Membina Tabiat Membaca (Pidato)

TEKS PIDATO : MEMBINA TABIAT MEMBACA

Bismillahirrahmannirrahim,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dalam menegakkan panji-panji keadilan dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia dan Salam Perak Aman Jaya.

Perpustakaan Negara Malaysia mengeluarkan statistik bahawa rakyat Malaysia hanya membaca lapan buah buku setahun sejak tahun 2010. Justeru,pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi memupuk amalan membaca khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal menerajui tampuk kepimpinan Negara pada masa hadapan. Maka, hayatilah moduk bicara yang bertajuk Membina Tabiat Membaca

Sesungguhnya, membina bolehlah ditakrifkan sebagai membentuk. Tabiat diertikan sebagai amalan atau budaya manakala membaca didefinisikan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak.

Maka, jelaslah, tajuk ini membawa maksud prakarsa membentuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda atau pelajar. Hal ini penting kerana amalan membacalah yang dapat menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu dan pengetahuan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat membina tabiat membaca dalam kalangan generasi muda pada hari ini?

Maka, hayatilah , rempuhan idea pertama;

Galakan ibu bapa membentuk generasi berilmu

Ibu bapa perlu sedar bahawa kalimah iqra, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup manusia. Dengan membaca, mentaliti kita tidak akan terkongkong seperti katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung.

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya manakala melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, sikap suka membaca ini perlu dibaja sejak kecil lagi yakni dari peringkat akar umbi lagi. Lantaran itulah, ibu bapa bukan sahaja bertindak sebagai penggalak malah sebagai suri teladan kepada anak-anak. Perpustakaan mini perlu diwujudkan, anak-anak perlu dibawa ke pameran buku dan bahan bacaan ilmiah perlu dibeli bukannya buku-buku komik yang melalaikan, semuanya atas kesedaran bahawa membaca mampu menjana budaya berfikir dalam setiap individu.

Hakikatnya, berdasarkan kajian, 80 hingga 88% ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Peratusan ini membuktikan bahawa ibu bapa mendukung obligasi yang dominan dalam menerapkan sikap suka membaca dalam diri anak-anak.

Hadirin sekalian,

Rempuhan idea kedua; Komitmen Pihak Sekolah Menjana Minda Pelajar Bestari

Peranan pihak sekolah juga tidak boleh disisihkan dalam usaha menggalakkan amalan membaca ini. Justeru pihak sekolah perlu melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.

Contohnya, melalui program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang dilaksanakan oleh pihak sekolah merupakan penggabungan semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai kepada pelajar mengikut bilangan buku yang telah dibaca. Selain itu, Bulan Bahasa kita jalankan, Bulan Membaca kita jayakan dan Pertandingan Tokoh NILAM kita anjurkan demi mewujudkan persaingan sihat pelajar agar memperbanyak bacaan, semuanya atas kesedaran bahawa hanya dengan peringatan yang berterusan, anak-anak muda akan membaca.

Buktinya, pelajar cemerlang SPM 2004 merangkap Johan Tokoh NILAM kebangsaan 2004, Nur Amalina Che Bakri mampu merangkul kejayaan 17 A1 dalam peperiksaan SPM yang didudukinya melalui pembacaan. Hal ini jelas membuktikan bahawa dengan inisiatif guru memupuk tabiat membaca disulami usaha tanpa jemu pelajar,nescaya pelajar dapat menempa kejayaan dalam kehidupannya.

Hadirin sekalian,

Rempuhan idea ketiga; Usaha Kerajaan mencanai modal insan yang mencintai buku

Sebagai tonggak negara, dasar, kempen dan aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan seharusnya menjurus kepada pemupukan amalan membaca. Mengambil contoh daripada Dasar Pandang Ke Timur yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, pelajar negara ini digalakkan agar mencontohi budaya penduduk Korea dan Jepun yang kuat membaca.

Malah, Kementerian Pendidikan perlu memainkan peranan dengan menganjurkan pertandingan seperti Pertandingan Resensi Buku dan Pertandingan Tokoh NILAM. Sekadar menyebut beberapa contoh aktiviti Khemah Membaca, Kem Penulis Muda, Jejak Maklumat dilaksanakan, semuanya atas matlamat untuk merealisasikan visi kudsi menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.

Terkini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan diadakan pada bulan April bagi memancing minat pencinta buku untuk meneroka ilmu. Diskaun yang ditawarkan sebanyak 15 hingga 25 peratus sudah pasti dapat memikat hati lebih banyak pembaca sama ada pembaca tempatan mahupun pembaca luar Negara. Jelaslah bahawa kerajaan berperanan penting dalam pemupukan amalan membaca dalam kalangan pelajar demi kemajuan Negara pada masa hadapan.

Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa membentuk modal insan yang menjadikan membaca sebagai amalan menuntut kepada komitmen ibu bapa yang menyeluruh, inisiatif pihak sekolah menjayakan visi dan daya usaha kerajaan sepanjang masa. Apabila kesemua pihak ini mampu bekerjasama bagai aur dengan tebing, maka amalan membaca dapat dijadikan budaya di Malaysia sekaligus menjayakan hasrat penjanaan modal insan yang mencintai buku. Sesungguhnya, bangsa membaca bangsa Berjaya.

Leave a Reply