PIDATO 2014 1 : Indah Berbalam Si Awan Petang,

Assalamualaikum ,Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara. 

Terima kasih sejambak mawar seharum kasturi buat pimpinan majlis, barisan kehakiman intelektual berkarisma, penjaga masa yang setia dengan loceng azimatnya, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi.

Berdirinya khatib kerana khutbahnya,

Berdirinya KLCC kerana konkritnya,

Berdirinya pokok kerana akar tunjangnya,

Berdirinya saya disini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Gaya Hidup Sihat Individu Selamat

Hadirin yang saya hormati,

Sebelum pelayaran ini berjalan dengan lebih jauh, kita singgah dahulu kepada pada pelabuhan definsi pidato  saya pada hari ini. Gaya hidup sihat individu selamat didefinisikan sebagai amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang individu, keluarga dan masyarakat. Oleh itu, dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga dalam apa jua perkara yang dilakukannya.

Badan cergas, otak cerdas.Slogan ini sering kita dengar dan kita lihat melalui paparan media massa.Seiring dalam mengejar arus globalisasi, amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat harus ditingkatkan bagi merealisasikan visi dan misi negara menjadi negara maju pada tahun 2020.

Hadirin yang dikasihi,

Disini ingin saya huraikan perbincangan saya kepada tiga lembayung kata, yang pertama tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau berkolesterol tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Apakah nasib badan tanpa kesihatan yang sempurna. Andai badan adalah senjata untuk kesihatan maka makanan yang seimbanglah adalah peluru kepada kesiahatan itu.

Mafhum daripada sepotong hadis yang bermaksud, Jagalah masa sihatmu sebelum tiba masa sakit.Hadis ini jelas menggambarkan betapa pentingnya kesihatan diri dalam kehidupan kita. Persoalannya, adakah kita sedar tentang kepentingan kesihatan dalam kehidupan? Lantaran itu, kita perlu mencari wasilah dan ikhtiar untuk terus hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera. Situasi ini bertepatan dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Hadirin yang saya hormati,

Beralih kita kepada lembayung kata yang kedua iaitu aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, berbasikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas. Oleh itu, saya menyeru agar setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, dengan melakukan aktiviti sukan atau riadah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Dimana payung itu dapat diibaratkan sebagai pelindung kepada kesihatan tubuh badan kita kelak. Bayangkan jika kita tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat ini, apakah yang berlaku kepada tubuh badan kita, Adakah kita akan terus sihat atau perkara sebaliknya yang berlaku? Fikir-fikirkanlah…..

Hadirin yang dihormati,

Meneruskan pelayaran kita kepada indikator yang ketiga, gaya hidup sihat menjamin seseorang itu selamat. Selamat yang dimaksudkan disini ialah selamat daripada daripada pelbagai penyakit yang merbahaya dan seterusnya memberi impak yang negatif kepada tubuh badan kita. Oleh itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya dapat dikesan lebih awal. Langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah. Saya percaya dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, seseorang individu itu akan terselamat daripada pelbagai penyaikit yang mungkin boleh menyerang diri kita secara senyap. Jadi, ingin saya tekankan bahawa gaya hidup yang sihat dapat menjamin kehidupan yang lebih selamat dan sempurna!

Hadirin yang dimuliakan,

Tuntasnya, ingin saya tegaskan di sini bahawa gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk menjamin kebahagiaan hidup. Jadi, setiap individu perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk kekal sihat kerana kesihatan melambangkan kebahagiaan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika setiap orang mengamalkan gaya hidup sihat. Seiring dengan kata-kata azimat ini, yang didulukan selangkah, yang ditinggikan seranting, yang dilebihkan serambut. Sesuai dengan keutamaan terhadap kesihatan tubuh badan yang kita inginkan.

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Sekian, Wabillahi taufik, walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply