Contoh Teks Pidato Integriti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis, barisan panel hakim yang berpaksikan keadilan, saudara penjaga masa yang cakna dengan randiknya, kerabat seangkatan yang petah berhujah, warga pendidik yang bermisi, seterusnya warga dewan penerus wawasan Negara.

Asslammualaikum w.t.w,salam integriti, dan salam 1 Malaysia

Penghayatan integriti mampu menjayakan konsep 1 Malaysia begitulah indahnya mauduk pidato yang bakal menitip di bibir saya. Namun, sebelum ledakan hujah menghujani sesisi dewan, izinkan saya mendefinisikan mauduk pidato saya pada hari ini. Integriti menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat (2005),bermaksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh.

Institut integriti Malaysia pula mentakrifkan integriti sebagai kesedaran,penghayatan dan pegangan teguh kepada nilai-nilai murni secara konsisten dengan komitmen sepenuhnya terhadap nilai-nila tersebut dalam setiap tindakan untuk mencapai kecemerlangan diri dan organisasi.

1 Malaysia pula adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

Hujah saya yang pertama, Integriti pemimpin membentuk warga 1 Malaysia.

Sidang dewan yang dimuliakan, Konsep 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1Malaysia Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. Apakah yang akan terjadi jika kurangnya penghayatan integriti dalam kalangan pemimpin? Sebagai contoh rasuah akan berleluasa dan kehidupan rakyat akan terabai. Maka slogan Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan hanyalah satu ilusi.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat seterusnya membentuk Negara 1 Malaysia.

Hujah saya yang kedua, integriti individu melahirkan masyarakat 1 Malaysia

Sidang dewan pencetus perpaduan, tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata!

Penghayatan integriti dikalangan individu adalah sangat penting. Terutamanya di kalangan anak-anak muda pada hari ini. Oleh sebab itu, gagasan 1 Malaysia amat vital untuk direalisasikan golongan anak muda terutama pelajar kerana merekalah yang bakal memacu negara pada masa akan datang. Disamping memantapkan nilai keagamaan dalam diri, untuk menjadikan gagasan 1 Malaysia menjadi kenyataan para pelajar seharusnya menghayati Rukun Negara sepenuh hati supaya para pelajar lebih mengerti nilai perpaduan kaum bagi sesebuah negara.

Rukun Negara merupakan gagasan pertama yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Rukun Negara digubal adalah untuk menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara kaum akibat sentimen perkauman. Rukun Negara mengandungi lima prinsip dan kelima-lima prinsip tersebut menjurus ke satu matlamat iaitu mengukuhkan perpaduan antara semua kaum di negara ini. Jadi Rukun Negara merupakan gagasan yang syumul dalam mengeratkan perpaduan kaum yang utuh. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara untuk menanam semangat perpaduan dalam diri dan seterusnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Hujah saya yang ketiga, masyarakat berintegriti pembentuk perpaduan negara.

Sidang dewan yang dihormati.

Perpaduan adalah asas pembinaan negara. Kerana itu, apabila Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah dan tiba di Madinah, agenda pertamanya ialah mewujudkan perpaduan. Ia antara sesama Islam dan juga penduduk Islam dengan bukan Islam. Gagasan Baginda digelar Sahifah Madinah. Hal inilah yang perlu kita contohi.

Ingin saya tegaskan sekali lagi, 1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. 1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.Oleh itu nilai integriti seperti hormat menghormati, dan toleransi amat penting dalam mewujudkan perpaduan yang utuh di kalangan masyarakat Malaysia.

Seperti yang kita tahu masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan banyak lagi. Andai kata, satu kaum sering bersikap pesimis terhadap kaum lain dan bersikap perkauman nescaya akan wujud sentimen perkauman. Sebagai konsekuensinya rusuhan kaum berkemungkinan besar akan berlaku. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti peristiwa 13 Mei. Tegasnya, kita perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai hubungan yang kukuh antara kaum merupakan peranan perdana yang harus dilaksankan oleh semua untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Konklusinya tugas menjayakan konsep 1 Malaysia bukan sahaja terletak di bahu pemimpin tetapi penghayatan integriti daripada semua pihak juga memainkan peranan penting. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dan berkolaboratif antara satu sama lain sudah tentu konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan mudah dan efektif kerana bak kata pepatah, Muafakat membawa berkat. Gagasan 1 Malaysia sememangnya amat penting untuk menjadi realiti bagi membuktikan kepada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin di Malaysia. Oleh itu Menghayati dan memantapkan integriti dalam diri masing masing.

Duduk termenung di pohon jati

Orang ditunggu tak kunjung datang

Pupuklah diri sifat integriti,

Masyarakat bersatu negara terbilang!

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply