Tajuk Pidato 2011 : Ke Arah Melahirkan Patriotisme Dalam

Tajuk Pidato:Ke Arah Melahirkan Patriotisme dalam Kalangan Remaja.

Sayang anak dodoi-dodoikan,

Sayang kekasih rindu-rinduan,

Sayang negara bagaimana pula?

Pada hari ini saya ingin mengajak saudara-saudari yang saya kasihi menerusi sebuah pidato berpaksikan tajuk Ke Arah Melahirkan Patriotisme dalam Kalangan Remaja.

Terima kasih sejambak mawar, seharum kasturi, buat pimpinan majlis, yang dihormati para hakim yang adil lagi saksama, penjaga masa yang setia, para intelektual berkarisma, seterusnya sidang hadirin pencetus revolusi kita yang saya muliakan.Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera.

Sebelum tajuk ini saya kupaskan satu persatu, izinkan saya memberi pengertian apakah yang dimaksudkan dengan Patriotisme? Mengikut kamus dewan edisi terbaru Patriotisme bermaksud perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.

Sidang hadirin yang saya muliakan,

Sesungguhnya semangat Patriotisme amat penting disemai dan dipupuk dalam kalangan pelajar-pelajar sejak dari bangku sekolah lagi,seperti kata peribahasa Melayu, melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Sayangilah negara, sayangilah negara, sayangilah negara. Kata-kata ini sering kita dengar di dada-dada akhbar dan media elektronik. Saban hari,kita rasakan semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Mereka hanya memikirkan kekayaan tanpa menitikberatkan semangat patriotik. Contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat terutama para remaja dapat ditingkatkan. agar anasir-anasir jahat tidak mudah mempengaruhi jiwa remaja.Ini dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Sidang hadirin yang dikasihihi,

Cetusan saya yang seterusnya, cara yang perlu dijalankan Ke Arah Melahirkan Patriotisme dalam Kalangan Remaja adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, pelajar-pelajar akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu seperti subjek kajian Tempatan bagi pelajar sekolah rendah dan subjek sejarah bagi pelajar menengah. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian malah dapat memupuk nilai-nilai keperibadian bangsa, kesetiaan kepada negara dan ibu pertiwi. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari pelajar-pelajar hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Hadirin sekalian,

Kita singkap perjuangan Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharaja lela. Untuk apa hadirin sekalian, untuk apa?Ya, Perjuangan mereka adalah semata-mata kerana semangat cintakan tanah air bukan kerana hawa nafsu. Maka pada hari ini nilai dan semangat Patriotisme perlulah ditanam dalam jiwa teguh dalam kalangan remaja.

Selain itu, kempen-kempen bertemakan sayangi Malaysia anjuran pihak media massa contohnya perlulah diadakan. Para remaja sudah pastinya akan disedarkan dengan kepentingan mencintai dan memelihara keamanan negara.

Sidang hadirin yang saya muliakan,

Semangat patriotisme juga dapat dipupuk dalam kalangan remaja melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat terutamanya golongan remaja akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti demi melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaran.. Individu yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotisme tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan remaja khususnya.

Hadirin sekalian,

Semangat patriotisme penting untuk melahirkan generasi muda yang cinta akan negara sebagai pelapis untuk pemimpin negara dan mengekalkan keamanan dan keharmonian negara. Dalam arus globalisasi hari ini, kita perlu bersatu untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian negara. Sebagai rakyat, kita perlu menangkis sebarang bentuk ancaman terhadap bangsa dan negara yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

. Oleh itu hadirin sekalian, sebagai bangsa yang merdeka, kita perlu pandai membezakan antara yang baik dengan buruk. Kita mesti mempertahan sistem sosial dan budaya hidup masyarakat kita daripada pelbagai ancaman budaya negatif. Sebagai rakyat, kita mestilah bijak menangkis pengaruh-pengaruh negatif tersebut dan tidak membiarkan mereka mempermainkan maruah bangsa dan kedaulatan negara kita.

Secara tuntasnya, penerapan, penyuburan dan penyemarakan patriotisme Malaysia dalam kalangan remaja bukan untuk menyiapkan bangsa Malaysia bertempur di medan perang.Tetapi, untuk menjadikan bangsa Malaysia bersedia untuk berjuang, berkorban dan bertempur di seluruh medan kehidupan, termasuk bidang-bidang kritikal seperti keilmuan, keagamaan, ekonomi, perdagangan, siasah dan diplomasi antarabangsa.

Akhir kata sayangilah Malaysia, cintailah Malaysia Sekian terima kasih.

Leave a Reply