Pidato Kepentingan Perpaduan Dalam Masyarakat

NAMA : MISRATUL ALA BT MAHYUDDIN

TINGKATAN : 4U

TAJUK : KEPENTINGAN PERPADUAN DALAM MASYARAKAT

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi budiman, guru-guru yang dihormati, rakan-rakan serta para hadirin sekalian.

Lemah lembut si anak dara,

Berjalan seorang pergi ke pekan,

Assalamualaikum pembuka bicara,

Selamat sejahtera saya ucapkan.

Nelayan ke laut membawa pukat,

Pukat diguna menangkap ikan,

Kepentingan perpaduan dalam masyarakat,

Tajuk pidato yang ingin disampaikan.

Sidang hadirin yang dihormati,

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kepentingan bermaksud perkara yang mustahak, keperluan dan sesuatu yang penting. Perpaduan pula bermaksud perihal berpadu, bergabung menjadi satu dan sepakat. Masyarakat boleh didefinisikan sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Jadi, kepentingan perpaduan dalam masyarakat bermaksud keperluan sepakat dalam sesebuah kumpulan manusia.

Bagai aur dengan tebing merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum, namun mereka saling tolong-menolong antara satu sama lain dalam semua perkara. Bertitik tolak daripada sikap saling menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat, bersatu kita teguh,bercerai kita roboh

Hadirin sekalian,

Antara kepentingan perpaduan ialah menjadikan Malaysia sebagai negara yang merdeka. Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai ranjau berduri telah dilalui oleh generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan. Hasil perpaduan masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang berganding bahu menuntut kemerdekaan, telah membuka mata pihak Inggeris supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Implikasinya, masyarakat kini dapat hidup dalam suasana yang harmoni tanpa gangguan dan kongkongan penjajah. Perpaduan yang telah wujud sekian lama ini adalah warisan daripada nenek moyang yang harus dikekalkan agar tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas

Selain itu, perpaduan kaum juga dapat mengelakkan semangat assabiah iaitu semangat kekitaan yang hanya mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing. Semangat assabiah ini mendatangkan banyak keburukan dan akan menimbulkan permusuhan antara kaum. Hasil daripada perpaduan kaum yang terjalin antara rakyat Malaysia, Malaysia dapat menjadi contoh kepada negara lain, seperti negara Amerika Syarikat yang mengamalkan Dasar Aparteid. Dasar Aparteid ialah perbezaan antara golongan kulit hitam dan kulit putih. Dasar ini meluaskan jurang perbezaan antara masyarakat kulit hitam dan kulit putih di Amerika Syarikat. Berdasarkan konteks ini, masyarakat Malaysia wajar mengekalkan semangat perpaduan demi mengelakkan semangat assabiah terjadi di atas bumi Malaysia ini.

Guru-guru dan para pelajar,

Perpaduan juga dapat membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat Malaysia. Selaras dengan itu, ekonomi negara akan berkembang dengan kemasukan pelancong asing. Pelabur dari luar negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu, perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara, akan menjadikan Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Konklusinya, pihak kerajaan perlulah menjalankan inisiatif-inisiatif seperti mengadakan pelbagai program atau aktiviti yang dapat memupuk semangat perpaduan kaum. Masyarakat Malaysia juga perlu memainkan peranan mereka dalam memupuk semangat perpaduan kaum iaitu dengan melibatkan diri mereka dalam aktiviti kemasyarakatan supaya kemerdekaan negara terpelihara. Semoga 55 tahun kemerdekaan pada tahun lepas, akan meningkatkan lagi kesepakatan masyarakat untuk menobatkan Malaysia agar gah dan terkenal di seluruh sarwajagat ini. Laungan Malaysia Boleh perlu diteruskan oleh semua warganegara Malaysia agar negara kita yang tercinta ini akan digeruni dan dikagumi semua.

Hadirin yang saya muliakan,

Akhir kalam,sebelum saya mengundur diri, terimalah serangkap pantun daripada saya.

Burung kelicap terbang sekawan,

Terbang segera dari pohon berduri,

Salah dan silap harap maafkan,

Izinkan saya memohon diri.

Sekian,terima kasih.