Pidato Abg Kayy Teks : Malaysia, Di Sini Lahirnya Sebuah

Teks Pidato : Malaysia, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.

Oleh : Muhammad Khairullah Bin Muhammad Marzidi

Malaysia? Cinta? Dua entiti yang berbeza namun mempunyai perkaitan hubungan simbiosis. Teringat ketika diri ini mengajar anak bangsa intelektual muda, menyelak sebuah monograf atlas tentang ilmu alam, mengamati bertapa kerdilnya, kecilnya, kenitnya Malaysia yang terpelosok di tenggara dunia. Namun, walaupun kecil adakah kita cintakan Malaysia? Wujudkah? Jangan disangka api yang kecil tidak mampu membakar, cili tidak pedas menyengat sanubari, kini Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang bersukat sama paras, bertimbang sama berat dengan negara maju yang lain malah kini bijak mengemplementasikan anjakan transformasi. Persoalannya, lahirkah sebuah cinta yang murni, abadi, sejati kepada Malaysia? Fikir-fikirkan…

Jutaan apresiasi kepada pimpinan majlis, dif-dif kehormat, barisan judisari yang sentiasa berasimilasi dengan kebenaran, penjaga masa, hadirin warga dewan intelektual penerus warisan. Assalamualaikum W.T.H dan Salam Cinta 1Malaysia buat semua.

Malaysia : Di sini Lahirnya Sebuah Cinta, begitulah dramatisasinya mauduk pidato yang bakal menitip di bibir saya. Sebelum ledakan hujah menghujani seisi dewan, lahar idea dilontarkan penuh bersemangat, mohon izin untuk melakukan dua bentuk pendefinisian secara literal mahupun secara leksikal. Menurut korpus, Kajian Malaysia yang diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia oleh badan autonomi pengeditan dan dibantu oleh ahli falsafah terkenal dari universiti tempatan dan luar negara mentakrifkan Malaysia sebagai suatu entiti geopolitik yang sah dan terbentuk daripada gabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Seterusnya, frasa cinta yang diertikan oleh ahli falsafah Simpson, Campbell, & Bersheid pada tahun 1986, cinta ialah satu komponen penting bagi perhubungan yang cemerlang dan telah dihubungkan dengan kepuasan hidup, kestabilan hubungan, serta kesihatan awam dan psikologikal. Oleh itu, secara holistiknya, tajuk ini membawa konotasi yang mendalam iaitu kewujudan perasaan yang dramatik terhadap keadaan negara kita di dalam mengetengahkan fenomena anjakan paradigma Malaysia setelah hampir 6 darsawarsa pasca merdeka.

Warga dewan sekalian,

Cetusan idea pertama, Tawarikh Malaysia, Membibit Rasa Cinta. Malaysia hari ini tidak akan dijelmakan tanpa adanya sebuah sejarah, sebuah kemerdekaan. Sesungguhnya, kemerdekaan hari ini bukannya diperolehi secara percuma. Portugis menjajah Melaka, hinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua, semuanya bertemankan darah dan air mata. Misi gold, gospel dan glory yang dibawa oleh penjajah masih berbekas hingga ke hari ini. Kemerdekaan yang hakiki kelihatan mustahil dalam zaman modenisasi yang merupakan kesinambungan agenda penjajahan Barat. 28.8 juta rakyat di Malaysia, segelintir masih tidak memahami erti sebenar kemerdekaan, di mana letaknya cinta mereka terhadap kebebasan ini? 7 kali laungan Merdeka! oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj masih kedengaran hingga ke hari ini. Bukan sekadar membuka sebuah nostalgia tetapi saya menyeru untuk kita berfikir sejenak, apa yang kita buat untuk mengekalkan kemerdekaan ini? Menurut Nelson Mandela, Mantan Presiden Afrika Selatan, hanya kesedaran mampu merungkai ikatan penjajahan ini, hanya dengan semangat dan rasa cinta, sesebuah sejarah itu tidak diulang. Bait-bait madah mantan perdana menteri yang ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohammad, Orang yang tidak tahu sejarah akan mengulangi sejarah. Bertapa pentingnya jelmaan rasa cinta itu untuk semua ini, Pengorbanan pejuang bangsa perlu dihargai sekaligus mencetus inspirasi untuk kedaulatan Malaysia pada hari ini. Jelaslah, tawarikh Malaysia, membibit rasa cinta.

Sidang Dewan Cintakan Negara sekalian,

Cetusan idea kedua, Penghayatan Rukun Negara, Menyemai Erti Cinta

Variasicitra dari segi aspek bangsa dan agama menjadikan negara kita terlalu istimewa. Konsep demokrasi dan raja berpelembagaan mampu menggerakkan politik Malaysia di mata dunia. Ikatan tiga komponen utama, UMNO, MIC dan MCA di bawah bumbung Barisan Nasional membuktikan variasicitra wujudnya keadilan. Titik hitam 13 Mei 1969 cukup tragis, bukan sedikit jiwa yang rebah, bukan setitis air mata yang tumpah dan bukan sekejap minda dijajah. 5 prinsip rukun negara, satu landasan mandatori untuk dihayati. Kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan. 5 prinsip tangkal azimat untuk merasai erti perpaduan sebenar. Bukan hanya perpaduan, tetapi menyemai rasa cinta terhadap negara. Namun, wujud segelintir daripada kita, tidak mampu menghayati rukun negara, mengaku dirinya warganegara. Peristiwa pembalikkan Jalur Gemilang di Taiwan, ekoran membangkang dasar yang dipegang oleh kerajaan, Jalur Gemilang digadaikan. Lagu Negaraku turut menjadi mangsa keadaan. Inilah kesan kurangnya penghayatan rukun Negara. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semuanya. Firman-firman Tuhan yang mengetar jiwa dalam kitab yang paling mulia, helai-helai veda yang dialun menjadi lagu oleh oleh pengamal ajaran Hindu atau baris Injil yang cekal dihayati oleh penuntut ajaran triniti. Semuanya membawa dokma yang sama, cintakan negara, hindarkan kehancuran. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Negara, rukun negara kita hayati bersama.

Warga 1Malaysia,

Cetusan idea ketiga, Tanpa Ilmu, Cinta Itu Buta.

Ilmu itu kehidupan hati daripada kebutaan, Imam Al-Ghazali. Kita sedar bahawa ilmu itu cuma setitis berbanding Tuhan yang yang selautan. Darjat manusia, apabila berilmu pasti beroleh kejayaan. Kejayaan yang dikecapi oleh Malaysia kini adalah kerana ilmu. Ilmu pada pemimpinnya dan ilmu pada masyarakatnya yakni senjata paling berkuasa untuk mengubah dunia, mengubah perspektif manusia dan membuka mata dunia. Dari lahirnya Penyata Razak 1956, masyarakat Malaysia diberi peluang menimba ilmu sehinggalah dasar-dasar kini bagi melahirkan bangsa Malaysia yang beilmu. Tanpa ilmu, penjajahan pada 5 dekad lalu tidak dibebaskan, bendera Union Jack tidak diturunkan. Mentaliti kita perlu dianjak agar mampu melahirkan pemimpin yang berjiwa besar sanggup berkorban demimu Malaysia. Perdana Menteri kita. Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berhasrat melahirkan golongan ilmuan berpemikiran kritis dan kreatif dalam ucapannya di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Tanpa ilmu, cinta itu buta, tanpa cinta negara dijajah dan musnah. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kejayaan kita telah melewati batas geografi antarabangsa. Buktinya, perabung dunia di puncak Himalaya telah ditawan, samudera nan terbuka telah kita redah.

Semuanya disebabkan oleh ilmu dan rasa cinta bersemangat waja keranamu Malaysia. Seperti pengiktirafan luar biasa oleh Yayasan Verkey GEMS kepada Puan Yasmin Noorul Amin, salah seorang daripada 50 orang guru terbaik dunia dan dicalonkan untuk Anugerah Guru Global membuktikan bahawa kebolehan anak Malaysia di mata dunia. Jelaslah, tanpa ilmu, cinta itu buta.

Rakyat Malaysia sekalian,

Cetusan Idea Terakhir, Transformasi Kerajaan, Menzahirkan Nilai Cinta.

Transformasi atau perubahan adalah sesuatu yang perlu berlaku untuk ke arah kebaikan dan memberi manfaat. Tentu sekali kita tidak mahu perubahan yang mendatangkan bala dan masalah. Perubahan ini secara tidak langsung mampu menzahirkan rasa cinta kepada Malaysia. Program Transformasi Negara (NTP) dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri yang didukung oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun 2010. Program GTP berobjektif untuk menangani gejala rasuah, meningkatkan pendidikan dan keperluan asas infrastruktur kawasan pendalaman. Transformasi ini disasarkan untuk menerajui inisiatif transformasi sosial yang penting sementara ETP membolehkan Malaysia merealisasikan potensi ekonominya yang sebenar yang akan merintis menggerakkan Malaysia ke arah mencapai status negara maju serta dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan negara kasar. Pelbagai aspek ditransformasikan dan selaras juga dengan konsep gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan sekali gus selari dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. Gagasan 1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Lapan nilai ditekankan iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti serta merujuk kepada cara kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia atau One People. Tanpa ada transformasi, negara kita masih berada di dalam tempurung bukannya mata burung. Transformasi inilah yang akan menzahirkan nilai cinta yang cukup tinggi kepada negara.

Hadirin sekalian,

Kesimpulannya, setelah saya membukakan 4 hujah utama sebagai asas pembawaan pidato saya iaitu :

Tawarikh Malaysia, Membibit Rasa Cinta

Penghayatan Rukun Negara, Menyemai Erti Cinta

Tanpa Ilmu, Cinta Itu Buta.

Transformasi Kerajaan, Menzahirkan Nilai Cinta

Tegasnya, keempat-empat entiti ini membuktikan dengan jelas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu disusuli dengan pembentukan Malaysia dimungkinkan kerana kejayaan mengolah resipi penyatupaduan. Terbina persefahaman, terjalin kerjasama, bukan sahaja dalam kalangan pelbagai kaum dan penganut agama, malah merangkumi komponen lain, empat Negeri Bersekutu, lima Negeri Tidak Bersekutu, dua Negeri Selat, Raja dan rakyat bersatu suara, langkah dan matlamat untuk membina satu warga kepada sebuah negara merdeka. Jika ada kejayaan dicapai, jangan sampai maruah bangsa digadai kerana ini adalah negara di mana tumpahnya darah, di sini juga negara yang bersatu bersama walau pelbagai tohmahan dilempar kerana tidak ada yang boleh mengambil kembali cinta kepada negara jika kita bangga menjadi warganya. Malaysia, di sinilah lahirnya sebuah cinta. Sekian, Wabillahitaufiq…