Pidato : Selamat Sejahtera Dan Salam 1 Malaysia. Yang Saya

Selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia. Yang saya hormati, Puan Rahayu dan rakan-rakan sekalian. Tampilnya saya di sini adalah untuk menyampaikan gagasan minda saya atas tajuk pidato langkah-langkah untuk mempererat integrasi kaum.

Sebelum saya menyampaikan hujah-hujah saya, izinkan saya mendefinisikan frasa-frasa penting daripada tajuk pidato ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, frasa mempererat bermaksud menjadikan lebih erat, manakala frasa integrasi ialah perpaduan. Dalam konteks negara kita, perpaduan kaum merujuk kepada tiga kaum utama, iaitu Melayu, India, dan Cina.

Sejarah telah membuktikan bahawa dalam usaha mengekalkan kuasa penjajahan di negara ini, Inggeris menggunakan kaedah pemerintahan pecah dan perintah. Berdasarkan kaedah ini, setiap kaum di negara kita dipecah-pecahkan supaya tidak wujud perpaduan yang akan membina kekuatan untuk menuntut kemerdekaan. Namun demikian, setelah lebih 50 tahun negara kita menikmati kemerdekaan, perpaduan dalam kalangan rakyat di negara kita berkekalan. Pelbagai ujian ditempuh, namun atas dasar toleransi dan permuafakatan, perpaduan dalam kalangan rakyat semakin utuh.

Hadirin sekalian,

Bersatu teguh, bercerai tubuh, justeru kerajaan berusaha gigih mempererat perpaduan kaum di negara kita. Segala prakarsa digembleng bagi membina masyarakat yang bersatu, termasuk golongan kanak-kanak. Melalui kurikulum dan kokurikulum di sekolah, kanak-kanak dididik tentang kepentingan perpaduan sebagaimana yang ditegaskan dalam peribahasa kita, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan sejak kecil amat perlu supaya segala prasangka buruk terhadap kaum lain dapat dikikis. Peranan ini harus dimainkan oleh ibu bapa juga kerana mereka mempunyai pengaruh yang besar terhadap pembinaan persepsi anak-anak.

Selain itu, kerajaan mengadakan program Rumah Terbuka Kebangsaan bagi meraikan enam perayaan kaum utama di negara ini. Pelaksanaan program ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat di negara ini agar suatu hari nanti, masyarakat kita tidak dikenali kerana kaumnya tetapi kerana bangsanya, iaitu bangsa Malaysia. Tambahan pula gagasan 1 Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan ke arah mempererat perpaduan kaum di negara kita

Sidang dewan sekalian,

Dalam konteks komuniti setempat, langkah-langkah mempererat perpaduan kaum dapat dijayakan dengan mengadakan pelbagai aktiviti, misalnya Hari Keluarga, bergotong-royong, dan budaya kunjung-mengunjung. Apabila aktiviti-aktiviti seperti ini diadakan, maka hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti semakin kukuh. Malahan, kawasan mereka juga akan menjadi bersih dan terhindar daripada kegiatan jenayah kerana wujudnya budaya gotong-royong dan mengambil berat antara satu sama lain. Di samping itu, budaya kunjung mengunjung terutama terhadap jiran yang ditimpa musibah akan dapat menghilangkan kesedihan mereka, di samping member peluang kepada anggota masyarakat untuk menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan moral, bak peribahasa, orang memberi kita merasa dan orang berbudi kita berbahasa.

Di samping itu, integrasi dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipererat dengan melaksanakan keadilan kepada semua pihak. Hal ini amat penting kerana keadilan yang luhur, tanpa dipengaruhi oleh agama, keturunan, dan warna kulit akan melahirkan perasaan puas hati dalam kalangan rakyat. Bagi melaksanakan keadilan, semua pihak yang diberikan amanah perlu bersungguh-sungguh melaksanakan amalan ini agar tidak dipersoalkan oleh rakyat. Kegagalan pihak berkuasa menegakkan keadilan akan menyebabkan perpaduan rakyat tergugat.

Sebelum saya mengundurkan diri, ingin saya menegaskan bahawa integrasi kaum amat penting dalam negara kita. Integrasi ini ibarat anak kunci kepada kesejahteraan rakyat dan kesejahteraan ekonomi, justeru usaha mempererat integrasi kaum di negara kita perlu dilakukan secara bersepadu dan berterusan. Sekian, terima kasih.

Leave a Reply