Pidato Reena : Sirih Berlipat Sirih Pinang,

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Seri Indah;
Pemanis kata selamat datang,
Salam sejahtera pembuka madah

Terima kasih tuan pengerusi majlis

Panel juri penjunjung kesaksamaan

kelompok pendidik bestari dan hadirin pendengar yang dikasihi,

..

.dekat dihati..

 Selamat sejahtera

.

dan Salam 1 Malaysia

Berbunga kemesraan

arena pada hari ini..

saya warnai dengan pidato yang berjudul

Semangat 1 Malaysia Teras Pembangunan Negara

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato.

Semangat ditakrifkan sebagai perasaan dan jiwa,  1Malaysia ditakrifkan sebagai rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa

Malaysia. Teras bermaksud sesuatu yang menjadi asas. Pembangunan bererti segala pembaharuan dan kemajuan yang membawa kepada taraf hidup yang lebih baik. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa amalan bersatu padu dalam kalangan rakyat merupakan dasar kepada kemajuan sesebuah negara seiring dengan gelombang modenisasi.

Warga dewan sekalian,

Semangat persaudaraan membawa kejayaan negara tercinta.

Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib Tun Razak pada bulan Mac 2009 merupakan usaha beliau untuk menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah satu slogan yang akan menjadi identiti rakyat negara ini. Hasrat Perdana Menteri kita ialah untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia sekiranya mendapat sokongan padu semua lapisan masyarakat negara ini. Menurut beliau, segelintir masyarakat perlu membuat anjakan paradigma daripada masyarakat yang terkongkong

dengan pemikiran yang dangkal, cetek dan pesimistik kepada masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas pertama.

Walaupun berbeza asal keturunan, kepercayaan agama dan akar budaya namun rakyat Malaysia berpegang pada satu prinsip yang sama iaitu Rukun Negara. Semangat persaudaraan ini memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan kemajuan negara. Tanpa semangat ini, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Buktinya RIMUP dan e-intergrasi  telah mensasarkan murid-murid dari SK, SJK(C) dan SJK(T) bersama-sama mengikuti satu program bersama. Pelaksanaan RIMUP dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan adalah untuk membina negara bangsa. Ideologi dengan semangat persaudaraan dalam 1Malaysia pasti menggerakkan kejayaan negara.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Sidang intelektual sekalian,

            Meniti wasilah kedua saya dengan untaian kata, Kemajuan ekonomi dinikmati, kemakmuran negara dikecapi.

Pembentukan Semangat Satu Malaysia adalah matlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional dan seterusnya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa.

1Malaysia dapat membangunkan ekonomi negara. Pelancong dan pelabur asing mengenali rakyat Malaysia yang  berintegriti tinggi.

    

Kini, Malaysia menerokai bidang sains angkasa, bioteknologi dan teknologi nano. Menurut laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, Malaysia mencatatkan nilai digital 0.57 bermakna kita mendahului kemudahan akses digital dalam kalangan negara ASEAN.

            Justeru, 1Malaysia telah meningkatkan taraf ekonomi negara menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

Hadirin yang dihormati sekalian,

           Idea terbilang terakhir saya dengan gagasan bicara, perpaduan dan semangat nasionalisme, negara aman dan sentosa.

Peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 perlu dijadikan iktibar agar pisang tidak berbuah dua kali. Kini 1Malaysia disandarkan dalam memperkukuhkan perpaduan nasional. Negara ini adalah negara kita. Kita adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati dan dikongsi secara bersama. Barulah negara akan aman sentosa. Segala pembangunan adalah limpahan daripada perpaduan yang diteruskan dalam 1Malaysia. Lantaran itu, sama-samalah kita  bersatu untuk membangunkan negara Malaysia nan satu menuju ke arah matlamat wawasan 2020.

Negara kita kini telah berjaya mencapai tahap yang tinggi dan dihormati di mata dunia. Kecermelangan negara kita dalam pelbagai bidang walaupun mempunyai rakyat yang berbilang bangsa

menyebabkan negara lain cemburu dengan pencapaian negara kita. Pencapaian nusa kita merupakan berkat amalan nilai bantu-membantu dan nilai toleransi yang diamalkan oleh rakyat negara kita. Pepatah Melayu ada mengatakan bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Oleh itu, saya menyeru tuan-tuan, puan-puan dan rakan-rakan sekalian berpegang pada konsep 1Malaysia agar negara ini terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bersatu kita teguh bercerai kita roboh

Akhir kata,

Satu Malaysia satu bahasa,

Menjadi penghubung pelbagai ungkapan;

Berbagai agama berbilang bangsa,

Rakyat didahulukan pencapian diutamakan

Sungai Pahang berjela-jela,

Naik rakit merentas desa;

Demi rakyat negara tercinta,

Perpaduan tonggak 1 Malaysia.

Sekian, salam ilmiah menjana sahsiah