Pidato Jiran Sepakat Membawa Berkat

Jiran Sepakat Membawa Berkat

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, para hakim yang arif lagi bijaksana , guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Terima kasih kerana melapangkan masa untuk mendengar syarahan saya pada pagi ini. Tajuk syarahan saya ialah Jiran Sepakat Membawa Berkat.

Hadirin sekalian,

          Kita semua sedia maklum bahawa jiran merupakan orang yang terdekat dengan kita. Merekalah yang kita dapat bantuan dengan segera sekiranya ditimpa kesusahan atau dirundung malang. Oleh itu, kita mestilah senantiasa mengekalkan sikap berbaik-baik dengan jiran tetangga kita. Jika kita saling berbaik-baik  dan saling membantu, kita akan banyak menikmati faedahnya. Sebagai contoh, apabila diadakan aktiviti gotong-royong, kerja-kerja yang berat akan menjadi mudah. Peribahasa ada mengatakan bahawa Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Pada zaman ekonomi yang agak gawat ini, pelbagai jenayah sering berlaku di persekitaran kita. Oleh itu, bekerjasamalah dengan jiran untuk menjaga keselamatan bersama. Elakkan perkara-perkara yang tidak diingini terjadi kepada seseorang anggota masyarakat berdekatan dengan kita khususnya. Dengan adanya kerjasama ini bukan sahaja jenayah dapat dibanteras tetapi juga ikatan silaturahim sesama jiran dapat dieratkan.

Hindari sikap dengki-mendengki kerana kita juga yang akan rugi. Segala anggapan dan pandangan buruk terhadap jiran perlu dielakkan. Amalkanlah sikap hormat-menghormati. Tentunya tiada sesiapa yang akan rugi, kerana itulah amalan yang murni.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

          Setiap agama yang diamalkan menggalakkan cara hidup berjiran tanpa mengira bangsa, warna kulit, dan darjat keturunan. Oleh itu, amalkanlah semangat kejiranan. Berkunjunglah ke rumah jiran pada hari perayaan. Dengan cara sedemikian, secara tidak langsung kita telah mengeratkan hubungan sesama jiran.

Akhir kata, semangat kejiranan haruslah dijadikan keutamaan oleh anggota masyarakat baik di kampong atau di bandar. Kesejahteraan hidup sesuatu masyarakat bergantung pada kesepakatan ahli-ahlinya kerana jiran sepakat membawa berkat.

          Sekian, terima kasih.