Pidato Bahasa Jiwa Bangsa Karnival 2014

Teks Pidato: SK PASIR GUDANG 4

TAJUK PIDATO: BAHASA JIWA BANGSA

Andai patah sayap rajawali,

Bertongkat jua saya ke mari,

Bukan kerana ingin bermimpi,

Tetapi untuk membawa hadirin menyelami mauduk pidato saya yang berbunyi BAHASA JIWA BANGSA

Sambutlah salam sejahtera, Salam 1Malaysia,Semarak kasih, sekalung budi Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi berkarisma, penjaga masa yang setia pada saat dan ketikanya,dif-dif kehormat,seterusnya para hadirin pencetus revolusi minda yang saya muliakan.

Sebelum kaki mengorak langkah lebih jauh,izinkan saya mendefinisikan mauduk pidato saya pada hari ini. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi suara. Jiwa pula merupakan roh atau nyawa. Manakala bangsa pula dapat didefinisikan sebagai jenis manusia daripada satu asal keturunan.

Secara konotasinya, Bahasa Jiwa Bangsa juga membawa maksud milik mutlak sesuatu bangsa yang menjadi identiti kebangsaan.Sesungguhnya, bahasa itu menunjukkan jati diri sesuatu bangsa. Kekuatan bangsa itu juga membuktikan kuatnya sesuatu bangsa itu sendiri.

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dan pergaulan terutamanya dalam aspek pertuturan.

Sidang dewan yang dimuliakan,

Melalui bahasa sesuatu masyarakat dapat mempamerkan nilai-nilai dan budaya mereka kepada bangsa lain. Pepatah Melayu menyatakan bahasa menunjukkan bangsa. Hatta, saya rangkumkan frasa ini dengan nirmala kata saya yang pertama.Bahasa Melayu mencerminkan jati diri bangsa Malaysia.

Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas bahasa kebangsaan kerana bahasa jiwa bangsa. Hal ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan,bahasa itulah yang membentuk jiwa kita sekaligus memercikkan jati diri kebangsaan.

Persoalannya kini, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa? Perlu dinyatakan di sini, hanya bahasa kebangsaan yang dapat menitiskan semangat satu bangsa , menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarakkan jati diri kebangsaan.

Jati diri sesuatu bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia yang lain. Menuturkan bahasa yang sama adalah antara ciri untuk menentukan jati diri sesuatu bangsa. Tahukah anda, rakyat Switzerland menuturkan 4 bahasa yang berlainan iaitu bahasa Perancis, Jerman, Italy dan Sepanyol. Mereka adalah bangsa Swiss. Di Malaysia, kita juga mempunyai satu bahasa kebangsaan yang dituturkan oleh masyarakat pelbagai kaum tanpa was-was.

Warga pendengar yang budiman,

Dua nirmala kata telah dikupas, nirmala kata ketiga menyusul pula.

Bahasa sebagai kekuatan bagi jiwa rakyat.Maka bahasa juga adalah alat utama perpaduan. Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyatnya yang berbilang kaum, perpaduan amat penting. Bagi menyatupadukan rakyat,bahasa telah dijadikan alat utama. Jika setiap rakyat dapat menjiwai satu bahasa itu, maka mudahlah perpaduan dapat diwujudkan. Kuranglah syak wasangka, iri hati dan perasaan dendam. Oleh sebab itulah, Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi negara ini.

Sidang dewan sekalian, ingin saya simpulkan bahawa Bahasa Melayu bukanlah semata-mata untuk orang Melayu bahkan untuk semua rakyat Malaysia lantaran bahasa mencerminkan identiti dan citra penuturnya.

Hadirin yang dimuliakan,

Penutup bicara nirmala kata saya,

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Prof. Dr Shahir Mohamad Zain menyatakan bahawa Bahasa Melayu pernah mengungkapkan ilmu pada zaman kegemilangannya. Catatan-catatan Melayu kuno dalam prasati Champa sewal abad ke-7 mengandungi ilmu-ilmu asas dalam bidang Sains dan Matematik. Bahasa ini kemudiannya berkembang dalam pelbagai bidang seperti ekonomi , teknologi, undang-undang, sastera dan agama.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya menamatkan bait-bait bicara saya, izinkan saya menghadiahkan serangkap pantun.

Sedap makan kacang kelisa,

Buah peria pahit dan maung,

Bahasa menggabungkan etnik bangsa,

Satu Malaysia kita bernaung.

Justeru, gunakanlah bahasa yang santun. Buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, kaya dengan budi bahasa dan memiliki minda kelas pertama. Bahasa kebangsaan harus didaulatkan. Inilah sikap dan permikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020. Bahasa ibunda sewajarnya dipraktikan agar tidak pupus ditelan dek zaman. Akhir sekali, bahasa itulah yang menunjukkan bangsa.

Sekian, terima kasih.