Pidato Pppm 2013-2025; Wadah Kebitaraan Warga Pendidik

PPPM 2013-2025; WADAH KEBITARAAN WARGA PENDIDIK

Bismillahirrahmannirrahim,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama, dif-dif kehormat penuh karisma dan seluruh warga bakal pendidik tercinta. Salam 1Malaysia buat semua.

Guru adalah awan indah terbang rendah,

melimpahkan hujan pada musim gersang,

menyegarkan benih ilmu, tanpa putus jemu,

ia renjis embun rahmat pada tanah bakat,

atas paksi yang sama, percayalah bahawa PPPM 2013-2025; WADAH KEBITARAAN WARGA PENDIDIK

Sesungguhnya, wadah kebitaraan warga pendidik boleh ditakrifkan sebagai saluran kepada keintelektualan sidang pendidik yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan diri dan semua anak muridnya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan.

Maka, prakarsa merakyatkan PPPM 2013-2025 diyakini mampu mengharmonikan pendidikan disulami penghayatan terhadap prinsip akses, ekuiti, kualiti, perpaduan dan kecekapan demi menjayakan anjakan pendidikan kebangsaan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjadikan PPPM 2013-2025 sebagai WADAH KEBITARAAN WARGA PENDIDIK?

Maka hayatilah, cetusan minda pertama; KUALITI GURU DIMARTABAT, TUNJANG PRESTASI MENINGKAT

Kita sedar bahawa seorang pendidik bertanggungjawab dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hal ini demikian kerana kecemerlangan pendidikan banyak bergantung kepada kualiti dan kepakaran yang ada pada seorang guru. Dengan lahirnya guru-guru yang berkualiti, pemikiran anak didik pastinya tidak akan terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung.

Lantaran itulah, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi anjakan keempat di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dilihat begitu proaktif untuk memperkasakan kualiti guru-guru di negara ini . Peluang menjalani latihan kemahiran kita teruskan, syarat lantikan guru kita perketatkan, laluan kerjaya berdasarkan kompetensi dan prestasi kita arus perdanakan, semuanya atas nama pendemokrasian pendidikan demi melahirkan suri teladan yang kita impikan.

Lihat saja negara-negara yang mempunyai prestasi pendidikan yang terbaik di dunia seperti Finland, Singapura dan Korea Selatan yang membenarkan hanya pelajar dalam kelompok 10 peratus hingga 30 peratus teratas menyertai profesion perguruan. Perkara ini sekaligus telah membuktikan bahawa kualiti seseorang guru itu perlu dijaga demi memantapkan sistem pendidikan negara.

Jelaslah, KUALITI GURU DIMARTABAT, TUNJANG PRESTASI MENINGKAT

Hadirin sekalian, cetusan minda kedua; BUDAYA INOVASI DIJULANG, MENTALITI GURU CEMERLANG

Dalam usaha untuk memastikan sistem pendidikan Malaysia dimartabat, budaya inovasi perlu kita angkat dengan penuh semangat. Hal ini demikian kerana, guru memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan sesuatu inovasi kurikulum. Tanpa penglibatan guru secara menyeluruh, matlamat kurikulum yang dirancang pastinya menyimpang jauh.

Lantaran itulah,pelbagai inovasi dalam pendidikan telah kita perkenalkan. Menerusi gelombang ketiga PPPM 2013-2025 tamsilnya, proses memperluaskan budaya inovasi mampu memperkasa pemikiran guru kita. Daripada sikap meminta kepada ingin mencipta, daripada istilah kelas bosan kepada pengajaran yang berkesan dan daripada cikgu sumbang kepada guru cemerlang.

Dan hasilnya kini,program i-think yang telahpun dilancarkan merupakan usaha perkasa pihak kerajaan dalam memacu budaya inovasi dalam kalangan guru di negara ini. Sebanyak 93.8 peratus bersetuju bahawa penggunaan i-think di dalam kelas mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sekali gus membuktikan inovasi dalam pendidikan mampu melahirkan generasi maju kehadapan.

Hadirin yang saya hormati, cetusan minda ketiga; GURU CELIK ICT, SISTEM PENDIDIKAN HARMONI.

Berdepan dengan cabaran abad ke-21, kaedah pengajaran sehala ataupun chalk and talk merupakan kaedah lapuk dan tidak mampu menarik perhatian murid era masakini. Kulik (2003) telah menganalisis dapatan 75 kajian dan laporannya yang bertajuk The Effects of Using Instructional Technology in Elementary and Secondary Schools: What Controlled Evaluation Studies Say, mendapati bahawa penggunaan ICT secara selektif boleh mempunyai impak yang positif terhadap pembelajaran murid.

Atas pedoman inilah, literasi ict kepada semua guru kita wajibkan, 1bestarinet kita perkenalkan, memastikan keperluan asas disediakan , capaian 4g kita perkasakan, semuanya demi memastikan guru dan murid bersedia dengan pelbagai cabaran.

Secara tuntasnya, usaha untuk membudayakan PPPM 2013-2025 sebagai wadah kebitaraan warga pendidik menuntut kepada pengekalan kualiti berterusan, pembudayaan inovasi yang berkesan dan penggunaan ict dalam pendidikan. Apabila semua ini berjaya disatukan, prakarsa menjadikan sistem pendidikan negara sebagai yang terbaik di dunia mampu kita jana dengan jayanya. Benarlah bahawa, PPPM 2013-2025; WADAH KEBITARAAN WARGA PENDIDIK