Contoh Pidato : Tajuk GURU PENJANA TRANSFORMASI NEGARA

Tajuk : GURU PENJANA TRANSFORMASI NEGARA

Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, guru-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian. Berdirinya saya di atas pentas yang berwarna warni ini pada pagi yang mulia ini adalah bertujuan untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk. Guru Penjana Transformasi Negara

Tugas sebagai seorang guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah dan seorang guru telah dianggap sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara dan perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Perlaksanaan KSSR, dan MBMMBI mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan diharap dapat merealisasikan transformasi pendidikan yang diingini. Begitu juga dengan penggunaan IT (teknologi maklumat) dan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) yang amat berharga nilainya. Warga guru merasa amat bertuah kerana mempunyai transformasi ICT nya untuk memastikan matlamat mentransformasikan pendidikan negara akan tercapai.

Guru boleh diibaratkan sebagai lilin membakar dirinya untuk menerangi orang lain kerana perlu mendepani pelbagai onak duri dan cabaran terutamanya dalam melayani kerenah anak-anak muridnya. Dari hari ke hari, cabaran sebagai seorang guru menjadi makin sukar. Antaranya, seringkali dalam kalangan pelajar yang sering menimbulkan masalah disiplin. Terdapat juga pelajar yang tidak menyiapkan kerja yang diberi dan sering ponteng sekolah. Namun begitu, sekiranya ada pelajar yang terlibat dalam kes buli atau prestasi mereka merudum pasti wujudnya segelintir ibu bapa yang akan menunding jari ke arah guru seolah-olah guru sahaja yang bertanggungjawab atas disiplin dan perkembangan anak-anak mereka.

Sidang hadirin sekalian,

Dalam menjana transformasi negara guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga berperanan sebagai penunjuk jalan bagi membentuk insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia mahupun akhirat. Mereka berada di hadapan untuk membentuk bangsa yang cemerlang dan memastikan negara itu maju, aman dan dihormati. Maka dalam merealisasikan harapan yang tinggi ini, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian dan maklumat agar selari dengan kehendak yang diperlukan oleh masyarakat bagi tujuan mencapai aspirasi negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Jika dahulu gurulah yang berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar di mana hanya guru sahaja yang bercakap dan menyoal. Namun dalam era baru ini, guru berperanan sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahirkan dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Cara mengajar juga telah berubah di mana dahulu ilmu disampaikan secara lisan dan bertulis. Namun kini teknologi komputer telah memberikan sesi pembelajaran berjalan secara interaktif dan lebih menarik lagi.

Selain itu guru juga berperanan dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Ini sangat bersesuaian dengan tema yang sedang dibincangkan ini. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan. Ini kerana persediaan bagi pengeluaran tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Guru adalah model seorang manusia yang berkelakuan baik

Hadirin dan hadirat sekalian,

Tema atau slogan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara melambangkan bahawa warga pendidik mampu melakukan transformasi bagi melahirkan lebih ramai lagi golongan yang bijak pandai. Perkembangan teknologi negara telah memudahkan proses transformasi ini. Jika dahulu pelajar hanya boleh mendapatkan sumber rujukan melalui buku sahaja. Kini pelbagai kaedah rujukan mampu dilakukan terutamnya dengan penggunaan internet dan sebagainya.

Seiring dengan kemajuan teknologi dan pemikiran masyarakat para guru hendaklah mengaplikasikan kemajuan teknologi dan juga strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran yang sistematik dan berkesan berlandaskan hukum agama. Namun hakikatnya hal ini memerlukan keazaman dan semangat yang tinggi untuk direalisasikan ditambah dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh para guru pada hari ini.

Para hadirin yang dikasihi,

Kesimpulannya, ingin saya menegaskan di sini bahawa seorang guru hendaklah mempunyai hati yang kukuh, jiwa yang tenang dan semangat yang kental dalam apa jua tindakan dan cabaran yang melintang dalam usaha menongkah arus kehidupan. Hal ini kerana Islam amatlah memuliakan peranan seorang guru dalam masyarakat dan mengangkat tinggi darjat mereka yang memiliki ilmu dan mengajarkannya kepada mereka yang lain.

Sebelum saya akhiri pidato saya pada pagi ini, terimalah hasil nukilan Usman Awang ini.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat cikgu kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG1979

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan andai terdapat tutur bicara yang kurang sopan atau sebarang kesilapan semasa saya menyampaikan pidato sebentar tadi jutaan kemaafan saya pohonkan.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply