaliknya kita hanya meminjam dari generasi yang akan datang. Tuntasnya kempen kesedaran wajar dilaksanakan agar masyarakat sedar akan tindak tanduk mereka dan segera melestarikan alam sekitar.

 Warga dewan yang bijak bestari,

Indikator saya yang ke-2 ialah ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Hal ini kerana ibu bapa merupakan orang yang mempunyai masa senggang yang panjang bersama anak-anak.terdapat segelintir remaja mahupun kanak-kanak yang masih lagi acuh tak acuh dalam aspek kebersihan.saya bawakan contoh yang mudah, pembuangan puntung rokok dan kertas pembalut gula-gula di merata-rata tempat, acapkali kita lihat tempat-tempat seperti perhentian bas dan tandas awam dicemari oleh benda-benda kecil ini,sebenarnya setiap individu daripada kita mempunyai peranan dalam usaha melestarikan alam sekitar, walaupun ianya remeh,namun jangan di sebabkan remeh kelak membinasakan masyarakat sekaligus merobek keindahan alam. Tegasnya ibu bapa perlu memberi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak di samping menasihati mereka supaya mencintai kerbersihan alam sekitar bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Warga dewan sekalian,

Indikator saya yang ke-3 ialah pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan undang-undang alam sekitar di Negara kita sekaligus mengenakan denda yang sebati dengan kesalahan yang dilakukan sepertimana yang termaktub dalam seksyen 29 akta kualiti alam 1974 yang menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan kerosakan alam sekitar boleh didenda RM500 000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Hal ini kerana segelintir individu masih lagi tidak bertanggungjawab  dengan melakukan perbuatan yang mencabul keindahan alam sedangkan kita dituntut menjaga kebersihan dan mencintai alam sekitar begitu juga Mahatma Gandhi,pemimpin india tersohor ada mengatakan bumi pada hari ini hanya mencukupi bagi orang biasa tetapi tidak kepada orang yang tamak haloba, yang membawa maksud mereka yang mencemarkan alam sekitar demi mendapatkan keuntungan tidak berhak keatas bumi ini. kata-kata ini membuatkan saya cukup terpanggil untuk mengajak saudara saudari memikirkan kepentingan manusia melestarikan alam sekitar kita. Rasionalnya jika amalan ini tidak dipratikkan maka sukarlah untuk kita merealisasikancabaran ke-4 dengan wawasan 2020

Sidang dewan sekalian,

Indikator saya yang ke-4 menekankan pihak media massa sebagai salah satu medium efektif dalam melestarikan alam sekitar, hal ini merujuk kepada peranan media massa yang mampu  mempengaruhi minda masyarakat, terutamanya remaja selaku generasi pelapis untuk melesterikan alm sekitar tercinta. Pelbagai informasi tentang alam sekitar dapat di perolehi melalui media ini, sama ada melalui iklan,berita,wawancara mahupun rancangan berbentuk dokumentari. Senario ini secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan alam sekitar, apakan kesan-kesan kemusnahanya? serta yang paling utama bagaimanakah cara-cara untuk kita menjaganya, enak lauk di kunyah-kunyah,enak kata diulang-ulang,sekiranya iklan tentang kepenting melestarikan alam sekitar ini sering diulangi,acapkali didengar,sudah pasti setiap individu dalam masyarakat merasakan tanggungjawab yang harus dipikul dalam mengekalkan keindahan alam sekitar. Tegasnya pihak media massa perlu berganding bahu kerana mereka merupakan salah satu pihak yang penting dalam memberi pendekatan kepada masyarakat dengan lebih efektif.

Warga dewan sekalian,

Harus di kejut mana yang lena,

Harus ditegur mana yang alpa.

Sebelum manusia ditimpa bencana,

Sebelum alam mulai berbicara.

Oleh itu,bukalah mata seluasnya dan sama-sama kita memulakan anjakkan paradigma dangan menanamkan semangat cintakan alam sekitar.ingatlah alam cemerlang,hidup gemilang. Jadi anda bayangkan andainya alam boleh berbicara dan mungkin inilah luahan perasaan sebatang pokok meranti ataupun seekor semut merah.konklusinya manusia mengancam manusia yang terancam. Persoalannya demi mengejar sesuatu kemajuan,haruskah alam menjadi taruhan? Fikir-fikirkan agar masalah ini tidak akan berleluasa sehingga mengakibatkan ledakan tsunami di jepun, gunung merapi memuntahkan lavanya,dan taufan Katrina serta Wilma Amarika. Tepuk dada tanyalah minda,tepuk dahi fikirlah sendiri, melestarikan alam sekitar tanggungjawab kita bersama

Teks Pidato : Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia

Bahasa Melayu indah nan santun,

     Mekar-megah di pentas dunia,

Jari sepuluh kemas kususun,

     Mohon bicara nan menyusun kata.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,  salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Salam aprisiasi saudara pengatur majlis,

Barisan panel penghakiman penuh berkarisma,

Guru-guru seterusnya rakan-rakan yang sentiasa celik akal minda  dan penerus  wadah tonggak negara.

Sidang hadirin yang dihormati,

Tajuk pidato saya Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia.   Bahasa sangat luas pengertiannya, bahasa tidak hanya merujuk sebagai satu sistem linguistik  semata-mata, tetapi bahasa juga  citra  budaya bangsa Malaysia dan fungsi bahasa  itu sendiri sebagai alat perhubungan sosial dalam masyarakat.  Menurut Pendeta Bahasa  Zaaba  , bahasa merupakan citra masyarakat, budaya, akal budi, jiwa atau roh sesuatu bangsa.  Keintelektualan dan tamadun bangsa membuktikan peranan terbesar bahasa sesuatu bangsa. Melalui bahasa orang dapat mengenal sesuatu bangsa  atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan.  Sebagai warga Malaysia, kita seharusnya menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai jiwa bangsa kita dan citra jati diri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya .  Pada bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.

Bicara saya yang pertama,

Bahasa Melayu Citra Bangsa 1 Malaysia

Bahasa Melayu merupakan wasilah  terpenting  dalam  menyatukan bangsa Malaysia. Sesungguhnya, apa yang termaktub dalam Perkara 152 yang menyediakan peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan .Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, bahasa Melayu bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Justeru niat murni mendaulatkan bahasa Melayu dapat  menyatupadukan kaum-kaum, yang terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, dan lain-lain di bawah satu bahasa.  Cuba kita bayangkan, bagaimana selepas hampir 55  tahun merdeka, jika kaum Melayu hanya dengan bahasa Melayunya, dan kaum Cina dengan bahasa Mandarin,Tionghua, ataupun Hokkien nya, dan kaum India pula dengan bahasa Tamil nya sahaja, maka bagaimanakah kewujudan bangsa Malaysia dapat direalisasikan?  Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa  Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa  1 Malaysia. Sebaliknya, jika kitamendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing’. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri  kita sebagai bangsa 1 Malaysia.  Ayuh , marilah k ita berbahasa Melayu   sebagai  bahasa kebangsaan – 1 bahasa,  1 bangsa, 1 nusa  dalam  merealisasikan wawasan 2020.

Hadirin hadirat sekalian,

Bicara  saya yang kedua,

Bahasa Melayu Memajukan Bangsa Malaysia,

Bahasa Melayu menjadi pemancu   ke arah kemajuan bangsa. Sesungguhnya untuk mewujudkan satu bangsa itu bukanlah mudah. Suka saya tegaskan di sini, bahawa dalam konteks  pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing.  Walaupun kita mempelajari bahasa asing sebagai bahasa  global, namun kita tidak seharusnyamembiarkan jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing.  Cuba kita teladani , Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea,  negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing . Nah , sewajarnya kita menjadikan bahasa Melayu  sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden.  Justeru, akan tercapailah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan kita sendiri, siapa lagi?

Inilah prinsip umbi yang seharusnyakita junjung, jika kita benar-benar serius untuk mewujudkan bangsa Malaysia, bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Seterusnya, izinkan saya meneruskan  bicara saya yang ketiga

Bahasa Melayu Memartabatkan Bangsa Malaysia

Bahasa Melayu memartabatkan bangsa Maysia . Bahasa adalah penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa.Tetapi malangnya,dewasa kini kita dapat lihat bangsa kita sendiri telah memusnahkan kesantunan bahasa Melayu itu dengan pelbagai aspek yang tidak bermoral. Kesannya, bagaimana untuk kita memartabatkan bangsa kita? Bagaimana untuk dunia memandang tinggi bangsa kita? jika kita sendiri tidak tahu menghargai keunikan dan keindahannya. Pembudayaan bahasa Melayu harus nyata .Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, Lorong Touch n Go. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah Lorong pacu segera Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan touch n go Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch n go. Tepuk dada, tanya selera.

Sudah sampai masanya semua pengiklanan dalam negara menggunakan bahasa Melayu dengan betul daripada aspek hukum nahu bahasa Melayu.  Penggunaan  bahasa Melayu yang diselangi perkataan dan nilai bahasa asing secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi bahasa Melayu yang berterusan. Bahasa Melayu yang baik akan memartabatkan bangsa Malaysia.

Kesimpulannya, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai  satu bangsa.Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah. Bahasa itu citra sesuatu bangsa.

Akhir kata;

Yang kurik itu kendi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warah matullahiwabarakatu.

Bahasa Jiwa Bangsa.

Andai patah sayap rajawali,

bertongkat jua saya ke mari,

bukan kerana ingin bermimpi,

tetapi untuk membawa anda semua menyelami mauduk pidato yang berbunyi  Bahasa Jiwa Bangsa.

Sambutlah Salam Sejahtera,Salam Satu Malaysia. Semarak kasih,sekalung budi Tuan Pengerusi Majlis,barisan panel hakim yang arif lagi berkarisma,penjaga masa setia pada saat dan ketikanya,dif-dif kehormat,seterusnya para hadirin pencetus revolusi minda yang saya muliakan.

Sebelum kaki mengorak langkah lebih jauh,izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya. Menurut kamus Bahasa Malaysia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahasa ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi suara. Jiwa pula merupakan roh atau nyawa. Seterusnya Bangsa dapat didefinisikan sebagai j enis manusia daripada satu asal keturunan.

Secara konotosinya Bahasa Jiwa Bangsa juga membawa maksud milik mutlak sesuatu bangsa  yang menjadi  identiti kebangsaan.Sesungguhnya Bahasa itu menunjukkanjati diri sesuatu bangsa.

Kekuatan bahasa itu juga membuktikan  kuatnya sesuatu bangsa itu sendiri.

Yang kurik itu kundi.

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dan pergaulan terutamanya dalam aspek pertuturan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas Bahasa Kebangsaan kerana Bahasa Jiwa Bangsa. Hal ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, bahasa itulah yang membentuk  jiwa kita sekaligus memercikkan jati diri kebangsaan.

Persoalannya kini, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang  dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa? Perlu dinyatakan di sini, hanya bahasa kebangsaan yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarakkan jati diri kebangsaan.

Tidak melayu hilang di duniaKata-kata keramat Laksamana HangTuah ini mungkin hanya tinggal retorik semata-mata sekiranya bangsa Melayu tidak menjaga keunggulan ataupun integriti bangsa dan bahasanya.

Hadirin warga dewan yang dimuliakan,

Pidato saya pada hari ini akan mengupas dua komponen utama yakni peranan Bahasa Kebangsaan ke arah memartabatkan negara di mata dunia.Komponen pertama, bahasa kebangsaan bahasa perpaduan.Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah menjadi Bahasa Lingua Franca bagi negara-negara di kepulauan Melayu. Hal ini telah menjadi kebanggaan kita untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

Pada amnya,proses evolusi Bahasa Melayu berkembang selaras dengan taraf  pembangunan yang dicapai oleh negara dan rakyat. Pada masa kini, Dasar Bahasa Kebangsaan telah mengiktiraf  Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang digunakan dalam setia purusan. Tidak cukup dengan itu,dasar pendidikan kita juga menetapkan bahawa Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Dengan adanya dasar-dasar ini,kita bukan sahaja dapat memastikan Bahasa Kebangsaan termaktub dalam perlembagaan,tetapi dapat dihayati dan diamalkan secara meluas oleh masyarakat.

Warga pendengar yang budiman,

Pidato ini tiada selingan iklan,lantaran itu,izinkan saya membawa hadirin sekalian kepada komponen pidato saya yang kedua iaitu bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

Bahasa juga berperanan sebagai bahasa sosial,bahasa ekonomi,bahasa pentadbiran dan bahasa peradaban moden. Bahasa Kebangsaan juga sebagai wadah terpenting untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia. Sekiranya diabaikan ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia.

Bahasa Kebangsaan juga adalah milik semua  rakyat  tanpa mengira kaum,agama,budaya dan bahasa  ibunda. Sekiranya ini dilakukan secara bersama,maka gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri  kita YAB Dato.Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak boleh kita jayakan.

Hadirin yang dimuliakan,

Dalam meredah arus globalisasi kini,Media massa berperanan penting dalam mengembangkan Bahasa Melayu agar identiti kita sebagai bangsa Melayu dikenali oleh masyarakat di seantero dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus mengamalkan Bahasa Melayu dalam apa jua perkara agar kita dapat menaikkan taraf  Bahasa Kebangsaan kita seiring dengan bahasa-bahasa lain di dunia.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya menamatkan bait-bait bicara saya,izinkan saya menghadiahkan serangkap pantun,

Sedap makan kacang kelisa,

Buah peria pahit dan maung,

Bahasa menggabungkan etnik bangsa,

Satu Malaysia sama bernaung.

Justeru,gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, kaya dengan budi bahasa dan memiliki minda kelas pertama. Bahasa Kebangsaan harus didaulatkan. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020. Secara konklusinya, Bahasa Jiwa Bangsa jelas menunjukkan bahawa Bahasa Melayu itu menjadi nadi penggerak yang amat penting untuk menzahirkan identiti diri kita. Bahasa ibunda sewajarnya dipraktikkan agar tidak akan pupus ditelan zaman. Akhir sekali,bahasa itulah yang menunjukkan bangsa.

Sekian terima kasih……. Salam perpaduan Salam 1 Malaysia.

Bahasa Jiwa Bangsa

Alam Sekitar

Pembangunan adalah sebahagian daripada perkara yang sering berlaku di sekeliling kita pada setiap hari. Atas nama pembangunan, saban waktu kita melihat keadaan semula jadi di muka bumi ini terpaksa dikorbankan sedikit demi sedikit, demi apa? Demi untuk mengejar sejuta impian yang terkandung di dalam piagam pembangunan.

Yang dihormati tuan penegerusi majlis, yang arif lagi bijaksana barisan hakim yang berpaksikan keadilan, semestinya, saudara/saudari penjaga masa yang setia dengan randiknya, seterusnya rakan seperjuangan yang saya segani serta hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian. Assalamualaikum dan salam pertemuan. Berdirinya saya disini, bukanlah untuk membuang masa hadirin, bukan pula membuat tarian salsa dan bukan juga mengalunkan irama pop yeh yeh akan tetapi menyampaikan seuntai syarahan/pidato saya iaitu penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama. Di sini saya akan mengunkapkan beberapa persoalan yang bersangkutpaut dengan pelestarian alam sekitar tanggung jawab bersama.

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, jika kita lihat tajuk syarahan/pidato ini, ianya merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan. Tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan tanggungjawab bersama. Saya akan pecahkan yajik saya ini kepada tiga komponen utama. Yang pertama akan saya kupaskan punca-punca kemusnahan alam sekitar, keduanya kesan-kesan kemusnahan alam sekitar dan seterusnya mencari jalan alternative dalam melestarikan alam sekitar. Semuanya tidak lain dan tidak bukan bertunjangkan tema pemjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama.

Sidang pendengar yang penuh santun,

Komponen saya yang pertama adalah punca-punca kemusnahan alam sekitar. Kemusnahan terhadap alam sekitar terjadi angkara perbuatan manusia yang tidak mematuhi peraturan dan rang undang-undang mahupun kaedah yang selamat dalam aktiviti kehidupan seharian. Tindakan tersebut itu dikaitkan dengan sikap ingin mengaut keuntungan maksimum dan mengurangkan bebanan kos yang ditanggun. Peraturan soal kebersihan dan menjaga alam sekitar ada dibincangkan dalam kitab-kitab feqah yang menandakan amalan ini penting dalam ajaran islam. Pemimpin tersohor india, mahatma Gandhi pernah berpesan bahawa dunia hari ini hanya mencukupi untuk orang biasa tetapi tidak kepada orang yang tamak dan haloba. Kata-kata yang terlalu besar dasar maknanya ini membuatkn saya cukup terpanggil mengajak saudar saudari sama-sama memikirkan keadaan alam sekitar kita.

Sidang warga dewan sekalian,

Terdapat segelintir individu yang bersikap tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan yang merobek keindahan alam sekitar seperti membuang sampah, sisa toksik dan agen pencemar alam sekitar secara tidak terancang dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sekaligus menyebabkan keindahan alam sekitar tercabul. Tindakan buruk itu bukan sahaja menyalahi undang-undang Negara, bahkan satu perbuatan berdosa di sisi agama. Ajaran islam menegah umatnya melakukan perbuatan yang diketahui mendatangkan kesan buruk, tidak kiralah kecil tau besar sesuatu kesalahan itu. Individu yang tidak bertanggungjawab akan melakukan sesuatu berdasarkan mana yang lebih mudah dan menguntungkan mereka. Soal keburukan dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain tau masyarakat tidak pula dikisahkan. Hal ini umpama jari-jari liar yang rakus menerkan mangsanya. Batu dilontar ke depan, tangan disorok ke belakang, yang kononnya terlalu sarat dan berat hendak dipikul dan difikirkan bersama. Menyesakkan nafas orang yang melihat saja. Manusia oh manusia oh manusia !

                                                     Sidang pendengar yang setia,                               

Kita terus meneroka dengan komponen kedua saya iaitu kesan-kesan kemusnahan alam sekitar. Dipetik daripada Malaysia Today, para akademik mendapati bahawa 2/3 daripada ekosistem yang seimbang yang telah dikaji, telah mengalami kerosakan di tangan manusia sepanjang setengah abad yang lalu. Wilayah tanah kering di dunia, yang mewakili 41% permukaan tanah di bumi, telah begitu teruk dimusnahkan. Namun, di sini jugalah populasi manusia telah berkembang dengn bergitu pesatnya sejak tahun 1990-an. Sepanjang 50 tahun yang lalu, manusia telah mengubah ekosistem dengan pantas dan meluas berbanding mana-mana waktu dalam sejarah manusia. Kebanyakannya bagi memenuhi permintaan dan kehendak yang meningkat untuk makanan, air bersih, kayu balak serta keperluan yang lain. Seluruh akibatnya, hanya kini, kian Nampak jelas. Lebih kurang 15 daripada 24 ekosistem yang utama yang merupakan tapak kehidupan atas bumi telah mengalami kerosakan yang serius.

Selain itu, kita sememangnya sedia maklum sector pertanian menjana pendapatan Negara dan sumber pendapatan yang terpenting. Namun begitu, peningkatan nutrient buatan manusia dalam persekitaran telah membawa kepada peningkatan alga. Hal ini akan mengurangkan oksigen bagi hidupan akuatik dan juga menghasilkan bahan toksik yang membahayakan air untuk di minum. Hal ini disebut sebagai eutrofikasi yang disebabkan oleh cahaya matahari yang tidak dapat menembusi dasar air akibat daripada pengumpulan alga di atas permukaan air. Maka, tumbuhan akuatik tidak dapat menjalankan proses fotosintesis untuk mengahasilkan oksigen sekaligus menyebabkan hidupan akuatik di ambang kepupusan. Terumbu karang yang di dominasi oleh batu karang kini dengan tiba-tiba berubah kepada dipenuhi alga, yang telah bertambah disebabkan bertambahnya kadar nutrient yang turun dari sumber-sumber dari darat. Banyak terummbu karang di Jamaica kini di dominasi oleh alga. Sekali lagi, hidupan akuatik diancam kepupusan akibat kemusnahan habitat.

Sidang saksi yang bermisi,

Sudah banyak kesan buruk dapat dilihat dan dialami oleh seluruh masyarakat dunia akibat masalah pencemaran. Isu pencemaran alam merupaka masalah peringkat global yang turut melanda Negara seluruh dunia. Mungkin sesebuah Negara itu telah, sedang dan akan mengalami krisis ini. Kegagalan sesebuah Negara menangani isu alam sekitar turut melepasi sempadan Negara apabila kesannya turut dirasai di Negara lain. Maka, sudah tentulah isu alam sekitar sering menjadi duri dalam daging hudungan dua hala Negara yang berjiran. Sedekad lalu, masyarakat dunia heboh dengan masalah penipisan lapisan ozon. Kejadian itu selalu menjadi igauan ngeri bagi generasi kini dan akan dating. Generasi kini merupakan pencetus generasi akan datang. Lapisan ozon yang melindungi bumi daripada sinaran ultra-lembayung (UV) disebabkan pelepasan gas-gas berbahaya secara tidak terkawal. Melepaskan unsur pencemaran ke udara sememangnya tidak dapat dielakkan. Aktiviti harian manusia sudah pasti tidak lepas daripada menghasilkan bahan buangan.

Namun, apakah tindakan kita? Jangan biarkan diri anda diselubungi dengan misteri. Kita teruskan dengan komponen ketiga saya iaitu kempen melestarikan alam sekitar. Sebenarnya, kempen ini bukanlah bertujuan untuk menyusahkan, membebankan mahupun melecehkan hadirin sekalian tetapi bertujuan untuk mencari alternative meminimumkan kesan daripada aktiviti tersebut. Sebenarnya krisis alam sekitar bukannya suatu isu yang boleh dianggap remeh. Di peringkat global, pelbagai perbincangan khusus yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi Negara di seluruh dunia. Deklarasi demi deklarasi telah di buat mengenai tatacara dan usaha untuk mengatasi masalah ini. Memang tidak dinafikan, semua pihak sedar tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Bagaimanapun, perkara yang agak menyedihkan apabila Negara maju yang sedia kita tahu yang sebenarnya lebih banyak menyebabkan masalah alam sekitar ini mengambil jalan mudah dengan menuding jari terhadap Negara membangun sebagai punca berlakunya masalah alam sekitar. Justeru itu, Negara maju cuba mengahalang atau memualaukan hasil kayu seperti perabot yang dihasilkan daripada Negara membangun sebagai ugutan berlapik bagi menutup mulut Negara membangun. Memang sukar untuk Negara membangun menegur dan memperbetulkan sikap buruk Negara maju. Maka, langkah yang mampu diambil ialah tindakan yang dilakukan di dalam Negara sendiri.

Ramai yang beranggapan bahawa pencemaran secara besar-besaran sahaja boleh mencemarkan alam sekitar. Namun, hakikatnya memang berbeza seperti yang difikirkan. Saya bawakan contoh membuang punting rokok dan kertas pembalut gula-gula juga perbuatan yang mencemarkan alam sekitar. Biarpun kecil, tetapi sekiranya jumlahnya berlipat kali ganda tetap akan mencemarkan alam sekitar. Acapkali kita lihat tempat-tempat seperti perhentian bas, tandas awam, dan sebagainya kelihatan agak kotor disebabkan benda-benda kecil ini. Sebenarnya, setiap antara kita mempunyai peranan untuk melestarikan alam sekitar biarpun perkara itu dianggap remeh. Jangan disebabkan benda remeh ini, kelak membawa binasa kepada seluruh komuniti masyarakat.

Hadirin sekalian, sidang penonton penuh santun  

Harus dikejut mana yang lena,

Harus ditegur mana yang alpa,

Sebelum manusia ditimpa bencana,

Sebelum alam mulai bicara.

Jika dikaji antara flora dan fauna tidak boleh dipisahkan. Asimilasi ini bagai isi dengan kuku, bagai irama dengan lagu, bak aur dengan tebing. Oleh itu, sekiranya hutan ditebang, hutan dimusnahkan, hutan diterokai untuk pembangunan sudah pastilah haiwan-haiwan akan pupus. Tidak hairanlah hadirin sekalian, jika suatu hari nanti, monyet-monyet, harimau-harimau mahupun gajah-gajah ingin berumah bersama kita. Bahkan jangan terkejut sekiranya cucu cicit kita mengatakan beruang, panda itu,  ialah pokok yang tumbuh melilit ditepi pagar. Seterusnya, ledakan bom jangka panjang ketiga ini umpama ledakan bom jangka panjang pada generasi mendatang.

Oleh itu, hadiri sekalian, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan paradigm dan menanamkan sikap mencintai alam sekitar. Ingat, alam gemilang, hidup pasti cemerlang. Jadi, anda bayangkan andainya alam boleh berkata-kata mungkin inilah luahan rasa sebatang pokok meranti atau rintihan seekor semut api merah. Konklusinya, manusia yang mengancam, manusia sendirilah turut terancam. Persoalannya, untukn mengejar secangkir kemajuan, haruskah alam menjadi taruhan? Timbang-timbangkan agar bom jangka ini tidak terus-terusan meledak seperti ledakan tsunami di Acheh, gempa bumi di Pakistan dan taufan Katrina di Amerika syarikat. Tepuk dada tanyalah minda, tepuk dahi fikirlah sendiri. Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama, wabillahitaufil walhidayah, wassalamualakum warahmatullahi wabarakatuh. Pemidato bestari mohon permisi !   

TAJUK PIDATO :  ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,

Barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana,

Dif-Dif Terhormat dan seterusnya hadirin hadirat sekalian.

Assalamualaikum pembuka bicara.

Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama. Begitulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini. Sebelum lidah menerus bicara, izinkan saya mendefinisikan dahulu tajuk pidatoan ini.

Mengikut kamus dewan, alam sekitar ditakrifkan sebagai segala yang ada di bumi dan di langit.

Tanggungjawab pula ditakrifkan sebagai amanah dan tugas yang perlu dipikul oleh seseorang, manakala bersama pula diertikan sebagai semua yang terlibat.

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau mencorakkan alam sekitar merupakan satu kesedaran dan tanggungjawab semua pihak. Bak kata pepatah hadirin-hadirat sekalian,  bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Maka segala usaha untuk membersihkan dan mencantikkan alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.

Hadirin  yang dihormati,

Negara kita Malaysia sedang dilimpahi dengan arus pembangunan yang maha hebat. Di sana sini mata dapat menikmati bangunan pencakar langit. Kita amat berbangga dengan arus pembangunan yang kita nikmati. Namun di sebalik pembangunan yang semakin rancak, janganlah  pula kita leka dengan isu pembangunan alam sekitar kerana sesungguhnya kedua-dua pembangunan ini amat berkait rapat.

Hadirin yang dihormati,

Menjaga alam sekitar bukanlah semudah menjaga haiwan ternakan. Rasa tanggungjawab itu lebih daripada yang dituntut kerana menjaga alam sekitar tidak boleh dilakukan secara sendirian. Semua pihak wajib mencintai alam sekitar. Kita tidak mahu menuding jari ke arah pihak lain sekiranya alam sekitar tercemar. Yang perlu kita lakukan adalah melihat ke dalam diri kita sendiri dan perlu bertanggungjawab untuk memulihara alam. Tahukah hadirin sekalian, fenomena tanah runtuh, jerebu, sungai dipenuhi sampah-sampah sarap dan dipenuhi toksid dan seribu lagi masalah berkaitan alam sekitar mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak menyayangi alam sekitar.

Kita sewajarnya mencontohi sikap masyarakat Jepun yang yang mempercayai semangat alam. Mereka percaya sekiranya alam sekitar sihat dan segar, manusia dan penghuninya juga demikian.

Hadirin yang dikasihi.

Wajah kita sebenarnya dapat dilihat daripada alam sekitar. Alam sekitar ialah imej kita. Alam yang cantik akan menjadi daya penarik kepada pelancong luar. Keadaan ini secara tidak langsung hadirin sekalian, akan membantu dasar ekonomi Negara. Kita boleh beralih ke sector pelancongan untuk menarik pelabur luar. Oleh itu amat wajar sekiranya kita mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memelihara alam sekitar.

Hadirin yang dihormati,

Siapakah yang perlu menjaga alam sekitar ?Sudah tentulah jawapannnya merujuk kepada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.  Kanak-kanak perlu diberi pendidikan supaya mencintai alam sekitar. Manakala golongan dewasa pula diingatkan supaya menjadi teladan kepada golongan muda terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Para pengusaha perlu beringat dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya berusaha mencari jalan  untuk menjadikan alam sekitar lebih menarik. Mereka perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk sama-sama menjaga dan memelihara alam sekitar agar kelestariannya terpelihara. Jelaslah hadirin sekalian bahawa pendidikan menjadi teras kepada rasa tanggungjawab ini. Benar kata seorang pujangga Yunani, iaitu hanya pendidikan sahaja yang dapat mengubah alam ini. Kata-kata itu mengingatkan kita kepada rasa tanggungjawab yang lebih besar maknanya dalam konteks mencintai alam sekitar.

Hadirin sekalian.

Malaysia juga sebenarnya sudah mulai sedar tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut pada setiap 23 April menunjukkan kepekaan kita terhadap alam sekitar.

Berdasarkan hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar ialah tanggungjawab kita bersama. Kita tentu tidak mahu hidup kita diselubungi pencemaran. Yang kita perlu untuk tubuh badan kita ialah sumber makanan dan udara yang sihat. Oleh itu, untuk memastikan tubuh kita sihat, semuanya  bergantung pada alam sekitar yang sihat.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua yang berada di dalam dewan ini agar sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga keindahan alam sekitar. Renungilah bait-bait ini sebelum saya menutup bicara :

Bumi yang tiada udara, Bagai tiada nyawa

Dia dikelar manusia, yang jahil tentangnya.

Sekian, terima kasih.