Pidato Pasti : Bismillahirrahmanirrahim.

Bismillahirrahmanirrahim.

Terima kasih tuan/puan pengerusi majlis barisan panel hakim yang arif lagi menegakkan keadilan, guru-guru, rakan-rakan seterusnya sidang hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum wrt. wbt

Berdirinya saya dihadapan pentas yang serba indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Guru Pembina Bangsa.

Sidang hadirin sekalian,

Guru ibarat pelita, guru ibarat lilin yang membakar diri, guru ibarat matahari yang menyinari alam. Inilah antara perumpamaan yang sering kita dengar sejak dahulu lagi. Ini menggambarkan tingginya pengorbanan yang ditunjukkan oleh guru kepada kita semua. Tetapi apakah pula pengorbanan kita sebagai seorang murid kepada guru kita? Oleh itu pada hari ini saya akan mengupas peri pentingnya kita menghormati guru.

Sidang hadirin sekalian,

Menuntut ilmu itu wajib atas setiap umat Islam. Setiap kita wajib menuntut ilmu, apatah lagi ilmu agama. Dengan siapa kita perlu menuntut ilmu kalau bukan dengan guru. Memang kita boleh dapat ilmu hanya dengan membaca buku sahaja. Tetapi harus diingat orang yang menuntut ilmu melalui buku semata-mata tanpa guru ibarat berguru dengan syaitan. Maka jelaslah di sini pentingnya kita perlu menuntut ilmu dengan berguru.

Sidang hadirin sekalian,

Dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Orang-orang mukmin yang lebih sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya. (Hadith riwayat al-Tarmidhi) dapat kita lihat saling kaitan yang erat antara iman dan akhlak. Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa orang yang mempunyai kesempurnaan akidah dan iman ialah orang yang mempunyai akhlak yang baik. Rasulullah sendiri mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi sehingga mampu menjadi contoh tauladan dan qudwah hasanah kepada seluruh umat manusia. Malah baginda diutuskan bukan sahaja untuk menyeru manusia ke arah mengesakan Allah tetapi jua untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sabda baginda: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Riwayat Bukhari, Hakim dan Baihaqi). Oleh yang demikian segala ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah saw hendaklah kita pelajari melalui guru. Barulah kita akan dapat peroleh ilmu, iman dan taqwa seterusnya memiliki akhlak yang mulia.

Sidang hadirin sekalian,

Satu kisah yang ingin saya kongsi berkaitan dengan kepentingan menghormati guru. Pada zaman dahulu ada seorang murid yang sangat lemah pelajarannya. Tetapi dia sangat menghormati gurunya. Setiap hari dia akan menunggu gurunya di pintu masjid. Bila gurunya sampai dia akan sambut dan diambil kasut gurunya itu lantas dibersihkan dan diletakkan ditempat yang tinggi. Waktu belajar dia selalu dimarah kerana lambat dapat. Tetapi dia tetap sabar dan tidak pernah jemu menuntut ilmu dan menghormati gurunya itu. Pada satu malam di bulan Ramadhan sewaktu mereka semua tidur di dalam masjid murid tadi terbangun dan Allah rezekikannya bertemu dengan lailatul qadar. Keesokannya seperti biasa selepas solat subuh gurunya akan mengajar muridnya. Tetapi pagi itu si guru meminta muridnya yang lemah tadi menggantikannya. Semua terkejut kerana murid tadi mengajar lebih hebat dari gurunya. Itulah keberkatan dan rezeki yang Allah kurniakan kepada murid yang asalnya lemah telah menjadi seorang murid yang hebat.

Sidang hadirin sekalian,

Daripada kisah tadi marilah kita jadikan pengajaran bahawa kita sebagai murid hendaklah sentiasa menghormati guru, mendoakan mereka, dan sentiasa membantu guru kita. Semoga kita semua akan menjadi murid yang cemerlang dan memperoleh keberkatan daripada guru kita.

Sekian terima kasih.

Leave a Reply