Pidato Peringkat Daerah.docx : Anda Akan Menyertai

Anda akan menyertai pertandingan pidato peringkat daerah. Tajuk pidato yang anda pilih ialah Peranan Ibu Bapa Untuk Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja.
Sediakan teks pidato anda selengkapnya.
         

                Assalamualaikum dan selamat sejahtera, salam 1Malaysia, salam MelakaMaju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau. Yang dihormati, panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, serta para hadirin sekalian. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk Peranan Ibu Bapa Untuk Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja.

Petang-petang mengutip ranting,
Ranting disorok di dalam guni;
Ibu bapa berperanan penting,
Agar gejala 
sosial dapat ditangani.

                Pantun empat kerat di atas sudah cukup menerangkan bahawa ibu bapa sememangnya perlu memainkan peranan dalam memastikan gejala sosial yang semakin berleluasa ini dapat ditangani. Marcapada ini,  kita sering melihat isu-isu gejala sosial semakin menjadi-jadi dan seringkali  terpampang di dada akhbar dan corong-corong media yang lain. Remaja masa kini seolah-olah sudah tidak segan untuk melakukan perkara-perkara terkutuk ini, malah bangga melakukannya.  Gejala sosial ini, secara spesifiknya juga  merupakan salah satu jenayah dan antara contoh gejala sosial yang sering berlaku dewasa ini termasuklah pergaulan bebas,vandalisme, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah dan lumba haram. Gejala-gejala ini bukan sahaja menghancurkan masa depan anak-anak muda kita, yang juga merupakan harapan bangsa, malah menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat. Perbuatan ini juga boleh menyebabkan masalah-masalah lain yang memberi impak yang sangat besar terhadap institusi kekeluargaan, bangsa, agama dan negara. Oleh yang demikian, sudah menjadi satu tanggungjawab golongan yang terdekat dengan anak muda ini iaitu ibu bapa mereka sendiri, untuk memainkan peranan penting dalam menangani masalah gejala sosial dalam generasi muda.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,
                Berdasarkan penegasan tersebut, antara peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial dalam kalangan remaja termasuklah dengan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini demikian kerana, anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu agama yang banyak mengajar adab-adab serta nilai murni yang perlu diamalkan dalam kehidupan, sebagai satu benteng daripada masalah gejala sosial. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke kem keagamaan, kelas-kelas fardhu ain, mahupun membawa mereka ke ceramah agama yang kebiasannya diadakan di mana-mana surau ataupun masjid. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, sememangnya jika ibu bapa memberi penekanan ini terhadap anak-anak sejak dari kecil, mampu membuatkan mereka tidak akan tergelincir ke kancah penuh sengsara iaitu merujuk kepada gejala sosial. Hal ini kerana, walaupun sekali anak-anak muda ini termasuk ke dalam masalah ini, amat sukar bagi mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Oleh itu, cukup diterangkan  di sini bahawa didikan agama yang sempurna mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Hadirin yang dihormati sekalian,
                Tidak cukup dengan itu, ibu bapa juga seharusnya memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Hal ini disebabkan, mengikut kajian, anak-anak kebiasannya akan terjebak dengan gejala sosial atau kes-kes jenayah yang lain kerana tidak mendapatkan kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Namun dalam kajian yang sama telah dibuktikan bahawa perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan ibu bapa terhadap anak-anak memapu membendung mereka daripada terlibat dengan gejala sosial. Ditambah pula dengan cabaran masa kini, ibu bapa kebanyakkannya mempunyai karier masing-masing, sehingga menjadi terlalu sibuk untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pengasuh yang diupah. Tamsilnya, ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak terutama pada hujung minggu, sama ada menghabiskan masa bersama di rumah mahupun membawa mereka makan angin. Seharusnya ibu bapa menjaga dan menghargai anak-anak bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak ini sememangnya satu anugerah dari Tuhan yang tidak ternilai. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan lagi, dan masalah gejala sosial dapat dihindari. Jelaslah di sini, bahawa perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Hadirin sekalian,
                Selain daripada itu, ibu bapa juga seharusnya mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah. Hal ini disebabkan, sekiranya masa anak-anak diisi dengan perkara yang berguna, sekurang-kurangnya mereka akan belajar cara menghargai masa dan secara tidak langsung mendapat manfaat untuk kehidupan mereka. Sebagai contoh, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak beriadah dan bersenam, bergotong-royong di rumah mahupun menghantar mereka ke kelas-kelas tambahan. Melalui kaedah ini, hari-hari mereka akan dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat, dan mereka tidak akan ada masa untuk berleka mahupun melibatkan diri dengan perkara-perkara negatif. Masa itu emas, itulah ungkapan yang sering kita dengar dan ungkapan itu juga sebenarnya menyuruh kita menghargai masa. Tempoh 24 jam sehari kita setiap hari perlulah dipenuhi dengan ilmu, pengalaman, amal ibadat,kebaikan dan aktiviti-aktiviti sihat kerana setiap manusia di muka bumi ini memerlukannya. Ibu bapa digalakkan untuk memantau segala aktiviti anak-anak sama ada di sekolah mahupu  di luar sekolah, dan lebih baik lagi menyediakan jadual waktu harian untuk mereka, yang perlu diisi dengan waktu belajar, beriadah, beribadah dan beramah mesra dengan keluarga atau bergaul dengan masyarakat. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih teratur, dan masa mereka tidak dibazirkan dengan perkara yang tidak berguna. Cukup dijelaskan di sini bahawa mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Para hadirin yang dirahmati,
                Akhir sekali, peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial termasuklah dengan menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak. Seperti yang diketahui, ibu bapa merupakan golongan yang paling hampir dengan anak-anak, dan disebabkan itu, mereka merupakan golongan yang paling tepat untuk mejadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak bukan sahaja melalui sahsiah diri, malah dari segi pertuturan bahasa, pergerakan, adab sopan dan amal kebaikan yang dilakukan. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya, begitulah yang dikatakan melalui peribahasa orang Melayu kita. Keperibadian anak-anak bergantung kepada bagaimana cara ibu bapa melatih dan membentuk mereka. Sekiranya anak-anak disematkan dengan sulaman kebaikan, maka anak-anak akan mejadi individu yang lebih baik dan begitulah sebaliknya. Sekiranya ibu bapa tidak menjadi contoh ikutan terbaik, maka bagaimanakah anak-anak ingin menjadi individu yang baik dan berakhlak mulia? Anak-anak ini merupakan penentu hala tuju negara, dan seelok-elonya mereka dibentuk dan diajar untuk menjadi individu yang berkualiti. Sudah terang lagi bersuluh, sememangnya ibu bapa yang menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak mampu membendung mereka daripada terlibat dengan gejala sosial.

Hadirin sekalian,
                Secara keseluruhan, gejala sosial ini sebenarnya boleh ditangani dengan mudah sekirannya ibu bapa berjaya mendidik dan membentuk anak-anak dengan sebaik-baiknya. Sekiranya ibu bapa amat menitikberatkan isu ini, maka dengan mudah masalah gejala sosial yang berlaku dalam generasi muda kita masa kini akan dapat dibendung, seterusnya negara akan dapat melahirkan lebih lagi generasi muda yang berkualiti dan berkemampuan untuk mentadbir negara. Sanggupkah kita melihat negara kita dipimpin oleh orang asing dan bukannya anak watan? Sanggupkah kita melihat anak-anak kita menjadi buruan pihak berkuasa kerana terlibat dengan jenayah? Adakah tempoh sembilan bulan sepuluh hari kita menjaga mereka di dalam kandungan, dan beberapa tahun membesarkan mereka dengan mengorbankan wang, masa dan tenaga dapat dibalas sekiranya mereka terlibat dengan masalah sebegitu?  Sudah tentu tidak, oleh itu, langkah awal harus diambil dan ibu bapa perlu mula memainkan peranan masing-masing kerana peribahasa ada menyebut, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini bahawa, gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja masa kini tidak akan dibendung tanpa usaha dan peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa.

                Sekian sahaja pidato saya pada kali ini, saya ingin memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa mahupun tersilap bahasa sepanjang saya menyampaikan pidato sebentar tadi. Saya berharap, agar hadirin sedikit sebanyak mendapat pengajaran dan ilmu tambahan daripada pidato itu tadi dan dalam masa yang sama saya juga berharap agar hadirin yang berada di hadapan saya ini tidak terlibat dengan gejala sosial seperti yang dipertekankan dan menjadi antara generasi yang berguna untuk masyarakat di masa hadapan. Sebelum saya mengundur diri, ingin saya sampaikan serangkap pantun;

Berjalan kaki pergi ke pekan,
Sambil melihat mentari pagi;
Salah dan silap harap dimaafkan,
Kalau ada umur bertemu lagi.

Sekian, terima kasih dan assalamualaikum. 

Remaja,

Ingatlah masa depanmu,

Kenanglah,

Jasa ibu dan ayahmu,

Susah payah mereka membesarkan kita

Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Jadi, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.

(Isi 1) Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan benteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Jadi, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.

(Isi 2) Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada senario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistik dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala sosial. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan prioriti utama dalam usaha membendung kemelut ini.

(Isi 3) Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak.Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, segala-galanya bermula di rumah. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.

(Isi 4) Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.

(Isi 5) Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Oleh itu, dalam kita mengharung arus modenisasi, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.

(kesimpulan) Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, sebelum padi di tangan menjadi lalang dan ayam ditambat disambar helang, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.