Pidato Integriti 1 : Dalam Melayari Era Globalisasi Komuniti

Dalam melayari era globalisasi komuniti madani kini,

sibuk mengejar kepuasan duniawi sehingga amalan integriti ditolak tepi.

Sekalung apresiasi buat saudara pengemudi acara, kombinasi kehakiman intelek berkarisma, barisan pensyarah pencetus evolusi minda seterusnya hadirin dan hadirat generasi pendukung aspirasi negara. Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Integriti Diamalkan Hidup Berkualiti. Inilah bingkisan nurani cetusan Illahi.

Hadirin dan hadirat sidang saksi warga berintegriti,

Menurut Datuk Dr. Sulaiman Mahbob, Presiden Institut Integriti Malaysia, integriti diinterpretasi sebagai keseluruhan pembawaan kita dari segi peribadi, tutur kata dan sopan santun. Diamalkan pula berdasarkan Kamus Dewan edisi ke-4 membawa maksud dipraktikkan sebagai satu kebiasaan. Manakala Prof. Dr. Nurizan Yahaya, pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia mengatakan hidup yang berkualiti merupakan tahap kehidupan dari segi ekonomi, sosial, politik dan persekitaran yang dapat mencapai suatu paras yang diamal dan diterima oleh sesebuah masyarakat tertentu. Oleh itu, apabila kesemua frasa ini digabungkan jelas mengambarkan hasrat negara untuk melahirkan kesejahteraan ekonomi, sosial, politik dan persekitaran apabila integriti dipraktikan sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan seharian.

Hadirin dan hadirat sidang saksi warga bervisi,

Indikator pertama, Integriti Dicakna Keluarga Bahagia. Mudasir kini kita kerap disogokkan dengan kes kebrobrokan akhlak remaja. Ini dibuktikan dengan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memanifestasi masalah sosial remaja kini semakin menjadi-jadi. Namun, persoalan bertamu di minda, apakah sebenarnya yang menjadi punca? Di mana letaknya peranan ibu bapa? Adakah sibuk mengejar kerjaya hingga anak-anak dibiar entah ke mana. Justeru, Puan Kalsom Abdullah penerima anugerah Ibu Mithali 2004, mengatakan dalam membentuk anak-anak yang sejati, didikan agama dan nilai murni perlu diindoktrinasi. Malah ibu bapa perlu bersikap integriti dalam melaksanakan amanah yang diberi Ilahi. Jelas membuktikan ibu bapa yang berintegriti terhadap tanggungjawab yang diberi pasti dapat membina keluarga yang berkualiti.

Hadirin dan hadiran sidang saksi warga bestari,

Indikator kedua, Integriti Menjana Masyarakat Sejahtera. Gempar seantero negara kes penculikan adik Nurin Jazlin yang tidak berdosa menjadi mangsa. Begitu juga kes penculikan adik Sharleni terus menjadi tanda tanya. Ditambah lagi kes pembunuhan berlaku di sana sini seolah-olah menjadi santapan pagi pengganti roti dan kopi. Persoalannya, bagaimana hidup hendak berkualiti jika integriti tidak disemat dalam diri? Memetik keratan Utusan Malaysia, 2 orang anggota polis bertindak hikmah, memberkas penjenayah yang menimbulkan masalah, dengan tegas menolak najis rasuah. Tindakan Detektif Koperal Mohd Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd Tarmizi Arbayee wajar dipuji dan kedua-duanya menerima anugerah integriti. Sikap inilah yang perlu dibajai dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini agar hidup bermasyarakat lebih berkualiti.

Hadirin dan hadirat sidang dewan warga budiman,

Indikator ke-3, Integriti Lambang Negara Gemilang. Mantan Perdana Menteri yang kita sayangi, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, cukup terkenal dengan nilai integriti. Buktinya, Pelan Integriti Nasional telah dilaksana, seluruh warga perlu mencakna tanpa mengira pangkat, agama dan bangsa agar integriti menjadi agenda utama. Malah, usaha ini tidak pernah berhenti . Tanggal 1 Januari menjadi saksi Badan Pencegahan Rasuah kini diganti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mula beroperasi. Maka, kuasa dan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ini sudah tidak boleh dipertikai dan dinafi. Usaha membanteras najis rasuah ini terus ke peringkat akar umbi dan hingga ke peringkat pemimpin tertinggi. Natijahnya dapat dinikmati kini, laporan oleh Transparency International menjadi bukti. Malaysia mencatatkan peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) daripada 5.0 mata pada tahun 2006 meningkat kepada 5.1 mata pada tahun 2007. Hal ini membuktikan tahap kebersihan dan keyakinan bebas rasuah di Malaysia semakin baik. Jelas, negara yang berkualiti bukan lagi angan-angan dan mimpi apabila integriti menjadi pegangan diri.

Hadirin dan hadirat sidang saksi warga lestari,

Indikator terakhir, integriti dihayati alam semulajadi terus lestari. Memetik keratan Berita Harian bertarikh 22 Januari 2006, 2 buah kilang di Melaka telah dikenakan tindakan penguat kuasa apabila membuang sisa toksik merata-rata akibatnya Sungai Melaka menjadi mangsa. Senario ini jelas mengambarkan sikap yang tidak berintegriti dalam kalangan pengilang dan pengusaha yang telah mencemarkan alam tercinta. Namun atas kesedaran bersama Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia telah menganjurkan kempen pengguna, Kempen Konsumer Kebangsaan dengan bertemakan Tanggungjawab Sosial Dalam Merealisasikan Penggunaan Lestari. Sekali gus dapat menyemai kesedaran dalam diri untuk sama-sama menjaga alam semulajadi. Jelas membuktikan nilai integriti dapat membina hidup yang berkualiti apabila alam sekitar terus dilestari.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Tuntasnya, berdasarkan 4 indikator yang telah saya canang-canangkan sebentar tadi, jelas membuktikan apabila nilai integriti dipraktikkan sebagai suatu kebiasaan dalam kehidupan seharian, kita dapat melahirkan keluarga, masyarakat, negara dan alam sekitar yang berkualiti seterusnya dapat merealisasi hasrat negara untuk mengejar teknologi terkini tanpa meminggirkan pembentukan insani agar dapat berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply