Pidato 2 : Kata Seorang

Kata seorang sarjana, Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini. Presiden Soekarno pernah mengungkap, Berikan saya 10 orang belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.

Terima kasih peneraju acara, kalungan aspresiasi untuk dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh saksama,penjaga masa yang setia dengan detiknya dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.

Tampilnya saya selaku anak nusa, mengepal segenggam harapan, menjulang tinggi seribu impian dalam membicarakan, Remaja Berswadaya Tonggak Kegemilangan Negara.

Sesungguhnya, Remaja Berswadaya bolehlah ditakrifkan sebagai kekuatan sendiri,tenaga (gaya) sendiri seorang remaja. Remaja menurut Kamus Dewan ialah mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur berkahwin. Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan remaja ialah mereka yang berusia antara 11 hingga 19 tahun.

Frasa Tonggak Kegemilangan Negara menjelaskan bahawa remaja yang memiliki kekuatan diri mampu menunaikan tanggungjawab sebagai generasi harapan untuk mencapai kecemerlangan .Konklusinya, pidato saya hari ini akan membicarakan mereka yang berada dalam lingkungan belasan antara 11 hingga 19 tahun dan memiliki kekuatan peribadi yang unggul, memainkan peranan penting untuk mencapai negara yang terbilang dan cemerlang.

Persoalannya, apakah kriteria yang perlu dibangunkan untuk melahirkan remaja berswadaya dan mampu berperanan sebagai tonggak ke arah kegemilangan Negara?

Warga dewan,

Maka hayatilah, pragmatik pertama; Budaya Ilmu Disemai, Remaja Berkualiti Dicanai.

Hadirin sekalian, Kita sedar bahawa membaca mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, remaja akan mampu membebaskan diri dari terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung. Lantaran itulah, transformasi kerajaan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia banyak mengubah persepsi dan mentaliti remaja dalam membudayakan ilmu dan membudayakan ICT. Natijah usaha ini menunjukkan kepentingan pendidikan mampu membentuk kecemerlangan diri individu. Maka golongan Remaja yang berkualiti inilah yang akan memainkan peranan penting dalam menjana negara gemilang.

Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya Inovasi Dijulang, Swadaya Remaja Cemerlang,

Dalam melakar kejayaan 1Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan harus menjadi idola berteraskan inovasi dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan etika kerja. Lantaran itulah, pelbagai program inovasi telah kerajaan perkenalkan. Menerusi Program Inovasi Rakan Muda anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS)umpamanya. Berdasarkan program ini jelas menunjukan peranan remaja diiktiraf dan hakikatnya jelas, remaja swadaya yang inovatif inilah yang mampu menunjangi kejayaan Malaysia yang gemilang kelak.

Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai Murni Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.

Pujangga Melayu selalu berpesan;

Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,

Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.

Dalam usaha membentuk remaja berswadaya, nilai-nilai murni adalah pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu. Remaja berswadaya memiliki budi pekerti yang terpuji. Maka, demi tujuan tersebut, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi bahasa kita jayakan, budaya integriti kita semaikan. Kehadiran kelompok remaja unggul, yang hebat kepintaran dan tinggi nilai budinya bakal membawa gegak gempita kearah pembangunan negara yang hebat dan berkualiti.

Hadirin sekalian pragmatik keempat: Jati diri remaja diperkasakan, langkah agresif dilaksanakan.

 Pembangunan peribadi dan jati diri remaja yang harus diutamakan dalam menjana kegemilangan tanah air amatlah penting. Kita lihat negara barat,mereka hanya mementingkan gahnya kemodenan namun mengenepikan ketinggian jati diri. Bagi membendung penularan kerapuhan jati diri remaja, program PLKN dilaksanakan dengan tujuan membangkitkan kesedaran para remaja akan tanggungjawab mereka dan seterusnya memiliki jati diri yang tinggi.

Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa Remaja berswadaya menuntut kepada pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi inovasi yang bermakna, penghayatan nilai-nilai murni sepanjang masa dan jati diri remaja diperkasa . Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama-sama, maka transformasi swadaya remaja dapat kita capai sekaligus menjayakan hasrat pembinaan remaja sebagai pemangkin kecemerlangan dan kegemilangan. Benarlah bahawa REMAJA BERSWADAYA TONGGAK KEGEMILANGAN NEGARA.

Sekian Terima Kasih.

Leave a Reply