Pidato Sk Setia Alam

SK SETIA ALAM

PERTANDINGAN PIDATO

DISPLIN ASAS KECERMELANGAN HIDUP

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang saya kasihi sekalian.

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera.

Di sini ingin saya lahirkan rasa kesyukuran kerana di beri peluang keemasan di dalam dewan yang serba indah, dalam negara yang sentiasa aman, damai, suasana pagi yang gelap pada zahirnya bertukar cerah terus memberi laluan mudah kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato penting yang bertajuk, Disiplin Asas Kecemerlangan Diri.

Sidang dewan yang saya hormati,

Sebelum saya meneruskan bicara menutur kata-kata, izinkan saya mendefinisikan tajuk saya pada hari ini.Disiplin Asas Kecemerlangan Diri. Displin membawa maksud kepatuhan kepada peraturan. Asas pula ialah tapak. Dasar merupakan satu permulaan. Manakala kecermelangan merupakan satu kegemilangan diri seseorang. Jadi, kepatuhan kepada peraturan merupakan tapak permulaan kepada kegemilangan diri seseorang.

Tanpa membuang masa merata-rata, izinkan saya rungkaikan beberapa misteri kecemerlangan dan kegemilangan diri yang sememangnya cukup mudah dikecapi, jika apa yang akan saya perkatakan sebentar lagi dipraktikkan dalam kehidupan.

Hadirin sekalian,

Akal yang cerdas terletak kepada tubuh badan yang sihat. Tubuh yang sihat dan cergas memang diperlukan untuk menjalankan aktiviti seharian. Antara salah satu faktor yang perlu diambil berat ialah faktor kesihatan. Kesihatan dapat dijaga apabila pemakanan diawasi. Makanan yang banyak bahan perasa, bahan pengawet dan berkarbonat mestilah dihindari bagi memastikan safat otak berjalan lancar kerana bahan seperti inilah yang melemahkan ingatan dan menyebabkan sukar untuk menghafal sesuatu. Makanan seperti ini juga boleh menyebabkan kegemukan dan obesiti berlaku. Jika terjadi sedemikian, proses pembelajaran sukar untuk dijalankan. Oleh itu, sewajarnya kepada sesiapa yang mencari-cari kecemerlangan diri dan kehidupan berdisiplin perlulah menjaga pemakanan harian. Jaga pemakanan anda, Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan

Peraturan semestinyanya ada di sekeliling kita. Hidup tanpa peraturan, mati. Faktor yang akan saya tegaskan sebentar lagi berdasarkan aspek mematuhi peraturan iaitu patuh kepada arahan. Jalan raya trafik, rumah ibu bapa, sekolah guru, atau dimana sahaja kita berada pasti ada arahan dan peraturan tersendirinya. Pelajar yang cemerlang merupakan pelajar yang patuh kepada arahan gurunya. Anak yang soleh, meupakan anak yang mendengar arahan ibu bapanya. Dan pengguna jalan raya yang berhemat adalah pengguna yang akur dengan arahan dan peraturan jalan rayanya. Kajian akal menunjukkan individu yang cemerlang ialah individu yang akur dengan arahan. Contohnya, guru menyuruh pelajar mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah tetapi pelajar ini bukan seorang yang patuh pada arahan dan pasti tidak diendahkan kata-kata guru tersebut. Bagaimana ingin cemerlang jika berlaku sedimikan rupa? Ingat, patuh pada arahan, kecemerlangan dalam tangan!

Sidang dewan yang saya hormati sekalian,

Faktor terakhir yang ingin saya tegaskan pada hari ini adalah faktor yang paling penting berkisarkan aspek dalaman individu itu sendiri. Dimana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Penat saya menyusun kata, tapi iltizam, keinginan, daya usaha, daya saing sedikit pun tidak terbit dalam hati, macam mana mahu cemerlang? Terletak pada individu, semangat juang untuk berjaya, untuk cemerlang semestinya ditanam dalam diri masing-masing. Orang cemerlang, orang punyai semangat juang. Datuk Azhar Mansor dan Datuk Sharifah Mazlina contohnya, keinginan yang tinggi, kemahuan membuak-buak untuk mengharumkan nama negara inilah, resepi utama yang membolehkan mereka mengecapi kemanisan kejayaan dan kecemerlangan. Lihatlah dunia, mana- mana pemimpin yang berdisiplin, yang bersungguh-sungguh, yang punyai wawasan dan cita-cita tinggi pasti disanjung masyarakat. Siapa yang menuai, dia akan dapat hasilnyanya. Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan dapat kejayaannya

Hadirin sekalian,

Resepi kejayaan telah saya suapkan, keluarkan sedikit tenaga kunyah dan telan akan meresap ke dalam diri Akhir kata sebelum dewan ini kembali sunyi, saya mahu tegaskan sekali lagi, disiplin yang jitu dalam diri seseorang, mampu membawanya ke gerbang kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sekian wabillahitaufik walhidayah WASSALAM

Isnin lepas 12 April, puteri bongsu saya Farah Izzati telah menyertai pertandingan Pidato Peringkat PKG Langgar di SK Titi Gajah. Alhamdulillah, meskipun tidak mendapat tempat pertama namun beliau masih mendapat tempat ketiga terbaik daripada 15 orang peserta semuanya. Berikut merupakan teks pidato yang telah disampaikan oleh puteri saya itu;

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis yang budiman, yang sudi memberi laluan, barisan panel hakim yang bijaksana, pastinya cendiakawan, para guru yang disanjungi, seterusnya, teman rakan yang disayangi. Assalamualaikum w.b.t. Salam sejahtera juga Salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran kehadrat IIlahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita dipertemukan dalam majlis pada pagi ini. Izinkan saya para hadirin sekalian untuk beraksi menyampaikan sebuah pidato penting yang bertajuk, Disiplin Menjana Kecemerlangan.

Sidang dewan yang saya muliakan,
Sebelum saya meneruskan bicara, menyusun kata-kata, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya pada hari ini. Menurut Kamus Dewan disiplin merupakan satu latihan pemikiran dan kelakuan supaya seseorang individu dapat mengawal diri dan patuh pada peraturan atau tata tertib. Menjana pula adalah penggerak atau pemacu, manakala kecemerlangan didefinisikan sebagai kegemilangan atau kejayaan yang dicapai oleh individu. Rumusannya; kepatuhan kepada peraturan dan tata tertib dapat menjadi penggerak atau pemacu ke arah kejayaan atau kegemilangan hidup seseorang.

Hadirin sekalian,
Hujah saya yang pertama. Individu yang berjaya adalah individu berdisipin. Sejarah membuktikan bahawa seseorang yang berdisiplin, yang patuh kepada peraturan dan undang-undang akan mengapai kejayaan. Kenapa saya katakan begitu?? Nik Nor Madhihah contohnya, pelajar cemerlang SPM 2008 membuktikan bahawa seorang individu yang dhaif, serba kekurangan tetapi dapat berada di kemuncak kejayaan kerana memiliki disiplin diri yang tinggi. Beliau bukan sahaja mempunyai jadual yang ketat, malahan amat mematuhi peraturan yang dibinanya sendiri. Kejayaan Nik Nor Madhihah ini membuktikan bahawa, dengan adanya disiplin, kejayaan dapat dicipta dan dibentuk!!

Orang yang berdisiplin akan sentiasa mengawal diri dari mengambil pemakanan yang kurang sihat. Demikian hujah saya yang kedua. Pemakanan amat penting untuk melahirkan individu yang bersih diri dan minda. Individu yang berdisiplin akan sentiasa mengelak daripada mengambil makanan berbahan perasa, berpengawet malahan berkarbonat. Pengambilan makanan seperti ini bukan sahaja menyebabkan kegemukan dan obesiti malahan melemahkan daya ingatan dan menyukarkan proses menghafal. Persolannya sejauh manakah kenyataan ini benar?? Menurut Adi Putera, seorang kanak-kanak genius Matematik ketajaman ingatannya adalah kerana beliau tidak mengambil sebarang makanan ringan tetapi mengamalkan kismis dan kurma!! Nah…, hadirin sekalian apa lagi yang kita fikirkan, tepuk dada tanyalah jiwa.

Sidang dewan sekalian,
Individu yang berdisiplin adalah individu bermotivasi tinggi. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Memilih untuk berdisiplin, anda pasti terpimpin. Hendak seribu daya, tak hendak seribu auta. Orang yang bermotivasi sentiasa mempunyai semangat juang dan inginkan persaingan. Sekiranya kita berada dalam zon selesa, tanpa sebarang persaingan, mana mungkin kita dapat membina kejayaan! Contohnya saudara-saudari sekalian, saya tidak akan berdiri di sini kalau saya tidak ada motivasi! Saya tidak akan menyertai pertandingan ini jika saya tidak ingin merasai nikmat persaingan! Melalui pertandingan ini saya belajar berdisiplin. Mana tidaknya?? Saya perlu menghafal, perlu mencari isi, perlu belajar berintonasi? Perlu menghilangkan rasa gentar. Perlu juga membahagikan masa. Jadi dengan adanya motivasi diri yang tinggi saya dapat membentuk disiplin diri.

Orang yang berdisiplin tinggi seperti Dato Lee Cheong Wei, Dato Nicol Ann David, Dato’ Sharifah Mazlina dan Dato Dr, Sheikh Muzaffar contohnya adalah individu berdisiplin dan mempunyai kemahuan tinggi. Sedarkah anda bahawa percubaan dan ujikaji ribuan kali dilakukan oleh Thomas Adison untuk mencipta lampu yang dapat kita nikmati faedahnya sehingga kini dan ratusan kali Colonel Sanders menguji resepi KFCnya sehingga kita semua menjamahnya sekarang sampai menjilat jari. Kepatuhan kepada disiplin telah membolehkan mereka mengharumkan nama negara. Siapa sangka seorang wanita seperti Datuk Mazlina dapat menawan Antartika? Siapa sangka Dato Dr. Sheikh Muzaffar boleh sampai ke angkasa? Siapa sangka semua mereka ini boleh berjaya. Lihatlah saudara, lihatlah dunia orang yang berdisiplin, kejayaan milik mereka!! Siapa yang menuai, dia akan dapat hasilnya.

Hadirin sekalian,
Resepi kejayaan telah saya suapkan, ambil, kunyah dan telan dalam diri. Akhir kata sebelum mengundurkan diri saya tegaskan sekali lagi, disiplin diri yang jitu mampu membawa seorang individu ke gerbang kejayaan. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata!!
Sekian, wabillahitaufik walhidayah WSLM.