Pidato Fatihah 2 : Bismillahirahmanirrahim

Bismillahirahmanirrahim

ANAK KEDIDI TERBANG RENDAH,

HINGGAP BERLABUH DI RANTING BIDARA;

IZINKAN HAMBA MENYAMPAI WADAH,

 BERKONGSI ILMU DALAM BICARA.

Amerika Syarikat bertamadun tinggi berdiri kukuh sebagai kuasa besar dunia, namun kebejatan sosialnya semakin menggila sekaligus menidakkan nilai-nilai insani yang seharusnya menunjangi kehidupan keluarga bahagia. Institusi keluarga tergugat, lantaran akhlak yang mulia telah diabaikan, sebaliknya digantikan dengan konsep matlamat menghalalkan cara dalam segala aspek kehidupan keluarga. Nantikan natijahnya, renungkan.

Assalamualaikum WBT dan salam keluarga bahagia.

Sejambak kasih seharum kasturi buat saudara peneraju majlis, jemaah hakim yang berintegriti, warga pendidik yang disanjungi seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang dihormati.

Akhlak terpuji sahsiah berkualiti, demikianlah bingkisan wacana saya pada pagi ini.

Hadirin yang bervisi,

Manyusuri konsep Akhlak terpuji sahsiah berkualiti mempunyai kolerasi tersendiri.  Ramai percaya bahawa AKHLAK MULIA adalah kuasa kebahagiaan keluarga, masyarakat dan Negara. Justeru, hadirin sekalian, saya ingin mengajak anda menghayati TIGA focus bicara intipati wacana saya pada hari ini.

Pertama senario semasa institusi keluarga hari ini, . Kedua cabaran yang dihadapi oleh institusi keluarga dan ketiga , langkah mewujudkan keluaraga bahagia melalui pembentukan akhlak mulia.

Hadirin hadirat sekelian

Masih segar di ingatan, kita disentak dengan peristiwa duka si bapa menikam mati si isteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil, isteri tua menyimbah asid kepada suami tersayang kerana isu berpoligami, si anak pula membunuh ibu kandung angkara dadah yang menghantui diri.Statistik kes sumbang mahram, harapkan pagar, pagar makan padi yang dikeluarkan oleh kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga menunjukkan ada peningkatan kes setiap tahun iaitu 2503 kes pada tahun 2010 kepada 2952 kes pada tahun 2011. Senario realiti masyarakat Malaysia sebegini amat menakutkan kita kerana seolah-olah masyarakat kita kehilangan rentak memacu bahtera keluarga. Anak-anak muda di bangku persekolahan sudah mempraktikkan gejala sumbang yang ditonton melalui kemajuan teknologi. Persoalannya, mempukah kita membentuk akhlak mulia dalam kalangan masyarakat kita dan seterusnya melahirkan keluarga yang bahagia dalam situasi sebegini.

Dalam menjana sebuah keluarga bahagia, mana mungkin seorang ketua keluarga yang mengamalkan corak hidup yang bersandarkan atas nafsu semata-mata mampu mentarbiah anak isteri menjadi mukmin dan mikminin yang hebat. Mampukah seorang bapa yang membiarkan anak-anak hidup merempat, memberikan pendidikan yang sempurna buat mereka? Seorang ayah yang menjadi hamba dadah mana mungkin dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai  kualiti dari segi kepribadian, Seorang ayah yang terpenjara di dalam tirai besi akibat kesalahan merompak, menyamun, membunuh, merogol dan pelbagai kesalahan lagi manakan mampu untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia dalam membentuk rumahtangga?  Sudah terang lagi bersuluh, perlakuan songsang seorang ketua keluarga seperti ini tidak mampu untuk mendidik anak-anak menjadi seorang pemimpin yang hebat suatu hari nanti. Anak-anak yang tidak bedosa akan menjadi mangsa kekejaman dan kebodohan sikap bapa sendiri. Sampai masanya, anak-anak akan mempersoalkan kenapa hidup keluarga mereka tidak bahagia seperti keluarga orang lain? Sungguh malang bagi sebuah keluarga yang dijana tanpa adanya seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Seorang isteri yang diabaikan tanpa sebarang nafkah oleh suami mana mampu untuk mendidik anak secara bersendirian. Pepatah ada mengatakan bapa borek anak rintik dibimbangi anak-anak yang mengalami kecelaruan dalam hidup ini akan bertidak mewarisi sikap ayahnya yang menyusahkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tuntasnya, jelas kepada kita bahawa keluarga bahagia merupakan tunjang kepada melahirkan generasi yang berkualiti.

Warga dewan budiman,

Cabaran dalam membentuk keluarga bahagia. Kehidupan moden hari ini bukan sahaja menuntut manusia untuk bekerja  keras bagi menampung kehidupan, namun manusia mula melupakan asas pembinaan keluarga menurut lunas dan akhlak yang mulia. Pembentukan keluarga nukleus tidak lagi menjadi keutamaan dalam era kemodenan ini. Para ibu bapa begitu sibuk bekerja sehingga anak-anak dibiarkan membesar tanpa ada pengawasan. Statistik  kes lari dari rumah yang dikeluarkan oleh PDRM Bukit Aman menunjukkan 87 peratus  kes lari rumah kerana kelalian ibu bapa. Pakej Keluarga bahagia berteraskan yang muda disayangi, yang tua dihormati, Konsep Rumahku Syurgaku tidak lagi menjadi ikutan bahkan dipandang sepi dalam masyarakat. Sungguh sedih melihat kehancuran akhlak dalam kalangan remaja. Imam Al Ghazali pernah berkata, untuk melihat kemajuan sesuatu bangsa, lihatlah remajanya hari ini. Namun, sayang seribu kali sayang, kes-kes moral terus meningkat saban tahun dan dilihat tiada kesudahannya.

Hadirin yang dikasihi,

Pepatah Melayu ada mengatakan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peranan dan tanggungjawab membentuk masyarakat yang bersahsiah berkualiti diperkasakan melalui pelbagai mdium di peringkat akar umbi. Agensi-agensi yang prihatin menyahut pelan strategik kerajaan  mengajak masyarakat  mengubah paradigma. Kursus pra perkahwinan  diwajibkan  kepada pasangan yang seia sekata mengikat janji Agar memperolehi kemahiran keibubapaan yang secukupnya. Amalan Budi Bahasa Budaya Kita, disemarakkan Agar jutaan rakyat Malaysia bersama-sama menghayati konsep jati diri dan membetulkan organisasi lantas menanam dan mengkambus jauh telunjuk lurus kelingking berkait. Didikan gama dan kerohanian disemaisuburkan dalam diri setiap ahli keluarga dengan akhlak-akhlak mulia dan mahmudah agar sikap sayang menyayang dalam keluarga dan masyarakat tidak bertepi. Sudah tentulah puncak kasih akan berpanjangan. Jelas menunjukkan usaha-usaha telah dilakukan bagi membentuk akhlak mulia dan akhinya membentuk keluarga bahagia.

Anak-anak bangsaku

Saya dapat menyimpulkan bahawa bangsa Malaysia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Nilai-nilai tradisi dan akhlak mulia masih utuh mendasari prinsip keluarga bahagia. Ayuhlah anak-anak bangsaku, kita kekalkan warisan gemilang selagi hayat di kandung badan.Marilah kita lakarkan potret kegemilangan Malaysia pada masa hadapan. 

Indah nian dinihari

Damai terasa disanubari

Akhlak terpuji sahsiah disayangi

Menjadi cermin masyarakat madani

Sekian Salam keluarga Bahagia. Wabillah hitaufiq walhidayah wassalamualikum WBT.