Pidato Berucap Guru Siswazah Di Sekolah Rendah Pemangkin

Guru Siswazah Di Sekolah Rendah Pemangkin Kemajuan Pendidikan Negara

Bismillahirrahmanirrahim,

William Glasser pernah berkata , "Kita boleh mengajar banyak perkara ; tetapi jika seorang guru tidak boleh bercakap kepada sekumpulan pelajar yang senang diajak berbicara ,beliau tidak akan pernah menjadi guru yang kompeten . "

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Yang dihormat Tuan Pengerusi Majlis , diff kehormat, kombinasi kehakiman yang bijaksana yang sedang mejunjung mahkota keadilannya, penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya dan hadirin hadirat yang saya muliakan. Marcapada ini, ramai guru siswazah yang dilahirkan untuk mendidik para murid di sekolah rendah. Namun, ramai yang tertanya-tanya adakah para guru siswazah ini benar-benar pemangkin pendidikan Negara? Adakah golongan ini lebih baik berbanding guru-guru terdahulu dalam menjadi pemangkin pendidikan Negara? Maka, pada hari yang indah ini, saya ingin menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Guru Siswazah di sekolah rendah pemangkin kemajuan pendidikan Negara.

Sidang dewan yang dihormati sekalian,

Sebelum saya mengupas lebih lanjut lagi, izinkan saya memberikan definisi guru siswazah. Guru siswazah ialah pendidik yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran kerana mereka mempunyai ijazah sarjana muda. Kecemerlangan yang ada pada guru siswazah mampu membawa perubahan kepada sistem pendidikan Negara.

Sidang dewan yang budiman,

Bingkisan wacana saya yang kedua berpaksikan guru siswazah ialah pendidik yang mempunyai peribadi, kemahiran dan pengetahuan yang unggul.. Guru siswazah ialah pendidik yang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan, dan berpegang teguh kepada etika perguruan. Guru siswazah juga mampu menguasai bidang kepakarannya, menjadi pakar rujuk, seterusnya berpengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud:

"Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat,"

Dengan adanya guru siswazah, maka transformasi pendidikan Negara akan berjaya dilakasanakan. Buktinya pada tahun 2010, bermulalah kurikulum standard sekolah rendah, Program Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) berjaya direntas dan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, sekolah berprestasi tinggi kian membanggakan.

Sidang dewan yang berwawasan,

Yang tidur, bangkitlah,

Yang celik, bukalah minda,

Mari bersama saya menyusuri wacana ketiga,

GURU SISWAZAH, GURU CEMERLANG, HASIL KERJA GEMILANG, KOMUNIKASI TERBILANG

Sebagai guru siswazah, berupaya meningkatkan hasil pembelajaran ke arah membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidik juga harus memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi. Menurut Dato Seri Muhammad Najib Tun Abdul Razak, pendidikan di Malaysia memerlukan guru yang mempunyai hasil kerja yang gemilang dan komunikasi yang terbilang bagi menggerakkan transformasi pendidikan Negara bertaraf dunia. Hal ini selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bermatlamat mentransformasikan pendidikan Negara di peringkat global.

Seandainya saya bertanyakan anda tentang kumpulan Zero dengan lawak tak kering gusi mereka, Safiq Rahim yang tangkas beraksi di Johor Darul Takzim, Rozita Che Wan yang cantik lagi menawan sudah pasti anda sedia maklum. Tetapi, adakah anda kenal nama-nama seperti Amy Ng May Kay dan Daniel Rajasingam Subramaniam ? Sudah tentu jawapannya tidak kerana mereka ini merupakan pelajar yang telah mengharumkan nama Negara di arena antarabangsa. Amy Ng May Kay ialah pemenang pingat emas dalam pertandingan APEC Future Scientist Conference manakala Daniel Rajasingam Subramaniam telah memenangi hadiah utama Anugerah Kesusasteraan Dublin untuk Remaja Malaysia 2011.

Kehebatan mereka ini adalah hasil daripada guru cemerlang, hasil kerja guru yang gemilang, dan komunikasi guru yang terbilang. Lantaran itu, transformasi pendidikan Negara bertaraf dunia akan dapat direalisasikan.

Sidang dewan penjana transformasi,

Kesimpulannya dari pidato ini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa guru siswazah di samping menjadi pemangkin pendidikan negara, juga bergerak pantas untuk turut sama turun padang memainkan peranan dan melaksanakan tugasnya dengan lebih drastik agar hasilnya dapat dimanfaatkan secara berkesan dan berketepatan dengan visi dan misinya. Selain dari mempunyai hati yang kukuh, jiwa yang tenang dan semangat yang kental dalam apa jua tindakan dan cabaran yang melintang dalam usaha menongkah arus kehidupan. Saya ingin menegaskan masyarakat perlu menghayati pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa kerana Islam memuliakan peranan guru dalam masyarakat dan mengangkat darjat mereka yang memiliki ilmu dan mengajarkannya kepada mereka yang lain.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa ,

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,

Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara,

Jika hari ini seorang ulama yang mulia,

Jika hari ini seorang peguam menang bicara,

Jika hari ini seorang penulis terkemuka,

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Guru siswazah adalah pembentuk generasi muda negara di masa hadapan…..

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih.

loading...