Syarahan Pidato 2 Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, Barisan

Yang mulia Tuan Pengerusi majlis, barisan panel hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Pada pagi yang mulia ini, izinkan saya menyampaikan sebuah syarahan bertajuk Perpaduan Asas Kecemerlangan Negara . Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu, perpaduan Negara merupakan matlamat yang amat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan, sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik. Perpaduan amatlah penting dalam pembangunan dan pentadbiran negara kerana iamerupakan asas untuk mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Saudara-saudari yang dihormati sekalian, Menerusi perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasana politik yang stabil. Perpaduan yang kukuh dan kuat merupakan pemangkin kepada kecemerlangan negara. Dengan wujudnya perpaduan dan negara yang aman damai, kita mampu mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Kejayaan yang dicapai membolehkan kita menjadi bangsa yang bermaruah dan berdikari. Hadirin yang dihormati, Sekiranya perpaduan rakyat rapuh dan lemah, negara akan terdedah kepada pelbagaiancaman dan masalah. Rakyat yang berpecah-belah dan tidak bersatu-padu akan menyebabkan huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Keadaan ini pastiakan menjejaskan kedaulatan, ekonomi serta kestabilan negara. Kita harus belajar dari peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang pernah melanda negara ini agar pisang tidak berbuah dua kali. Perpaduan rakyat negara ini telah tergugat akibat peristiwa pahit itu.

Sebagai langkah untuk menyatu-padukan rakyat negara ini, kerajaan telah melancarkan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara. Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara merupakan kunci untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum negara ini. Jadi, rakyat negara ini harus berusaha untuk membentuk satu bangsa yang bersatu padu, setia dan cinta akan negara. Para Hadirin yang dikasihi, Perpaduan Asas Kecemerlangan Negara. Sebagai warganegara Malaysia yang tercinta, kita harus menjadikan perpaduan rakyat sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini. Perpaduan negara ini adalah tanggungjawab kita bersama. Kecemerlangan dan kejayaan negara pasti menjadi kemegahan kita semua. Oleh itu, kita harus sentiasa bersatu-padu dan hidup dalam berharmoni. Akhir kata, izinkan saya mengakhiri syarahan saya dengan pantun berikut : Tasik Chini dipenuhi bunga, Ada cerita terdapat naga; Negara diancam huru-hara, Perpaduan dengan Rukun Negara. Sungai Pahang berjela-jela, Naik rakit merentas desa; Demi rakyat negara tercinta, Perpaduan tonggak 1Malaysia. Sekian, terima kasih.