Oops! Something Went Wrong. Pidato Spontan (3 Minit)

PIDATO SPONTAN (3 MINIT)

TAJUK : MEMBACA AMALAN MULIA

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Tajuk pidato spontan saya pada pagi ini ialah Membaca Amalan Mulia." Selamat sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Membaca adalah satu amalan yang amat penting di dalam kehidupan kita. Membaca boleh memberi manfaat kepada semua manusia di atas muka bumi ini. Melalui pembacaan, kita dapat mengetahui pelbagai perkara yang bermanfaat. Contohnya melalui surat khabar. Akhbar merupakan sumber maklumat dan menyiarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di dalam Negara dan di luar Negara. Dengan ini kita dapat mengetahui isu-isu yang serdang berlaku.

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Selain mendapatkan maklumat, membaca juga boleh mengisi masa lapang kita daripada kita melakukan perkara yang tidak berfaedah sudah tentu masa kita tidak akan terbuang begitu sahaja. kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti bermain-main dan merayau-rayau di kedai-kedai dan sebagainya. Membaca juga dapat membentuk keperibadian seseorang sekiranya kita membaca buku-buku yang baik.

Di samping itu, membaca boleh membaiki penguasaan bahasa kita. Melaluinya kita boleh menambah perbendaharaan kata. Hal ini dapat membantu pelajar berjaya di dalam peperiksaan yang besar seperti UPSR, PMR, SPM dan lain-lain. Dengan itu, dapat membawa kebahagiaan kepada ibu bapa kita. Itulah manfaat yang dapat diperolehi melalui membaca.

Akhir sekali, budaya membaca dapat membendung seseorang daripada terjebak dalam gejala sosial yang makin teruk di dalam masyarakat kita. Ini kerana terdapat banyak kesan negatif dalam gejala sosial yang banyak dinyatakan dalam buku-buku yang terdapat di Malaysia.

Saya sudahi pidato spontan saya setakat ini sahaja. Sekian terima kasih.

PIDATO SPONTAN (3 MINIT)

TAJUK: MASA ITU EMAS

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Tajuk pidato spontan saya pada pagi ini ialah Masa itu emas."

Para Hadirin yang dihormati sekalian.

Masa itu ibarat emas. Oleh itu, kita mestilah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dengan tidak melakukan aktiviti yang boleh merugikan. Gunakanlah masa lapang kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah.

Pada masa cuti sekolah, kita boleh menggunakan masa lapang itu untuk melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti menolong ibu bapa di rumah. Kita boleh membantu mereka dengan mengemas rumah, menyiram pokok bunga, menolong ibu memasak dan lain-lain lagi. Ini dapat meringankan tugas ibu bapa dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kita.

Sidang Hadirin yang dihormati sekalian,

Selain itu, masa lapang haruslah kita gunakan untuk membaca atau mengulang kaji pelajaran. Aktiviti ini boleh menambahkan kemahiran dan kecekapan kita dalam sesuatu mata pelajaran. Kita juga akan dapat membaiki kelemahan dalam pelajaran

Selain itu, jika ada kesempatan, kita boleh berkelah bersama keluarga. Dengan berkelah, kita dapat merehatkan fikiran dan menyegarkan minda setelah penat berlajar. Apatah lagi berkelah juga dapat mengeratkan tali persaudaran kerana kita dapat melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain, makan dan sebagainya bersama keluarga

Masa lapang terutamanya pada musim cuti sekolah juga boleh kita gunakan untuk berkunjung ke rumah saudara-mara. Ini dapat mengeratkan persaudaraan antara saudara mara, di samping dapat melancong dan menikmati keindahan alam.

Kesimpulannya, masa amat berharga. Justeru, hargailah masa demi kehidupan yang lebih sempurna. Masa cuti sekolah atau masa lapang boleh dilalui dengan perkara yang tidak sia-sia apabila kita menghargai masa.

PIDATO SPONTAN (3 MINIT)

TAJUK: MENGHORMATI GURU AMALAN MULIA

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Tajuk pidato spontan saya ialah Disiplin diri pemangkin kejayaan.

Sidang dewan yang saya hormati,

Menghormati guru merupakan amalan mulia kerana mereka orang yang berjasa kepada kita semua. Gurulah yang mendidik kita sehingga kita pandai membaca, menulis dan mengira. Mereka telah mendidik kita tanpa mengenal erti penat dan lelah agar kita menjadi insan yang berguna. Mereka juga banyak memberi dorongan kepada kita agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran dan sebagainya. Guru merupakan orang yang kedua perlu kita hormati selepas ibu bapa. Ini kerana hampir separuh masa seharian kita bersama mereka. Merekalah yang menjaga, memberi nasihat, tempat kita mengadu dan sebagainya sepanjang kita berada di sekolah.

Para hadirin sekalian,

Guru juga banyak berkorban demi kejayaan kita. Antaranya mereka sanggup mengajar lebih masa atau hadir ke kelas tambahan untuk mengajar secara suka rela demi memastikan kita berjaya dalam pelajaran. Kita wajar menghomati guru bukan sekadar dengan ucapan sahaja malah haruslah dibuktikan antaranya dengan belajar bersungguh-sungguh. Apabila kita berjaya, guru pasti akan gembira. Doakanlah moga guru-guru kita dilimpahi segala kebaikan seperti dimurahkan rezeki dan sebagainya. Sesungguhnya jasa mereka amat besar dan tidak terbalas. Oleh itu, kita harus mengingati jasa-jasa mereka dengan menghormati mereka seumur hidup agar kita terus mendapat keberkatan daripada Allah.

Akhir kata, saya menyeru kepada rakan-rakan supaya menghormati guru-guru dengan seikhlas hati kerana kejayaan seseorang itu pastinya hasil daripada didikan para guru.

Sekian,terima kasih

TAJUK: KEBERSIHAN DIRI ASAS KESIHATAN (Pidato Spontan)

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian dan para hadirin yang dihormati sekalian. Selamat petang dan salam sejahtera kepada semua. Berdirinya saya di pentas yang serba indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Kebersihan Diri Asas Kesihatan

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

Badan sihat, otak cerdas demikianlah frasa yang sering diungkapkan oleh orang ramai. Jika masyarakat tidak menjaga kebersihan, maka kesihatan mereka akan mudah terjejas. Jelaslah bahawa kesihatan amatlah penting kepada kehidupan dan wajar kita berikan keutamaan. Kita haruslah melakukan pelbagai aktiviti atau mengamalkan beberapa langkah untuk mencapai tahap kebersihan dan kesihatan yang memuaskan.

Sidang hadirin yang dihormati,

Langkah pertama yang perlu kita amalkan ialah usaha penjagaan kebersihan alam sekitar. Kita haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah dan memastikan agar sampah sarap tidak berselerakan di merata-rata tempat. Sekiranya sampah sarap tidak diuruskan dengan baik, makarisiko kita dijangkiti penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lalat atau tikus amatlah tinggi. Oleh itu, sampah sarap di sekitar halaman rumah mestilah dibersihkan untuk mengelakkan pelbagai penyakit membelenggu kehidupan kita.

Selain itu, pengambilan makanan yang bersih juga penting. Makanan yang bersih dan berzat akan menyihatkan badan kita. Kaedah penyimpanan makanan yang kondusif dan bersih dapat menjauhkan makanan kita daripada tercemar. Makanan perlu ditutup dengan tudung saji atau disimpan di dalam peti ais untuk menjamin kesegaran dan kualitinya. Jelaslah bahawa sebagai konsumer atau pengguna yang bijak, kita mestilah mengamalkan tabiat pemakanan yang bersih di samping menjaga kebersihan diri dan tempat sekeliling kita dari semasa ke semasa.

Para hadirin sekalian,

Akhir sekali, kerajaan juga perlu menitikberatkan mutu kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan seperti klinik rawatan bergerak di kawasan pedalaman di samping mengadakan kempen kesedaran kepada orang ramai melalui media massa seperti televisyen, radio, majalah, akhbar dan sebagainya supaya setiap masyarakat sama ada di bandar atau di desa dapat menguruskan kebersihan dan kesihatan diri dan keluarga masing-masing dengan baik. Pendek kata, setiap rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan kesihatan pada setiap masa oleh sebab kesihatan merupakan nur yang bakal menyinari kebahagiaan keluarga, khasnya dan masyarakat Malaysia seluruhnya.

PIDATO SPONTAN (3 MINIT)

TAJUK: DISIPLIN DIRI PEMANGKIN KEJAYAAN

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk pidato spontan saya pada hari ini ialah Disiplin Diri Pemangkin Kejayaan.

Hadirin sekalian,

Tahap disiplin kebanyakan pelajar pada masa kini dikatakan berada pada tahap yang agak membimbingkan. Pelbagai pengaruh negatif telah menggugat disiplin dan ketahanan diri pelajar yang sepatutnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Untuk mencapai kejayaan, para pelajar mestilah memiliki disiplin yang tinggi. Hal ini, membolehkan para pelajar membina sahsiah yang baik dan sentiasa patuh peraturan-peraturan yang ditetapkan. Justeru itu, para pelajar mampu mengawal diri mereka daripada ancaman pengaruh negatif yang merosakkan.

Selain itu, para pelajar akan terdorong untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Malahan, para pelajar juga tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan lepak. Dengan itu, para pelajar akan dapat membina tingkah laku yang lebih baik dan dihormati oleh masyarakat.

Para Hadirin sekalian,

Pemupukan aspek disiplin perlu disertai dengan keyakinan dan kekuatan diri pelajar. Oleh itu, para pelajar sepatutnya memperkasakan diri mereka dengan ajaran agama, dan menghindari sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendorong mereka melakukan perlanggaran disiplin. Jika para pelajar bersedia dengan sepenuh hati, kejayaan pasti menanti mereka.

Daripada hujah-hujah yang telah saya sampaikan, jelaslah bahawa para pelajar yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan lebih mudah menjulang kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan mereka kelak.

Sekian, terima kasih.

TAJUK PIDATO:

KELUARGA PENYEMAI PERIBADI MULIA

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian Selamat petang dan salam sejahtera kepada semua. Berdirinya saya di pentas yang serba indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Keluarga Penyemai Peribadi Mulia

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam era globalisasi, anak-anak muda mudah dipengaruhi unsur negatif daripada media massa serta bahan-bahan bercetak. Sejajar dengan itu, ibu bapa perlu sedar tentang peranan mereka terhadap pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak harus dididik dengan sempurna supaya menjadi insan beretika dan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Golongan muda merupakan harapan negara, bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, mereka harus diberi kesedaran tentang kepentingan mengamalkan prinsip moral supaya dapat merealisasikan pelbagai wawasan negara kelak.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Sememangnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran tentang pentingnya kehidupan beretika. Antara caranya ialah mencurahkan kasih sayang kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa perlu mengambil berat dan mencurahkan kasih sayang terhadap anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa patut meluangkan masa bersama-sama anak-anak untuk memahami serta mengambil berat tentang kehidupan mereka khususnya pelajaran mereka, hobi serta pergaulan mereka dengan rakan-rakan. Selain itu, ibu bapa patut menjaga anak masing-masing bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, bercerita kepada anak-anak yang masih kecil sebelum mereka tidur serta bergembira sesama anak-anak semasa sambutan hari jadi mereka atau semasa mereka memperoleh kejayaan. Lantaran itu, anak-anak akan membesar dan menjadi manusia yang beradab sopan, ceria serta berkeyakinan diri. Mereka tidak akan melibatkan diri dengan masalah sosial kerana sedar bahawa perbuatan tersebut akan menyakiti hati ibu bapa. Sebaliknya, mereka menjadi orang yang mempunyai sahsiah yang baik, yakni, menghormati ibu bapa, bersopan santun, dan mendengar nasihat ibu bapa.

Para para pendengar yang budiman,

Di samping itu, ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa patut mengamalkan amalan murni supaya dapat mempengaruhi anak untuk turut berbuat demikian. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan orang yang dipercayai anak-anak. Segala tindak-tanduk serta amalan ibu bapa akan dicontohi anak sejak anak masih kecil lagi. Pendek kata ibu bapalah idola anak-anak. Jadi, ibu bapa yang mengamalkan pelbagai tabiat buruk seperti merokok, berjudi, berbohong, mencuri dan mengutuk rakan sekerja patut menghentikan tabiat buruk tersebut. Hal ini demikian kerana ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Anak-anak akan meniru perbuatan ibu bapa mereka. Sememangnya, ibu bapa tidak berhak mendisiplinkan anak yang merokok dan mewarnakan rambut sedangkan diri sendiri juga berbuat demikian. Anak-anak juga tidak akan mempercayai serta menghormati ibu bapa seperti yang dinyatakan di atas. Justeru, ibu bapa harus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak supaya mereka dapat membesar menjadi manusia berguna dan mengamalkan nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh ibu bapa.

Para hadirin sekalian,

Selain itu, ibu bapa patut memberikan didikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa patut membawa anak-anak ke tempat beribadat untuk bersembahyang atau menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti bergotong-royong. Sebagai contohnya, membawa anak-anak ke masjid untuk bersembahyang bersama-sma. Dengan itu, anak-anak sedar akan kewajiban diri mengamalkan nilai-nilai murni termasuk mentaati perintah agama. Mereka akan dapat membezakan perkara baik dan buruk serta mempunyai disiplin diri untuk melakukan perkara yang betul. Walaupun anak-anak juga sentiasa berhadapan dengan godaan dan cabaran globalisasi, mudah-mudahan mereka dapat mengawal diri dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif seperti memeras ugut, merokok, dan mencuri. Apabila anak-anak mendalami ajaran kitab berdasarkan agama masing-masing, mereka mendapat panduan hidup yang baik serta berusaha mengamalkan nilai-nilai murni kerana sedar bahawa kesudahan yang baik menanti diri mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menerapkan didikan agama dalam hati anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tambahan pula pendidikan agama akan menjadi garis pandu kepada mereka agar membesar sebagai insan bijaksana dan beretika.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memantau aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak terutamanya golongan remaja. Hal ini demikian kerana anak-anak pada usia ini mudah terpedaya sehingga terpengaruh untuk terlibat dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan kumpulan mat rempit dan kaki lepak. Ibu bapa perlu memberikan perhatian terhadap pergaulan anak-anak. Anak-anak tidak harus bergaul rapat dengan pelajar bermasalah kerana dikhuatiri akan terpegaruh dengan sikap mereka. Sebaliknya, apabila pelajar berkawan dengan pelajar atau rakan yang beradab sopan, mereka akan menjadi orang yang bersahsiah mulia. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu memantau aktiviti harian serta pergaulan sosial anak-anak kerana sebagai insan yang kurang matang, kadang kala mereka mungkin tersalah langkah. Jadi, sebagai ibu bapa, kitalah yang paling wajar mendorong mereka kepada jalan kebaikan.

Sidang hadirin sekalian,

Kesimpulannya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membesarkan anak menjadi seorang yang bermoral dan bersahsiah mulia. Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Semoga didikan ibu bapa yang mantap akan melahirkan anak-anak yang keperibadian terpuji, bersahsiah dan dapat membantu negara untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan Gagasan Satu Malaysia.

TAJUK PIDATO:

KELUARGA BAHAGIA NEGARA SEJAHTERA

Salam mesra pembuka kata,

Bagi memulakan pidato saya,

Salam sejahtera madah bermula,

Kepada hadirin pendengar bicara.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang tetap berdiri di atas neraca keadilan, guru-guru, rakan-rakan seperjuangan dan para hadirin yang dihormati sekalian. Selamat petang dan salam sejahtera kepada semua. Berdirinya saya di pentas yang serba indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Keluarga Bahagia Negara Sejahtera

Para para pendengar yang budiman,

Merujuk Kamus Dewan edisi keempat keluarga membawa maksud seisi rumah tangga, Bahagia pula didefinasikan sebagai suasana senang dan aman, Negara pula ialah kawasan yang dibawah kekuasaan kerajaan tertentu, dan sejahtera bermaksud terpelihara daripada bencana dan kesusahan.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Keluarga bahagia merupakan asas kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah Negara. Oleh itu peranan ibu bapa penting dalam menyemai benih-benih kebahagian dalam keluarga. Ibu bapa mestilah meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak di rumah dan mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada Negara. Keluarga bahagia merupakan asas kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara. Oleh itu, peranan ibu bapa penting dalam menyemai benih-benih kebahagiaan dalam keluarga. Konsep Rumahku Syurgaku diaur-aurkan oleh masyarakat sawarjagat sejak zaman leluhur lagi. Suka dan duka wajar ditanggung bersama-sama sesama ahli keluarga dengan fikiran yang tenang dan berhati nurani yang menjauhi segala kepincangan dan kemelut jiwa. Oleh itu, ibu bapa dapat mengejar periuk nasi tanpa sebarang kebimbangan dan gusar akan hal-hal rumah tangga.

Para hadirin yang dihormati,

Seandainya sesebuah keluarga itu bahagia, sudah tentu anak-anak mempunyai nilai moral yang baik. Hal ini dapat menghalang anak-anak daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak diingini seperti jenayah dan penagihan dadah. Anak-anak yang daripada keluarga bahagia pasti hidup lebih selesa dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Anak-anak yang lahir dalam keluarga bahagia mempunyai fikiran yang tenang dan bermotivasikan tinggi. Sebagai sebuah Negara yang berbilang kaum, kita perlulah melahirkan masyarakat yang berkrompomi. Sikap ini hanya dapat diwujudkan melalui pembentukan keluarga bahagia. Melalui keluarga bahagia juga dapat melahirkan masyarakat penyayang, prihatin, dan berahklak tinggi. Pembentukan modal insan yang berwawasan dan mempunyai harga diri yang tinggi merupakan citra masyarakat madani, sementelahan kelangsungan tamadun bangsa yang berkiblatkan jati diri dan berkualiti. Remaja merupakan pewaris bangsa yang menerajui dan menongkah cabaran zaman dengan nilai kepimpinan yang utuh. Merealisasikan impian Wawasan 2020 hanya dapat digapai dan bukan sekadar indah khabar daripada rupa seandainya rata-rata masyarakat memperkasakan peradaban bangsa dan menongkah arus globalisasi mutakhir yang semakin kompleks dan mencabar. Tamsilannya, ibu bapa seyogia meraikan kejayaan bersama-sama dengan anak mereka, justeru memberikan motivasi kepada anak mereka sekiranya anak mereka dibelenggu dalam gangguan emosi dan trauma dalam tekanan hidup.

Para Hadirin Sekalian,

Dengan demikian, setiap ahli keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu ditunaikan. Meluangkan masa berkualiti, saling menghargai dan menghormati, mengelakkan konflik dan memberi perhatian dan kasih sayang kepada keluarga merupakan antara resepi membina sebuah keluarga bahagia. Keluarga bahagia akan melahirkan masyarakat yang hidup harmoni dan sejahtera. Masyarakat sedemikian pula akan menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara.

Kesimpulannya, Negara kita dapat bersaing dengan negara lain seandainya kita dapat mengurus institusi kekeluargaan yang syumul, membentuk modal insan yang berteraskan tamadun bangsa, justeru menerajui tampuk negara yang penuh dengan keharmonian dan kesejahteraan. Kejayaan pasti digapai sekiranya ibu bapa menyedari peri mustahaknya peranan mereka. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa keluargaku syurgaku. Tepuk dada tanya selera, anak-anak yang cemerlang akan menzahirkan keluarga dan negara yang gemilang dan terbilang. Bak kata pepatah, tidak ada pelaburan yang lebih baik daripada menyuapkan susu ke mulut bayi.

Sekian, terima kasih.